[BAJU SEJUK: SATU KEPERLUAN ATAU TREND BERFESYEN]

0
“Musim sejuk ni, nak beli baju sejuk yang macam mana ya?”
“Eh, baju sejuk ni macam ala-ala Korea! Macam menarik”
Apabila musim sejuk hadir menyinggah, maka masing-masing memikirkan berkenaan dengan persediaan menghadapinya. Antaranya ialah heater’, selimut tebal dan baju sejuk. Saya yakin bahawa soalan-soalan seperti di atas sentiasa berlegar dalam korteks serebrum (cerebral cortex) tatkala melihat pilihan-pilihan baju sejuk yang ada. Impuls (impulse) yang dicetuskan terus dihantar ke sana bagi membuat keputusan yang bijak.
Secara fisiologinya, apabila badan kita terdedah kepada suhu yang sejuk (contoh: musim sejuk), maka tindak balas tersebut secara tidak langsung akan memberikan rangsangan kepada termoreseptor (thermoreceptor). Fungsi termoreseptor ini adalah untuk mengekalkan suhu badan kita dalam keadaan yang optimum dengan dua mekanisme; Mekanisme mengurangkan kehilangan haba dan mekanisme meningkatkan penghasilan haba.
Di antara jalan utama dalam mengurangkan kehilangan haba (mekanisme pertama) dalam badan kita ialah pengecilan diameter salur darah yang terdapat pada kulit.
Tindak balas ini terjadi apabila berlakunya rangsangan terhadap pusat simpatetik (sympathetic centre) yang terdapat pada posterior hypothalamic nuclei’. Signal ini secara tidak langsung membantu dalam mengurangkan aliran darah pada kulit (cutaneous) lantas mengurangkan suhu pada kulit. Hal ini membantu dalam mengurangkan proses kehilangan haba yang berlaku melalui proses radiasi dan konduksi disebabkan berkurangnya perbezaan haba di antara kulit dan juga atmosfera (kurang haba dibebaskan daripada badan).
Mekanisme ini sangat berkesan dalam mengekalkan suhu badan sehingga suhu sekeliling jatuh ke paras 24 darjah celsius. Apabila suhu sekeliling berada di bawah paras 24 darjah celsius, maka proses menggeletar (Shivering) akan berlaku bagi meningkatkan kadar penghasilan haba dalam badan.
Mekanisme kedua pula ialah berlingkar. Aktiviti ini biasanya dapat dilihat pada haiwan-haiwan yang berada di kawasan yang mengalami musim sejuk, tidak terlepas juga pada manusia. Melalui aktiviti ini, pengurangan haba dalam badan dapat dikurangkan kerana jumlah permukaan badan yang terdedah kepada suhu sekeliling dapat dikurangkan.
Selain daripada itu, jikalau kita perhatikan pada kulit kita, kita akan dapati bulu roma kita akan menegak apabila terdedah kepada kesejukan dan ketakutan. Situasi ini juga berlaku disebabkan oleh rangsangan simpatetik yang telah dicetuskan lantas menyebabkan udara terperangkap dalam jaringan bulu roma kita.
Natijahnya, suhu badan kita akan berada pada paras yang sama dengan suhu sekeliling dan mengurangkan kadar kehilangan haba dalam badan. Fenomena ini bukan sahaja berlaku kepada manusia, tapi turut berlaku kepada binatang (bulu binatang dan pelepah burung). Ini adalah mekanisme yang ketiga.
Tambahan daripada itu, konsep pemakaian baju sejuk sama seperti mekanisme yang ketiga ini. Udara yang tererangkap pada bulu yang terdapat pada baju sejuk bertindak sebagai penebat haba (heat insulator) yang mana mengurangkan pemindahan haba kepada sekeliling.
Oleh sebab itu, amat penting bagi kita untuk melihat kepada dua aspek tatkala memilih baju sejuk yang kita mahukan:
  1. Tekstur pakaian
  2. Warna pakaian
Sebaiknya kita perlulah memilih baju sejuk yang mempunyai warna yang gelap serta berbulu. Warna gelap berfungsi sebagai penyerap haba manakala bulu yang terdapat pada baju sejuk mempu memerangkap udara yang banyak serta bertindak juga sebagai penebat haba. Selain darpada itu, udara yang terperangkap juga ditentukan oleh bilangan lapisan pakaian yang dipakai. Maka, memakai banyak lapisan pakaian pada musim sejuk adalah lebih baik berbanding memakai hanya satu lapisan baju sejuk. Inilah kebiasaan yang diamalkan oleh penduduk negara yang mengalami musim sejuk.
Kesimpulannya, sewaktu memilih baju sejuk, janganlah kita hanya melihat kepada reka bentuk dan fesyen sahaja. Terikut-ikut gaya pelakon Korea mahupun artis Hollywood tanpa melihat kepada kepentingan dan fungsi baju sejuk tersebut. Buatlah pilihan yang bijak dan terbaik supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Selamat membuat pilihan!
Abdul Fattah bin Abdul Ghafar,
Mahasiswa Tahun 5 Kuliah Perubatan,
Universiti al-Azhar Kaherah
Glosari:
a) Korteks serebrum = Lapisan luar serebrum yang berkedut-kedut (berlipat-lipat), membentuk kira-kira 40% daripada berat otak. Ia bertanggungjawab secara langsung terhadap kesedaran dengan memainkan peranan penting dalam persepsi, daya ingat, daya berfikir, kebolehan mental dan kecerdasan. Ia juga bertangungjawab dalam memulakan aktiviti voluntari.
b) Impuls = Aktiviti elektrik pada membran neuron yang mana melaluinya maklumat dihantar di sepanjang sistem saraf.
c) Termoreseptor = Hujung saraf sensori yang bertindak balas terhadap panas atau sejuk.
d) Simpatetik = Satu daripada dua bahagian sistem saraf autonomik, mempunyai serat-serta yang meninggalkan sistem saraf pusat pada kawasan torasik dan lumbar, dan dibahagikan kepada pembuluh darah, kalenjar peluh, kalenjar liur, jantung, paru-paru, usus dan organ abdominal lain. Hujung-hujung saraf mengeluarkan noradrenalin sebagai bahan neurotransmitter.
e) Hypothalamus = Kawasan pada otak depan di lantai ventrikel kedua, bersambung engan thalamus di atas dan kalenjar pituitari di bawah. Ia mengandungi beberapa pusat penting yang mengawal suhu badan, dahaga, kelaparan dan pemakanan, imbangan air, dan fungsi seksual. Ia juga berfungsi sebagai pusat integrasi hormon dan aktiviti saraf autonomik.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?