Meniru: Bermanfaat atau Sebaliknya?

Meniru: Bermanfaat atau Sebaliknya?

0

Jauh beribu batu meninggalkan tanah air tercinta demi menimba ilmu. Meninggalkan ibu bapa, ahli keluarga dan sanak saudara untuk mencontohi teladan para ulama dalam permusafiran menuntut ilmu. Namun setelah tiba di sini, sejauh manakah usaha yang digunakan bagi memaksimumkan penggunaan masa dalam menuntut ilmu?

Di manakah masa lebih banyak dihabiskan, sama ada bermain, berjalan-jalan atau pergi menuntut ilmu itu? Apakah tujuan datang ke bumi seribu menara ini? Apabila tiada matlamat yang sebenar, maka mudahlah melakukan perkara yang sia-sia termasuklah perbuatan MENIRU.

Mungkin untuk sebahagian orang, meniru merupakan perkara yang biasa, sudah menjadi kebiasaan dalam dirinya sehingga boleh dipandang remeh begitu sahaja.

Mungkin bagi sebahagian yang lain pula, meniru merupakan perkara yang sangat dititikberatkan khususnya dalam fasa peperiksaan ini kerana ia mencerminkan akhlak seseorang itu.

Sejujurnya, apabila tiba musim peperiksaan, kita semua akan mula membuat persiapan yang secukupnya dengan menghadiri kelas tambahan, kelas tutorial dan diskusi dalam kumpulan secara lebih berfokus dan kerap tanpa mengabaikan kewajipan menghadiri kelas di universiti itu sendiri.

Oleh itu, bersempena dengan musim peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi, suatu isu yang kerap dan seringkali berlaku dalam kalangan pelajar dan mahasiswa kita sama ada di Malaysia, Mesir atau di mana jua sekalipun ialah isu meniru dalam peperiksaan.

Banyak alasan yang disuarakan untuk membolehkan perbuatan meniru dalam peperiksaan, walhal umum sudah mengetahui bahawa perbuatan meniru dalam peperiksaan ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Pergilah ke mana jua institusi pengajian atau institusi pendidikan sama ada di Eropah mahupun di Asia, maka kita akan dapati bahawa perbuatan meniru dalam peperiksaan ini adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali bahkan dilarang secara keras sehingga boleh dikenakan pelbagai jenis denda atau hukuman akibat perbuatan meniru ini.

Setiap insan yang mempunyai iman di hatinya pasti mengetahui bahawa setiap tindak tanduknya akan diperhati oleh Tuhan yang Maha Esa. Tiada seorang pun yang akan terlepas daripada pengetahuan-Nya.

Sesungguhnya perbuatan meniru dalam peperiksaan ini amat dilarang dan tidak disukai Allah SWT dan Rasulullah SAW kerana ia merupakan salah satu perbuatan yang berunsur penipuan.

Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW ;

“من غش فليس مني”

Maksudnya, “Barangsiapa yang menipu, maka bukanlah mereka itu daripada kalanganku.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan bahawa perbuatan meniru dalam peperiksaan ini haram dilakukan kerana tidak bertepatan dan bertentangan dengan tuntutan syariat Islam.

Bilamana seseorang itu meniru dalam peperiksaan, secara tidak langsung akan menampakkan bahawa perbuatannya itu tidak menzahirkan segala ilmu yang dipelajarinya sewaktu di dalam kelas serta kesungguhannya dalam menuntut ilmu juga tidak dapat dilihat kerana dia tidak sebenar-benarnya diuji melalui peperiksaan itu.

Misalnya, beberapa hari sebelum tiba hari peperiksaan, pelajar ini bersungguh-sungguh meminta doa daripada ibu bapanya, guru-gurunya dan rakan-rakannya untuk kejayaannya dalam peperiksaan.

Namun ketika hari peperiksaan, dengan senang hatinya dia meniru sama ada melalui cara meniru kawan sebelah atau meniru dengan melihat nota-nota kecil yang diselitkan di sesuatu tempat.

Apabila tamat peperiksaan, mudahnya dia berkata bahawa diri ini telah bertawakal. Memanglah pada zahirnya kelihatan dia bertawakal namun pada hakikatnya dia BERDUSTA.

Berdusta pada ibu bapa.

Berdusta pada guru-guru.

Berdusta pada rakan-rakan.

Dan yang paling utama sekali, berdusta pada diri sendiri.

Tawakal yang sebenarnya adalah dengan menyerahkan sepenuh harapan kepada Tuhan setelah berusaha dan berikhtiar disertai dengan doa.

Jadi, kepada siapakah pulangnya perkataan tawakal yang diungkapkan itu? Kepada nota yang ditiru itu? Kepada rakan sebelah yang ditiru itu? Tepuk dada tanya diri.

Amat rugilah juga setelah usaha bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran. Namun apabila tiba waktu peperiksaan, masih melakukan perbuatan meniru itu. Seolah-olah tidak yakin dengan diri sendiri dan tidak yakin dengan Tuhan yang Maha Melihat.

Janganlah kerana terdesak mengejar kebahagiaan dunia, menyebabkan diri terkeliru dengan tempat pergantungan yang sebenar.

Bahayanya meniru ini juga dapat dilihat kesannya apabila balik ke tanah air kelak, membawa pulang segulung ijazah yang palsu kepada masyarakat. Dek ijazah yang diperoleh itu hasil perbuatan meniru, tiada keberkatan padanya dan tidak sepatutnya dimiliki kerana bukan datang daripada usaha diri sendiri.

Natijahnya, dibimbangi perbuatan meniru atau menipu ini akan terbawa-bawa ke masa akan datang lantas boleh melahirkan individu yang rosak dan mundur dalam kerjaya khususnya apabila melibatkan kerjaya yang lebih profesional seperti seorang doktor yang memerlukan kepada kemahiran teknikal dan penguasaan ilmu yang tinggi.

Sekiranya berkerjaya sebagai seorang pendidik atau ustaz, dikhuatiri pula akan membuat penyelewengan dan penipuan dalam ilmu khususnya ilmu agama kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap dan tepat sekaligus dapat menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat awam.

Sesungguhnya, kejayaan yang diperoleh melalui usaha diri sendiri akan lebih bermakna dan bernilai berbanding dengan cara meniru yang tiada keberkatannya.

Oleh itu, jauhilah budaya atau ‘trend’ meniru ini. Buang yang keruh ambil yang jernih.

“Menuntut ilmu ialah Takwa,

Menyampaikan ilmu ialah ibadah,

Mengulang-ulang ilmu ialah jihad “

-Imam Ghazali-

Sekian, Wallahua’lam.

 

AHMAD UMAR SHAFIE BIN AHMAD FIRDAUS Mahasiswa Tahun 2 Kuliah Perubatan

Universiti Al-Azhar Kaherah

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?