[ILMU DAN AKHLAK JADI MAKANAN RUJI]

1

Hayyu Sabi’, 31 Oktober 2017 – “Kalau kita tidak ada ilmu, macam mana kita nak orang pandang dan hormat kita? Menjadi seorang pendakwah haruslah mempunyai pegangan ilmu yang lengkap dan baik dalam semua aspek”, begitulah antara pengisian yang disampaikan oleh mantan Yang Dipertua (YDP) merangkap Lembaga Penasihat Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM), Ustaz Ahmad Fariz bin Mohd Zaini dalam program Daurah Mentor 2017 (DUAT 17) yang berjaya diadakan di Wisma Sultan Muhammad V, kelmarin.

Kenyataan tersebut seiring dengan ucapan Pengarah Mentor Council (MC) PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) bagi sesi 2017/2018, saudara Muhammad bin Aziz. Dalam temubualnya, saudara Muhammad berkata, “Ilmu dan ‘thaqafah’ yang tinggi merupakan elemen paling penting untuk memandu pembawaan dakwah terhadap sasaran para pendakwah.” Saudara Muhammad juga menambah, di samping menjadi wadah untuk menambah ilmu para pendakwah, DUAT juga penting dalam menyuntik semangat buat para pendakwah yang lama mahupun baru.

Tambahan lagi, menurut saudari Naemah Shakirah binti Muhamad Shafie selaku Timbalan Pengarah MC sesi 2017/2018, selain daripada suri teladan atau ‘qudwah hasanah’ yang tidak boleh dipandang enteng, ilmu dari pelbagai aspek merupakan elemen penting yang perlu dititikberatkan. “Ilmu amat penting kerana menjadi penyuluh kepada para pendakwah supaya tidak tersasar dari landasan dakwah yang sebenar. Akhlak juga penting kerana melalui peribadi yang baik, seorang muslim akan mencerminkan Islam yang ada dalam dirinya dengan baik.”

“Akhlak juga haruslah disertakan dengan kesedaran. Apabila seorang pendakwah itu ada kesedaran, dia tentu akan mengubah dan memperbaiki dirinya sendiri. Andai ada kekurangan ilmu, dia akan sedar dan terus menambahkan lagi pengetahuannya”, ujar saudara Abu Bakar Al Siddiq bin Mohamed, Pengarah DUAT 17. “Elemen ini selari dengan tema DUAT 17 kita semalam (kelmarin) , iaitu Jiwai Smart Circle (SC), terdidik generasi”, tambahnya lagi.

Turut sama memberikan pandangan adalah salah seorang daripada mentor yang hadir dalam program DUAT 17 kelmarin. Mahasiswa tahun 3 kuliah pergigian, saudara Ahmad Irfan bin Ariffin. Jelas saudara Irfan, ilmu dan akhlak diibaratkan sepasang sepatu yang melindungi pemakainya daripada kotoran dan duri. “Kotoran dan duri ini kita ibaratkan dunia sekarang. Andai tidak ada kedua-dua atau salah satu sepatu, pasti kaki kita akan luka dan kotor. Jadi, seorang pendakwah haruslah mempunyai sepasang kasut yang lengkap agar mempunyai kesinambungan dakwah dengan Rasulullah SAW”, jelas saudara Irfan.

Muhammad Arifuddin bin Syahril.
Tahun 2 Pergigian.

ARTIKEL BERKAITAN

1 KOMEN

Apa komen anda?