KENYATAAN RASMI: AJKT KEKAL PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR SESI 2018/2019

KENYATAAN RASMI: AJKT KEKAL PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR SESI 2018/2019

0

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji bagi Allah SWT yang masih memberikan peluang kepada kita sehingga ke hari ini untuk terus hidup dalam nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, yang telah menggadaikan seluruh hidupnya untuk Islam yang sedang kita nikmati pada hari ini.

 

Manusia yang hidup dalam satu komuniti tidak akan menolak kepentingan wujudnya institusi kepimpinan  yang mengurus dan mentadbir hal ehwal mereka dengan baik dan berhemah. Kedatangan Islam telah memberi nilai tambah kepada hajat manusia ini melalui seruan Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran. Antara firman-Nya yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah SWT menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah SWT dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

(Surah an-Nisa, ayat 58)

 

Malah, pada hari kewafatan Baginda SAW, para sahabat berbincang di Saqifah Bani Sa’idah untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka bagi menggantikan kepimpinan Rasulullah SAW. Mungkin ada yang menyatakan, sepatutnya para sahabat boleh menangguhkan dahulu perbincangan melantik pemimpin bagi menumpukan urusan jenazah dan pengebumian Rasulullah SAW. Namun, kisah ini telah membuktikan bahawa tindakan para sahabat tidak salah kerana mengutamakan urusan kepimpinan yang menjadi fardu ain ke atas umat Islam berbanding urusan jenazah yang merupakan fardu kifayah.

 

Bagi melaksanakan kefarduan ini, pilihanraya PERUBATAN diadakan saban tahun untuk memilih tampuk kepimpinan yang baru bagi menggantikan kepimpinan sedia ada dalam meneruskan khidmat dan curahan bakti kepada mahasiswa mahasiswi sains kesihatan bagi sesi yang akan datang iaitu sesi 2018/2019.

 

Dengan merujuk perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan PERUBATAN pada Bab Keempat; PERUBATAN CAWANGAN; dalam Fasal 28: Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan; Perkara 1 (d);

 

Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan perlu bermesyuarat pada akhir sesi pentadbiran untuk menetapkan 2 (dua) orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) lelaki dan 2 (dua) orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) wanita untuk dikekalkan sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan sesi seterusnya.

 

AJKT yang dikekalkan secara automatik tidak boleh dicalonkan dalam pilihanraya. Ini merujuk kepada petikan perlembagaan pada bab yang sama; Fasal 27: Pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan; Perkara 2 (b);

 

Berdasarkan Fasal 28 Perkara 1 (d), seramai 2 (dua) orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan lelaki dan 2 (dua) orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan wanita yang telah dikekalkan untuk sesi pentadbiran seterusnya, adalah secara automatik terkeluar daripada proses pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.

 

Oleh yang demikian, setelah perbincangan lumat dan teliti diadakan, barisan AJKT PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2017/2018 telah memutuskan 4 orang AJKT yang akan dikekalkan ke sesi 2018/2019 ialah:

ABDUL AZIZ BIN AKMAL

ABU BAKAR AL SIDDIQ BIN MOHAMED

NURIN JAZLINA BINTI MOHD ISMAIL

A’FAF BINTI OTHMAN

 

Semoga dengan pengekalan AJKT ini akan membawa kepada rahmah dan hikmah yang terbaik untuk kemaslahatan bersama ahli PERUBATAN khususnya di Cawangan al-Azhar untuk sesi akan datang.

 

Siiru ala barakatillah.

 

Sekian, terima kasih.

 

“PCA: Stronger As One”

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

Abdul Fattah bin Abdul Ghafar,

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

Liyana binti Jusni,

Timbalan Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

 

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?