ISLAM LIBERAL: SATU MAKALAH RINGKAS

ISLAM LIBERAL: SATU MAKALAH RINGKAS

0

Hari ini kita menyaksikan pelbagai wabak akal dan rohani yang jarang dilihat sepanjang sejarah Islam, khasnya di Kepulauan Melayu. Penjajahan Siam, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun yang melumpuhkan dan memecahkan kekuasaan ekonomi dan politik, telah gagal merubah akidah umat Islam di rantau ini. Namun wabak akal dan rohani ini, kini banyak berlaku hasil daripada kajian para Orientalis selama ratusan tahun terhadap Islam ternyata telah membuahkan hasil.

Dengan menggunakan kerangka epistemologi (falsafah ilmu) Barat mereka mengemukakan kajian-kajian tersebut dan berhasil meyakinkan golongan yang berkebetulan sangat bersemangat dan berminat dengan gagasan-gagasan perubahan. Kekeliruan dan penyelewengan ini mendukung idea liberalisasi dan modenisasi Islam dengan menjadikan sekularisme dan modenisme Barat sebagai asas world view mereka. Maka di sinilah, penjelasan mengenai pandangan alam Islam dan epistemologi (falsafah ilmu) Islam amat penting sebagai landasan dalam menghadapi cabaran liberalisasi Islam pada hari ini.

MEMAHAMI LIBERALISME

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali di dalam karyanya yang amat penting, al-Munqidh min al-Dalal menekankan pentingnya seorang ilmuwan memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum ia layak mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam ialah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup. Kerana itu sebarang wacana tentang liberalisme, atau apa-apa ideologi sekalipun, hanya akan bermakna dan berfaedah jika kita telah terlebih dahulu berusaha mendapatkan gambaran yang jelas tentang definisi dan maksud sebenar akan perkara yang dibahaskan itu.

Prometheus dihukum oleh Zeus kerana mencuri api untuk diberikan kepada manusia supaya manusia dapat hidup merdeka (Mitologi Yunani).

 

Perkataan ‘liberty’ dan ‘freedom’ jika dilihat dari segi bahasa, asal perkataan semata, bermaksud keadaan yang bebas. Di sini faham ‘liberty / freedom’ (liberalisme) adalah faham yang menegaskan kebebasan yang tabii bagi manusia. Seperti yang kita sedia maklum manusia diciptakan bebas, dengan maksud bahawa ia tidak dilahirkan sebagai hamba kepada orang lain, ini bermakna ia tidak sepatutnya berada dalam belenggu ciptaan manusia. Maka makna liberalisme dari segi bahasa atau lebih tepatnya ‘liberty’ adalah bertentangan kepada perhambaan, penindasan dan keadaan tertawan. Dari sudut ini kita tidak perlu menolak pemaknaan yang literal dan horizontal ini.

Di sudut lain, Islam menggariskan bahawa dari segi vertikal, manusia ialah hamba kepada Tuhan. Hakikat ini tidak mungkin dapat dihapuskan, iaitu manusia tidak mungkin bebas daripada Tuhan, kerana manusia selamanya berhutang akan kewujudannya kepada Tuhan. Oleh kerana itu, agama (din), menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas ialah keberhutangan (indebtedness). Oleh yang demikian penerimaan seorang Muslim terhadap konsep ‘liberty’ hanya terbatas pada makna literal yang horizontal dan bukan vertikal.

Definisi liberalisme yang diberikan oleh Encyclopaedia Brittanica adalah:

Liberalism is a creed, philosophy and movement which is committed to freedom as a method and policy in government, as an organizing principle in society and as a way of life for the individual and community.”

Daripada definisi ini dapat disimpulkan bahawa liberalisme merupakan suatu kepercayaan (creed), falsafah hidup, dan gerakan yang meletakkan idea kebebasan sebagai prinsip tertinggi dan dominan dalam usaha untuk membebaskan manusia daripada sebarang kawalan moral dan menggantikan peranan agama dalam mengatur kehidupan individu dan masyarakat. Definisi yang diberikan oleh Encyclopaedia Brittanica ini tentunya merupakan definisi yang diterima pakai oleh sarjana Barat pada umumnya dan kerana itu ia adalah definisi yang autoritatif.

Dapat disimpulkan di sini bahawa liberalisme bukan hanya suatu ideologi politik, tetapi merupakan suatu kepercayaan dan cara hidup yang mengatur masyarakat Barat pada umumnya. Sebagai suatu faham tentang kehidupan, ia memiliki asas, tiang dan prinsip-prinsip yang dibangunkan oleh para pemikirnya. Para pengasas atau pendukung ideologi inilah yang bertanggungjawab menggariskan maksud, prinsip-prinsip dan hala tuju liberalisme. Sebahagian daripadanya baik dan sebahagian yang lain adalah buruk jika dinilai daripada kacamata Islam.

SEJARAH KEMUNCULAN LIBERALISME

Kajian mengenai liberalisme tidak lengkap tanpa menyentuh kemunculannya yang berakar dalam sejarah masyarakat Barat dengan sistem-sistem yang berkuasa pada masa itu. Sejarah kemunculan liberalisme bermula dengan gerakan reformasi (Reformation Period) yang antara tokohnya adalah Martin Luther. Gerakan reformasi ini bertujuan menentang ‘autotarianisme’ pemerintahan gereja, menghadkan kekuasaan politik, mempertahankan pemilikan serta menetapkan hak asasi manusia supaya tidak dicabuli.

Liberalisme juga menjadi tunjang kebangkitan Eropah atau zaman Renaissance yang dicatat oleh para sejarawan sebagai zaman penolakan terhadap kekuasaan kerohanian (ecclesiastical) gereja. Ia adalah formula atau ubat yang telah dapat mengeluarkan mereka daripada kegelapan dan kemunduran. Masyarakat barat telah menderita selama lebih kurang seribu tahun di bawah pemerintahan kuku besi gereja yang telah mengorbankan lebih 430,000 orang serta membakar hidup-hidup 32,000 orang atas alasan menentang kehendak tuhan. Galileo, Bruno dan Copernicus adalah antara saintis-saintis yang malang kerana melontarkan idea yang bertentangan dengan idea gereja yang kononnya berasal daripada Tuhan.

Harold Laski, dalam bukunya The Rise of European Liberalism, mencatatkan bahawa gerakan reformasi Inggeris (English Reformation) tersebut bertujuan untuk menghapuskan ketuanan dan kekuasaan golongan agama (papal jurisdiction) dan menghapuskan cukai terhadap gereja (clerical taxation). Oleh yang demikian, kemunculan liberalisme berkait rapat dengan penentangan terhadap agama dan sistem pemerintahan kuku besi sama ada yang dilakukan oleh golongan agama (Gereja) mahupun raja-raja yang memerintah atas nama tuhan (the divine right of kings).

PRINSIP ASAS LIBERALISME

Edmund Fawcett, dalam bukunya Liberalism: The Life of an Idea, menyenaraikan empat idea yang menjadi tunjang liberalisme dan membezakannya dengan ideologi yang lain. Empat idea ini adalah:

  1. Respect for people in their own right
  2. Conflict is inescapable
  3. Resistance to power
  4. Change is inevitable and good.

 

Mengenai idea yang pertama, iaitu penghormatan terhadap hak sivik individu, golongan liberal percaya bahawa sesiapa sahaja perlu menghormati tujuan hidup, pandangan dan kepercayaan seseorang individu dan tidak memaksakan tujuan dan cita-cita yang datang daripada bukan dirinya sendiri, termasuklah tujuan hidup dan aturan moral yang ditentukan oleh agama. Fawcett menegaskan: “liberals hoped for ethical order without appeal to divine authority” (golongan liberal mengharapkan suatu aturan etika tanpa perlu melibatkan autoriti agama).

Kedua, golongan liberal percaya bahawa konflik yang berterusan dalam hal-hal berkaitan pelbagai kepentingan dan kepercayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Keharmonian sosial tidak mungkin dicapai dan usaha ke arah itu adalah suatu kebodohan. Fawcett menambahkan konflik adalah sesuatu yang baik sedangkan kesepakatan dan kedamaian adalah sesuatu yang tidak baik, ini kerana kedamaian akan menghalang kreativiti dan sebarang inisiatif. Justeru mereka beranggapan bahawa konflik jika dijinakkan dapat bertukar kepada perlumbaan yang akan menatijahkan kebaikan. Dalam hal ini golongan liberal berlawanan dengan golongan sosialis yang percaya bahawa konflik dapat dihapuskan apabila punca-punca konflik iaitu ketidaksamarataan material dapat diatasi.

Ketiga, golongan liberal melihat kuasa manusia sebagai sesuatu yang kejam. Kekuasaan manusia ke atas manusia lain cenderung kepada kezaliman kecuali jika dilawan dan dihalang. Ini bermakna liberalisme sentiasa menanamkan rasa kecurigaan dan penentangan terhadap segala bentuk autoriti yang dipegang oleh manusia. Oleh kerana penguasa semestinya berkepentingan, maka kewujudan penguasa yang adil adalah mustahil. Perlawanan terhadap kekuasaan adalah suatu kemestian, dan ini memerlukan keengganan untuk tunduk dan wujudnya pencegahan agar penguasaan suatu kepentingan, kepercayaan mahupun golongan tertentu tidak berlaku.

Keempat, sifat manusia dan masyarakat adalah dinamik. Mereka selalu berubah, dan perubahan itu sendiri adalah sesuatu yang baik. Oleh kerana itu perlu ada batasan moral bagi mengawal bagaimana negara mengatur rakyatnya. Penguasa diwajibkan menghormati masyarakat seadanya, tidak boleh menghalang atau mengganggu masyarakat dalam melaksanakan aktiviti dan kepercayaan masing-masing (superior power should not obstruct or intrude on people in pursuit of their chosen enterprises or beliefs). Fawcett juga menjelaskan bahawa dengan kemunculan liberalisme, cara pemikiran ‘dogmatik’ musnah kerana manusia telah menjauhkan diri mereka daripada autoriti dalam perkara-perkara spiritual dan moral.

Demikianlah gambaran ringkas liberalisme sebagai falsafah politik yang dikemukakan oleh Fawcett. Jelas bahawa meskipun liberalisme yang dibahas terhad kepada pengertiannya dari segi falsafah politik, namun ia tidak terpisah dan merupakan sebahagian daripada falsafah liberalisme sebagai suatu kepercayaan (creed) dan cara hidup.

HERMENEUTIKA & PENAFSIRAN AL-QURAN

‘Hermeneutika’ berasal daripada perkataan Yunani ‘hermeneutikos. Aristotle boleh dikatakan sebagai orang pertama yang memperkenalkan istilah ini dalam bukunya Perl Hermenias (On the Interpretations) yang kemudian dibawa oleh al-Farabi ke dunia Islam dengan terjemahan Fi al-Ibarah. Pada asalnya, istilah hermeneutika digunakan dalam satu bidang kajian untuk merumuskan kaedah dan aturan dalam mentafsirkan Bible. Friedrich Schleiermacher seorang pendeta dan teologi Protestan telah bertanggungjawab mengubah hermeneutika yang bersifat teologi kepada satu bidang falsafah yang memberi perhatian kepada bahasa dan pemahamannya.

 

Ketika idea hermeneutika ini disambut dan diterima bulat-bulat oleh pendukung Islam Liberal, ia telah diadun dengan pemikiran ‘deconstruction dan relativisme dari falsafah pascamodenisme. Gagasan hermeneutika dalam pemikiran Islam Liberal berangkat daripada andaian perlunya merombak atau merubah (deconstruction) pentafsiran Islam. Proses ‘deconstruction berhasrat untuk menghilangkan kesucian (desacralization) dan menafikan perkara ghaib (demythologization) dalam pentafsiran Islam, bahkan al-Quran itu sendiri, yang dikatakan dimonopoli oleh golongan ulama’.

Al-Quran sentiasa difahami sebagai Kalam Allah yang hidup dan sentiasa ditafsirkan mengikut perubahan zaman. Sehingga pendekatan tafsir yang digunakan oleh para ulama’ juga berkembang daripada tafsir dengan nas (tafsir bi al-ma’thur), tafsir dengan akal (tafsir bi al-ra’y), tafsir sosial (al-tafsir al-ijtimai) dan yang sekarang sedang dikembangkan iaitu tafsir berdasarkan tema (tafsir al-mawdui’). Kepelbagaian bentuk penafsiran ini menunjukkan kaedah yang digunakan oleh para mufassirin bukanlah seperti yang digambarkan oleh pendukung Islam Liberal.

Para pendukung ‘hermeneutika’ menekankan subjektiviti penafsiran al-Quran sebagai alternatif bagi pendekatan objektif para ulama’ silam. Alasannya tiada siapa yang tahu maksud sebenar Tuhan. Oleh kerana itu kebenaran para pentafsir al-Quran menjadi relatif dan subjektif. Apabila kaedah hermeneutika diaplikasikan dalam al-Quran, maka al-Quran akan hilang normatifnya. Al-Quran tidak lagi mengandungi aturan dan perintah Tuhan tetapi hanya tinggal tujuan-tujuan yang abstrak dan nilai-nilai yang relatif. Terpulang kepada akal rasional untuk mentafsir dan mengaplikasi prinsip-prinsip dan nilai-nilai tersebut.

Lebih daripada itu, perkara-perkara yang jelas haram secara definitif (qat’i) tidak semestinya haram mengikut kaedah hermeneutika, begitu juga sebaliknya, kerana maqasid ditempatkan lebih tinggi berbanding teks (nusus). Yang menjadi ukuran adalah pertimbangan akal orang-orang yang bukan pakar dalam ilmu tafsir, sebaliknya pakar dalam bidang sosiologi, kebudayaan dan antropologi. Oleh itu, hermeneutika merupakan kaedah memahami teks yang terbuka kepada pelbagai pemahaman mengikut perspektif dan latar belakang pembaca. Maka boleh dikatakan bahawa apa yang berlaku dalam hermeneutika pemahaman bukan atas maksud teks atau maksud pengarang, tetapi pemahaman yang menyerahkan sepenuhnya kepada pembaca. Oleh yang demikian, ia bersifat relatif secara mutlak.

Kesimpulannya, hermeneutika sebenarnya bukan satu kaedah tafsir al-Quran, tetapi satu usaha menghilangkan kesucian al-Quran. Peranan hermeneutika adalah menafikan dan menolak ilmu alat yang disepakati dalam menafsirkan al-Quran atau wahyu Tuhan. Usul al-Tafsir, ulum al-Quran dan beberapa ilmu yang lain yang telah lama dipakai dan disepakati dalam tradisi Islam digantikan oleh ilmu alat yang baru diperkenalkan yang sebenarnya digunakan untuk mengatasi masalah memahami teks-teks Bible dengan menggunakan kerangka sekular.

Dengan itu, penafsiran al-Quran tidak lagi dikuasai oleh golongan ulama’, tetapi terbuka kepada mereka yang pakar dalam bidang-bidang lain seperti sosiologi, antropologi, psikologi dan sains-sains moden. Akibatnya, penafsiran al-Quran menjadi relatif dan kebenaran yang dicapai dalam memahami Islam menjadi nisbi.

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH & FALSAFAH

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah merupakan golongan yang selamat (al-firqah al-nājiyah) kerana berpegang teguh kepada prinsip-prinsip kebenaran (al-ḥaq) yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain sejak generasi pertama, para Sahabat Rasulullah ṣalla’Llāh ‘alayhi wa sallam, sehinggalah ke hari ini. Mereka adalah majoriti (al-sawād al-a῾ẓam), arus perdana, yang sentiasa dibimbing oleh para ulama’ yang berwibawa dan berautoriti.

Para ulama besar telah merumuskan dasar-dasar pemikiran dan asas-asas aqidah berdasarkan kepada ajaran dan Sunnah Rasulullah ṣalla’Llāh ‘alayhi wa sallam dan Sunnah al-Khulafā’ al-Rashidūn raḍiya’Llāh ‘anhum. Selanjutnya para ulama’ penerus dan gergasi pemikiran Islam ini telah berjaya mempertahankan kebenaran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah sebagai aliran yang benar berbanding aliran-aliran lain yang telah menyimpang daripada jalan benar.

 

Dakwaan bahawa ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menolak akal adalah tidak benar, ia adalah tuduhan palsu yang sengaja dilontarkan oleh sebahagian Orientalis dan pendukung Islam Liberal untuk memburuk-burukkan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan Islam secara keseluruhan. Jika salah faham dan kekeliruan ini muncul daripada segolongan Orientalis kerana mereka tidak terdedah kepada kebenaran dan mereka menyimpan hasad dan dengki terhadap Islam, tetapi jika ianya datang daripada orang Islam, bahkan mengaku memperjuangkan Islam, maka ia sesuatu yang aneh dan perlu lebih diwaspadai. Robert R. Reilly dalam bukunya The Closing of The Muslim Mind (2010) mengatakan bahawa golongan Asha’irah telah memusnahkan peranan akal semata-mata untuk memastikan manusia tunduk kepada Tuhan.

Ramai Orientalis seperti Duncan Macdonald dan kelompok Neo-modenis yang mendakwa bahawa penolakan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terhadap falsafah Yunani dalam perkara metafizik (perkara atau alam ghaib) adalah satu penolakan semuanya terhadap falsafah bahkan terhadap penggunaan akal. Tuduhan yang dilemparkan oleh mereka ini amat berat, kerana itu penjelasan perlu diberikan bagi memastikan pembohongan dan fitnah terhadap ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak berterusan.

Tahafut al-Falasifah – Imam Abu Hamid Al-Ghazali

 

Jelas bahawa R. Reilly tidak membaca karya-karya Imam al-Ghazali dengan teliti, kerana jika beliau benar-benar membacanya dan bersikap jujur maka beliau tidak akan membuat kesimpulan yang dangkal dan jauh dari kenyataan seperti di atas. Imam al-Ghazali dalam bukunya al-Iqtisad fi al-I’tiqad mengatakan bahawa menurut golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah:

Tiada pertembungan antara Syariah yang diturunkan dengan kebenaran yang difikirkan oleh akal. Bahawa tanggungjawab seseorang Muslim dalam perkara asas akidah adalah beriltizam dengan jalan pertengahan di antara golongan yang berdiri di atas zahir nas iaitu golongan Hasywiyyah ahli taqlid dan golongan yang merasa cukup dengan akal sahaja iaitu golongan Mu’tazilah”.

[al-Iqtisad fi al-I’tiqad]

Imam al-Ghazali juga menegaskan:

“Akal itu umpama penglihatan yang selamat daripada cacat cela, dan al-Quran itu umpama matahari yang menyinari jagat raya, dengan keduanya seseorang itu dapat memperoleh hidayah. Seseorang yang hanya menggunakan salah satu darinya adalah tergolong dalam orang-orang yang bodoh, orang yang menolak akal hanya cukup dengan cahaya al-Quran sama kedudukannya dengan orang yang mendapatkan cahaya matahari tetapi menutup mata, maka tidaklah berbeza dia dengan orang yang buta. Maka akal dengan Syarak adalah cahaya di atas cahaya”.

[al-Iqtisad fi al-I’tiqad]

Imam al-Ghazali tidak menolak falsafah, justeru apa yang beliau lakukan adalah mengislamisasikan falsafah, kerana terdapat dalam falsafah Yunani itu perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam soal metafizik(perkara atau alam ghaib)  falsafah Yunani menyatakan bahawa:

  1. Alam ini qadim, ia tidak akan mengalami kehancuran.
  2. Tuhan hanya mengetahui perkara kulliyyat (universal) dan tidak mengetahui perkara juz’iyyat (rinci).
  3. Kebangkitan di akhirat nanti adalah kebangkitan rohani dan bukan jasmani sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran.

Kritikan yang diberikan oleh Imam al-Ghazali bertujuan agar umat Islam berpegang teguh dengan kebenaran al-Quran dan tidak goyah lalu mengikut membuta tuli falsafah Yunani yang sebenarnya tidak ilmiah dan tidak saintifik. Ini jelas apabila dunia sains pada hari ini mengakui bahawa alam ini tidak kekal dan akan mengalami kehancuran.

Umumnya Orientalis berpandangan bahawa kemajuan peradaban Islam adalah disebabkan oleh wujudnya proses ‘Hellenization Islam’ yang berlaku pada zaman Mu’tazilah berkuasa, maka penolakan Hellenization oleh Imam al-Ghazali menjadi punca kepada kemunduran peradaban Islam. Andaian ini tidak benar sama sekali jika kita melihat dengan lebih teliti karya-karya para saintis Muslim seperti Ibn al-Haytham dan al-Biruni yang jelas sama sekali tidak terpengaruh dengan falsafah Yunani sebaliknya kajian mereka ini yang banyak mempengaruhi perkembangan sains di Barat pada zaman Renaissance.

Para saintis Muslim mengambil falsafah ilmu yang dibangunkan oleh ulama Asha’irah, sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam Abd al-Qahir al-Baghdadi dan Imam Sa’ad al-Din al-Taftazani yang meletakkan tiga saluran manusia memperolehi ilmu pengetahuan iaitu: pancaindera yang sihat (al-hawas al-salimah), berita yang benar (al-khabar al-sadiq) dan akal. Dengan demikian ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak memisahkan akal dengan wahyu, agama dengan sains, tetapi menghimpunkan ketiganya dalam kesatuan yang harmoni, masing-masing pada tempatnya yang tepat dan sesuai.

Daripada rumusan ini sewajarnya dapat memberikan kita panduan dalam meneroka ilmu sains dan teknologi dan ilmu lainnya, bahawa umat Islam tidak menolak penelitian empiris (eksperimen) dan rasional, induktif dan deduktif, selama ilmu-ilmu ini tidak melampaui batasannya sehingga terlalu diagungkan dan dijadikan ukuran dalam persoalan yang tidak terjangkau oleh pancaindera dan akal seperti yang berlaku dalam peradaban Barat.

FENOMENA ISLAM LIBERAL

Ketika ini kita dapat melihat berlakunya banyak kes di mana apabila seorang Muslim itu menerima liberalisme sebagai ideologinya, dan tanpa segan silu mengaku sebagai seorang muslim liberal, muslim progresif dan lain-lain jenama, mereka ini bukan sahaja menerima dan membenarkan idea-idea liberal tetapi juga menjustifikasikannya dengan mentafsirkan semula Islam agar bersesuaian dengan faham liberalisme yang dianutinya. Usaha mereka ini mendapat sambutan dan sokongan pelbagai pihak di Barat yang melihat bahawa untuk benar-benar memastikan bahawa Islam tidak menjadi ancaman terhadap hegemoni (dominasi) Barat, maka suatu versi Islam yang baru perlu diwujudkan, ia adalah Islam yang liberal, Islam yang bersesuaian dengan nilai-nilai Barat.

Kesemua empat idea yang dinyatakan oleh Fawcett sebagai prinsip utama liberalisme adalah bertentangan dengan Islam, membahaskan keempat-empat idea tersebut dari sudut pandangan Islam memerlukan ruang yang lain, cukup dinyatakan di sini bahawa kebebasan individu dihormati dalam Islam, contohnya seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk menganut agama Islam, namun cara pandang seorang Muslim terhadap kebebasan berbeza dengan liberalisme di mana kebebasan itu mestilah ditetapkan hadnya mengikut lunas-lunas agama dan bukan sepenuhnya mengikut akal fikiran manusia.

Islam juga mewajibkan umatnya untuk menghormati autoriti, baik autoriti ilmu mahupun autoriti kuasa, selama mana keautoritian dan legitimasinya dapat dipertahankan. Islam telah menetapkan bahawa autoriti kuasa itu tidak mutlak, bermakna penguasa perlu diperbetulkan, dengan cara yang baik, jika melakukan kesilapan.

Islam juga menetapkan bahawa keharmonian masyarakat perlu diusahakan dan konflik perlu dihindari. Perbezaan pandangan adalah sesuatu yang normal, namun semua pihak perlu akur dan berkerjasama dalam perkara-perkara prinsip yang menyentuh kepentingan bersama. Dalam erti kata lain perlu ada kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity). Pendekatan liberalisme untuk berkompromi apa sahaja untuk memastikan semua pihak mencapai kehendak masing-masing merupakan pendekatan yang asing dari sudut pandangan orang beragama.

Mengenai perubahan change, ia bukanlah sesuatu yang sentiasa baik. Perubahan nilai-nilai murni yang telah disepakati kebaikannya tidak harus berlaku hanya kerana perubahan zaman. Zina yang dahulunya haram dan terlarang mesti selamanya demikian sehingga hari kiamat. Kerana itu ada perubahan yang baik dan ada perubahan yang tidak baik. Hanya perubahan ke arah yang lebih baik yang patut digalakkan. Semua ketetapan ini dilihat asing dalam kerangka pemikiran liberal, menurut mereka manusia tidak sepatutnya tunduk pada apa-apa ketetapan, akan tetapi apabila golongan ini bercakap tentang hak asasi manusia umat Islam tidak diberikan pilihan melainkan tunduk kepada ketetapan UDHR (Universal Declaration of Human Rights) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang dari segi autoritinya lebih rendah di mata orang Islam berbanding autoriti al-Quran dan Sunnah.

Dr Khalif Muammar di dalam bukunya Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal telah menjawab kekeliruan yang telah ditimbulkan oleh golongan ini. Dalam buku tersebut penulis telah menerangkan prinsip-prinsip yang dipegang oleh golongan ini antara lain iaitu: 1. Sekularisme; 2. Pluralisme agama; 3. Kebebasan berijtihad sebagai alasan untuk menolak autoriti agama; 4. Demokrasi liberal di mana hak individu diutamakan berbanding keharmonian masyarakat; 5. Nilai-nilai liberal sebagai nilai universal. Nilai-nilai liberal yang dimaksudkan di sini termasuklah idea kebebasan bersuara, hak asasi manusia dengan tafsiran yang sekular di mana kelompok LGBT dan kelompok sesat diberikan hak yang sama rata, relativisme nilai-nilai moral yang dianggap tidak tetap dan sentiasa berubah, relativisme kebenaran, kesetaraan gender, dan idea ‘free market yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada para kapitalis untuk menguasai ekonomi.

Di dalam buku ini juga penulis telah menerangkan bagaimana idea-idea di atas telah cuba dipromosikan oleh golongan liberal dengan mentafsirkan semula Islam mengikut kaedah yang baharu, mempertikaikan keutuhan al-Quran itu sendiri sebagai wahyu Allah dan merombak Syari’ah yang dianggap sebagai produk para ulama ratusan tahun setelah kewafatan Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wa sallam. Selain itu melalui pluralisme agama golongan ini telah menyamaratakan semua agama dan melunturkan prinsip tauhid agar umat Islam juga mengakui kebenaran agama-agama lain dan tuhan-tuhan agama lain. Semua idea dan usaha mereka ini tentunya menjadi suatu ancaman kepada akidah dan jati diri umat Islam. Bahkan berpotensi menimbulkan kekacauan dan ketegangan dalam masyarakat.

Hanya orang yang mempunyai mentaliti kalah dan minda tertawan, the captive mind, yang akan berfikir bahawa segala yang baik itu datang daripada Barat dan hanya dengan mengikuti idea-idea Barat kita akan maju. Sesiapa pun yang mengkaji sejarah akan mengetahui bahawa idea-idea yang sering dinisbahkan kepada John Locke, seperti idea natural rights (hak-hak tabi’i), limited government (pemerintahan terbatas) dan kedaulatan undang-undang sebenarnya berasal daripada karya-karya sarjana-sarjana Muslim. Namun oleh kerana mereka tidak mengkaji Ilmu politik Islam dan hanya mengenal idea-idea ini daripada penulisan Barat maka mereka menyangka ia adalah murni produk Barat.

ANCAMAN ISLAM LIBERAL: REALITI & SOLUSI

Islam Liberal bukanlah satu gerakan tunggal yang muncul di satu tempat atau lahir sebagai manifestasi dari pemikiran seorang tokoh tertentu. Ia adalah satu fenomena global yang tersebar dan menular seiring dengan globalisasi serta imperialisme budaya dan pemikiran. Oleh itu perlu ada satu kriteria yang dapat mencirikan golongan ini agar tidak mendatangkan kebingungan dalam kalangan umat. Di antara prinsip-prinsip yang mencirikan wacana Islam Liberal adalah:

  1. Penerimaan sepenuhnya terhadap sekularisme dan nilai-nilai Barat.
  2. Kebebasan berijtihad dan penolakan terhadap autoriti ulama’.
  3. Merombak(dekonstruksi) hukum Islam (Syariah)
  4. Tiada dakwaan kebenaran (relativisme kebenaran)
  5. Pluralisme agama (kepercayaan bahawa semua agama adalah benar)

Kemunculan golongan Islam Liberal sangat dipengaruhi oleh kewujudan krisis dalaman pemikiran umat Islam. Krisis ini, menurut kajian sosiologi, amat wajar berlaku setelah perjalanan panjang yang dilalui oleh umat Islam dan boleh menyebabkan umat hilang arah pedoman sehingga semangat serta keaslian misi Islam semakin kabur. Penelitian Malik Bennabi sangat relevan untuk dicermati:

As soon as it loses genuine contact with its archetypes or its original master ideas imparted to it as its birth, a society will ultimately lose sense of its mission in history.”

 

Sarjana-sarjana Muslim telah cukup lama menyedari wujudnya krisis pemikiran dalam tubuh umat Islam. Muhammad Iqbal dalam bukunya yang fenomenal bertajuk The Reconstruction of Religious Thought in Islam merupakan antara penulisan awal membincangkan hal ini. Selain itu juga, tokoh-tokoh pembaharuan seperti Jamaludin al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, Muhammad Rashid Rida sehinggalah kepada Ikhwan al-Muslimin yang dipelopori Hasan al-Banna dan gerakan-gerakan Islam lainnya, semuanya menyeru kepada pembahruan (tajdid) dalam pemikiran umat Islam agar reformasi (islah) tercapai, sama ada dari segi sosial, politik, ekonomi mahupun pemikiran.

Prof. Syed Naquib al-Attas

Selain itu juga, ilmuwan daripada Malaysia seperti Prof. Syed Naquib al-Attas dalam usaha mengatasi krisis pemikiran umat Islam, merumuskan tiga faktor yang menyebabkan berlakunya krisis tersebut:

  1. Kekeliruan serta kesilapan mengenai faham ilmu
  2. Keruntuhan adab dalam kalangan kaum Muslimin
  3. Kemunculan pemimpin palsu dalam semua bidang

Beliau menjelaskan, kesemua faktor tersebut bermula daripada krisis ilmu, manakala dua faktor pertama menyebabkan munculnya faktor ketiga, iaitu kemunculan pemimpin-pemimpin palsu. Analisa beliau dapat difahami dengan baik apabila kita menyedari bahawa segala masalah yang kita hadapi berpunca daripada kekliruan atau ketiadaan ilmu, dan sesuatu masalah akan dapat dihindari apabila seseorang dapat menyelesaikannya dengan betul.

Kelemahan umat Islam dalam bidang ekonomi misalnya berpunca daripada kurangnya penguasaan terhadap ilmu pengetahuan moden, dan situasi ini timbul disebabkan sikap sebahagian umat Islam yang menganggap ilmu sains moden kurang penting dan hanya mementingkan ilmu-ilmu agama. Walhal kedua-duanya merupakan satu kewajipan yang sangat penting untuk dikuasai dan didalami. Jadi di sini jelas bahawa semuanya bermula dengan persepsi terhadap ilmu yang salah.

Keengganan sebahagian cendekiawan Muslim untuk menghargai tradisi keilmuan Islam juga menunjukkan ketiadaan adab dan kejahilan mereka dalam menentukan autoriti dalam bidang keilmuan Islam. Bagi golongan Liberal, kajian Orientalis lebih dipercayai dan berautoriti berbanding pandangan ulama’ silam yang dianggap tidak lagi signifikan. Krisis pemikiran dalam minda umat Islam ini dapat dilihat dalam pemikiran sebahagian ilmuwan Islam.

Pendekatan atau solusi dalam mendepani pemikiran Islam Liberal menurut Dr Khalif Muammar adalah perlunya pengukuhan pandangan alam Islam dan penguasaan tradisi keilmuan Islam. Tradisi keilmuan Islam perlu ditempatkan pada tempat yang sewajarnya. Tidak terlalu diagungkan sehingga menimbulkan kejumudan dan tidak juga direndahkan sehingga menimbulkan sikap rendah diri dan mengagungkan Barat. Yang penting adalah bagaimana tradisi dapat dihidupkan kembali agar ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang kehilangan jati diri. Oleh itu, kembali kepada tradisi adalah kemestian, namun lebih dari itu tanggungjawab yang lebih berat adalah bagaimana menghadirkan tradisi tersebut dengan wajah yang dapat menarik atau menjadi solusi kepada masyarakat hari ini.

Selain itu, al-Wasatiyyah adalah pendekatan terbaik dalam mendepani cabaran semasa. Hakikat yang perlu diakui ialah terdapat sebahagian umat Islam, bahkan ulama yang mengambil pendekatan konservatif dan literal dalam memahami Islam. Golongan konservatif-literal ini mempunyai beberapa ciri tertentu dalam cara mereka berfikir. Di antaranya kecenderungan menolak segala bentuk pembaharuan dan kemajuan termasuk sains dan teknologi. Mereka menolak sains Barat semata-mata kerana ilmu tersebut datang daripada Barat. Atas dasar ini juga, mempelajari Bahasa Inggeris pernah dianggap haram dan kaum wanita tidak dibenarkan untuk terlibat dalam kegiatan sosial dan politik.

Sejak awal sejarah Islam lagi, majoriti ulama’ sebenarnya mengambil pendekatan jalan tengah diantara kedua-dua pendekatan literal dan liberal. Dan jalan tengah sebagaimana dinyatakan hadith adalah jalan yang terbaik. Dalam al-Aqidah al-Tahawiyah Imam Abu Ja’far al-Tahawi menegaskan bahawa Islam berada di antara al-ghuluww (ekstrimisme) dan al-taqsir (liberalisme). Hal yang serupa dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam al-iqtisad fi al-I’tiqad dan Imam Fakhruddin al-Razi dalam al-Mahsul fi Usul al-Fiqh. Golongan ini, menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, berpegang kepada teks dengan tidak mengenepikan maqasid.

Saidina Umar al-Khattab RA, yang ijtihadnya sering disalahfaham oleh golongan Liberal, merupakan antara yang mengaplikasi pendekatan tersebut. Seringkali, beliau dikatakan membuat keputusan atau ijtihad yang dianggap bertentangan dengan teks, tetapi bertepatan dengan kehendak teks yang lain serta Maqasid al-Syariah. Sebagai contoh:

  1. Menetapkan kadar jizyah mengikut kadar kemampuan mereka yang dikenakan jizyah
  2. Menghapuskan perkataan jizyah bani Taghlib daripada golongan Nasrani
  3. Tidak memberi zakat kepada al-muallaf qulubuhum seperti apa yang mereka terima pada zaman Nabi
  4. Tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera yang yang terdiri daripada sahabat Nabi

Walaupun ijtihad Saidina Umar RA mendapat bantahan sebahagian daripada sahabat RA seperti tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera yang terdiri daripada sahabat Nabi ﷺ, akan tetapi ternyata pendapat beliau bertepatan dengan kehendak al-Quran yang menggariskan bahawa harta tidak boleh dimonopoli oleh segolongan elit sahaja.

Daripada penelitian di atas, dapat disimpulkan bahawa majoriti para sarjana Muslim mengambil pendekatan jalan tengah atau sederhana dalam memahami teks-teks agama. Pendekatan jalan tengah antara literal dan liberal, jumud dan bebas, konservatif dan progresif inilah yang kini dikenali pendekatan al-Wasatiyyah yang selalu disebut oleh Dr Yusuf al-Qardhawi.

PENUTUP

Sekularisasi di dunia Barat telah menghancurkan agama Kristian. Walaupun sains moden yang sekular telah membawa masyarakat Barat kepada kemajuan namun ia juga telah menjadikan agama Kristian tidak berdaya dan tidak relevan. Kematian agama dan kematian Tuhan ini telah diisytiharkan oleh Nietszche setelah mengamati sejarah falsafah Barat. Menurutnya, setelah kematian Tuhan, tidak ada lagi perspektif universal terhadap sesuatu perkara dan tidak ada lagi dakwaan kebenaran. Maka yang tinggal adalah relativisme, subjektivisme dan perspektivisme.

Usaha menghancurkan dan menjadikan Islam tidak relevan juga turut berlaku. Telah wujud golongan dalam kalangan umat Islam yang ingin melakukan hal yang serupa sebagaimana yang telah dilakukan oleh Barat terhadap Kristian. Islam Liberal, dengan menggunakan Sufastaiyyah moden sebagai alatnya, telah cuba menghancurkan kemapanan Islam. Islam dianggap tidak lebih dari sekadar produk manusia: kesucian al-Quran digugat, akidah dirombak dan syariah direlatifkan. Golongan ini tertipu dengan kemajuan tamadun Barat lalu menjadikannya sebagai idola dan berhala.

Golongan ekstrimis liberal juga beranggapan bahawa sebarang usaha Islamisasi adalah satu bentuk radikalisme dan ekstrimisme, maka tidak hairanlah apabila mereka menyamakan orang Islam yang ingin memperkasakan mahkamah Syariah dengan ISIS. Kerana bagi mereka kedua-dua golongan ini memaksakan tafsiran Islam masing-masing terhadap orang lain.

Mereka sengaja melupakan hakikat bahawa di Malaysia ini, langkah memperkasakan mahkamah Syariah dan RUU 355 dilakukan melalui saluran demokrasi yang sah. Jika RUU ini nanti diluluskan oleh parlimen dan mendapat sokongan majoriti rakyat maka tidak ada sebab mengapa ianya dianggap bertentangan dengan prinsip demokrasi dan perlembagaan. Maka sifat anti demokrasi sebenarnya terserlah pada golongan ekstrimis liberal yang hanya mahu agar setiap dasar dan langkah di parlimen perlu mengikut kehendak golongan mereka sahaja.

Di dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah ﷺ mengingatkan kita tentang situasi di akhir zaman di mana orang Islam akan mengikuti jejak langkah kaum Yahudi dan Nasrani, sejengkal demi sejengkal, sehingga apabila mereka masuk ke lubang biawak sekalipun mereka akan mengikutinya. Melalui hadis ini Rasulullah ﷺ telah memperingatkan umat Islam agar tidak mengikuti cara hidup dan cara berfikir orang Yahudi dan Nasrani.

Demikianlah keadaannya sebahagian umat Islam pada hari ini. Ramai yang keliru dan mempunyai penyakit inferiority complex, sehingga mereka dengan rela memperhambakan diri mereka kepada bangsa-bangsa asing yang telah mendidik mereka supaya kekal sebagai hamba dan mengikut apa sahaja yang diarahkan.

Kesimpulannya, umat Islam, khususnya di Malaysia harus kembali kepada tradisi keilmuan Islam yang sudah sedia berakar sejak sekian lama, iaitu tradisi keilmuan Ahlu’l-Sunnah wa‘l-Jamā‘ah yang sebenar. Janganlah menggangap ini adalah isu perbezaan pendapat semata-mata, kerana apa yang sedang dilakukan adalah usaha segelintir puak pelampau yang sedang merosakkan tunjang agama yang kita imani. Amatlah rugi jika kita mencabut akar ini, dek terpesona dengan keghairahan kelompok yang terpinggir, yang pada permukaannya nampak hebat, tetapi apabila diteroka doktrin dan ajaran mereka, ternyata terbongkar segala skandal yang meresahkan.

Pihak berkuasa juga perlu lebih bijaksana dalam menangani hal yang melibatkan pemikiran, bukan sekadar menggunakan cambuk dan cemeti semata-mata. Jika berkeinginan untuk membuka ruang awam kepada hal-hal kontroversi sebegini, masyarakat wajarlah dididik terlebih dahulu untuk berfikir dengan benar dan tepat, bukan sekadar melambakkan mereka dengan pelbagai pendapat dan pandangan yang tidak dapat dijejak keikhlasan, kejujuran dan kebenarannya.

Renungilah kata-kata Sayyidina Ali karam Allahu wajhah:

“Janganlah kamu mengetahui Kebenaran melalui orang, sebaliknya ketahuilah Kebenaran maka kamu akan mengetahui siapakah Ahlinya.”

——————————————————————————————————————————–

 

Muhammad Luqman Bin Muhamad Shuarimi

Tahun 6 Kuliah Perubatan

PERUBATAN Cawangan al-Azhar

RUJUKAN

  1. Atas Nama Kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal – Dr Khalif Muammar
  2. Risalah Untuk Kaum Muslimin – Syed Muhammad Naquib al-Attas
  3. Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Tangan Umat Islam – Dr Majid Irsan Kaylani
  4. Indahnya Politik Cara Islam – Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
  5. http://hakim.org.my/blog/?p=344
  6. http://hakim.org.my/blog/?p=695
  7. http://hakim.org.my/blog/?p=697
  8. http://hakim.org.my/blog/?p=631
  9. http://wise.hakim.org.my/index.php/alhikmah/14-manhaj-dan-kerangka-pemikiran-ahl-al-sunnah-wa-al-jamaah-bahagian-2
  10. https://www.menara.my/meluruskan-kekeliruan-tentang-ashairah-jawapan-kepada-farouk-musa/
  11. https://www.menara.my/menjawab-farouk-peru-dan-ekstremis-liberal/

 

 

 

 

 

 

 

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?