[ARKIB PCA : “House of Merging Ukhuwwah”]

0

Sebuah pusat atau juga lazim disebut sebagai ‘markas’ merupakan salah satu elemen terpenting bagi membantu sesebuah organisasi melakukan kegiatan gerak kerja persatuan dan juga aktiviti bersama ahli demi mencapai matlamat organisasi. Istimewa bagi Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) Cawangan al-Azhar, markas bukan sahaja berfungsi sebagai pusat kegiatan dan aktiviti malah markas turut berperanan sebagai medium utama dalam menyatupadukan ahli dan seluruh komuniti pelajar-pelajar Fakulti Sains Kesihatan Universiti al-Azhar secara amnya.

Menyedari kepentingan itu, usaha yang sinergi dan berterusan telah dilakukan oleh pimpinan dan ahli sejak awal penubuhan PCA lagi demi memastikan PCA mempunyai markas tersendiri untuk kegunaan dan manfaat organisasi dan juga ahli terutamanya.

Berikut adalah kronologi pencarian dan perpindahan markas PCA (Markas PERUBATAN Hayyu Sabie dan Darul HAMKA) bermula sejak awal Tahun 2012 sehinggalah ke hari ini :

1. AWAL TAHUN 2012-PENCARIAN MARKAS PERTAMA BERMULA
• Pencarian markas PERUBATAN Hayyu Sabie bermula seawal tahun 2012 yang merupakan hasil idea dan usaha salah seorang ahli ketika itu iaitu saudara Mohd Hamdi bin Razali yang mencadangkan bahawa PCA memerlukan sebuah markas bagi memudahkan perkumpulan dan kegiatan komuniti mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan Universiti al-Azhar.

2. TAHUN 2012-PENEMUAN DAN PERASMIAN MARKAS PERTAMA (MARKAS PERUBATAN H7)
• Beberapa perancangan dan perbincangan telah dilakukan melibatkan beberapa orang pelajar dan akhirnya bersepakat untuk melakukan usaha pencarian markas khas untuk kegunaan komuniti pelajar-pelajar Fakulti Sains Kesihatan Universiti al-Azhar.
• Hasil perbincangan tersebut, sebuah syaqah (rumah) sewa telah dipilih untuk dijadikan sebagai markas yang terletak di imarah (bangunan) Masjid Bir, berhadapan dengan Stesen Minyak Benzene Mahkamah, Hayyu Sabie, Kaherah.
• Rumah tersebut dilihat sesuai kerana mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya 2 ruang mesyuarat dan 1 ruang untuk program.
• Markas ini telah dirasmikan oleh saudara Syafiq Hamdani selaku Presiden PERUBATAN sesi 2011/2012 ketika itu.
• Harga sewa markas pertama ini adalah sebanyak EGP 2500/bulan dan dihuni oleh beberapa orang pelajar.

3. TAHUN 2013-PERPINDAHAN MARKAS KALI PERTAMA (MARKAS PERUBATAN H7)
• Sejak wujudnya markas PERUBATAN tersebut, kegiatan persatuan semakin rancak dan berkembang. Bilangan kedatangan pelajar baharu Fakulti Sains Kesihatan ke Universiti al-Azhar juga semakin bertambah.
• Sehubungan dengan itu, pada Tahun 2013 salah seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PCA telah mencadangkan untuk markas berpindah ke tempat lain atas faktor keperluan untuk memiliki sebuah markas yang lebih besar dan selesa berikutan faktor tersebut.
• Beberapa usaha pencarian markas baharu telah dijalankan dan hasil daripada pencarian tersebut sebuah rumah 2 tingkat telah ditemui dan dipilih untuk dijadikan sebagai premis markas yang baharu yang terletak di Tingkat 4, Imarah 31, Jalan Ahmad Hasan el-Zayat, bersebelahan Wisma Perak B, Hayyu Sabie.
• Markas ini mempunyai 2 tingkat dan kapasiti sekurang-kurangnya 1 ruang pejabat, 3 ruang mesyuarat, 1 ruang perpustakaan mini, 1 ruang stor menyimpan aset PCA dan 1 ruang besar untuk program.
• Markas ini telah dirasmikan oleh saudara Wan Mohd Redzuan bin Wan Hassan selaku Naib Pengerusi I mewakili pihak Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2013/2014.
• Markas ini dihuni oleh 6 orang pelajar yang berperanan menjaga markas dan juga menampung sebahagian daripada jumlah harga sewa markas.
• Harga sewa markas ini adalah sebanyak 5000LE/Bulan.
• Hasil daripada usahapencarian dana bagi menampung sewa markas yang dilakukan oleh Biro Perumahan (BHOME) PCA waktu itu, PCA telah Berjaya memperoleh tajaan sewa markas sebanyak 5000USD.
• Pada waktu itu, sebuah sistem iaitu Sistem Infak Berunit (SIB) telah diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif untuk menjana sumber kewangan bagi menampung sewa markas.
• Sistem ini kemudiannya telah diubahsuai kepada sebuah sistem baharu yang lebih efektif iaitu Skim Tajaan Ahli (STA) yang masih digunakan sehingga hari ini.

4. TAHUN 2014-PENAMAAN MARKAS KEDUA
• Sebuah pertandingan mereka cipta nama markas telah dianjurkan dalam salah sebuah program anjuran PCA iaitu program Sinergi IV.
• Beberapa orang pelajar telah menyertai pertandingan tersebut dan hasil keputusan juri, saudari Dalia Binti Zaidi dan saudari Farhaana Binti Ishak yang mempertaruhkan nama “Darul HAMKA (House of Merging Ukhwah)” telah diiktiraf sebagai pemenang sekaligus mengubah nama markas yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Markas PERUBATAN Hayyu Sabie’ kepada nama markas yang baharu iaitu ‘Darul HAMKA’.
• Menurut saudari Dalia Binti Zaidi dan saudari Farhaana Binti Ishak, mereka mencadangkan nama tersebut adalah kerana terinspirasi dengan ketokohan Buya Hamka sebagai ulama dan ilmuwan sufi yang dekat dengan masyarakat.

5. JULAI 2016-PERPINDAHAN MARKAS KALI KEDUA (DARUL HAMKA)
• Tahun demi tahun berlalu dan pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan di Darul HAMKA dan harga sewa markas pada waktu itu juga telah mula meningkat sehingga mencecah 6000LE/sebulan.
• Sumber dana untuk menampung sewa markas ketika itu tidak mampu untuk menanggung jumlah tersebut.
• Pada 20-23 Julai 2016, mesyuarat AJKT telah diadakan bagi membincangkan cadangan untuk markas berpindah ke tempat lain atas faktor kekurangan sumber dana untuk menampung kos sewa markas tersebut.
• Tambahan pula, hasil kutipan STA pada waktu itu kurang memberangsangkan dan tidak cukup untuk menampung sewa markas yang terlalu tinggi.
• Hasil mesyuarat tersebut, semua AJKT telah bersepakat untuk berpindah ke tempat lain dengan sewa yang lebih murah dan sesuai mengikut kemampuan dana ketika itu.
• Sementara itu, beberapa pertemuan dengan pihak tuan rumah juga telah dibuat dan beberapa kata sepakat telah dipersetujui iaitu : 1) Perpindahan perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 20-23 Julai 2016 dan 2) segala kos utiliti serta kerosakan akan dinilai selepas hari raya Aidilfitri pada tahun tersebut.
• Kos bagi proses perpindahan markas kali kedua ini adalah sebanyak 35,000LE.

6. JULAI 2016-PENEMUAN MARKAS KETIGA (DARUL HAMKA)
• Pada 20 Jun 2016, AJKT PERUBATAN Cawangan al-Azhar Sesi 2016/2017 telah mengadakan satu mesyuarat tergempar untuk melakukan usaha pencarian markas yang baharu sesuai dengan kemampuan dana ketika itu.
• Hasil daripada usaha tersebut, beberapa buah premis yang sesuai untuk dijadikan markas telah ditemui.
• Sebuah mesyuarat susulan AJKT PCA telah dibuat bagi membincangkan pemilihan premis yang paling sesuai daripada kesemua premis yang dicadangkan.
• Hasil daripada mesyuarat tersebut, AJKT telah bersetuju untuk memilih sebuah rumah yang bertempat di Hayyu Safarat dan akad (perjanjian/kontrak) dilakukan pada 23 Jun 2016 di antara tuan rumah dan pihak Majlis Tertinggi PERUBATAN Cawangan al-Azhar ketika itu.
• Beberapa usaha untuk mencari sumber dana bagi menampung kos perpindahan juga telah dijalankan dan hasil daripada usaha tersebut PCA telah berjaya mengumpul dana sebanyak 22,387.47 LE.

7. OGOS 2016-PERPINDAHAN MARKAS KALI KETIGA (DARUL HAMKA)
• Tidak sampai beberapa bulan di markas yang baharu, pihak jiran yang mendiami imarah (bangunan) yang sama mula merasa kurang selesa dengan kewujudan markas PCA di situ dan telah memaksa pihak PCA untuk mencari premis baharu. Jiran yang menetap di situ tidak dapat bertoleransi bahawa rumah tersebut dijadikan sebagai pusat untuk kegiatan persatuan.
• Pada 23 Ogos 2016, barisan AJKT PERUBATAN Cawangan al-Azhar telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan permasalahan ini.
• Hasil mesyuarat tersebut, semua AJKT telah bersetuju untuk berpindah markas sekali lagi dalam waktu yang terdekat.
• Tempahan markas sepanjang tempoh itu terpaksa dibekukan kerana ingin menenangkan keadaan dan akan dibuka semula pada akhir pada 27 Ogos 2016.
• Sepanjang tempoh itu juga, sebarang aktiviti yang melibatkan pengumpulan ahli yang ramai terpaksa dijalankan di premis-premis Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN).
• Penerangan kepada ahli tentang situasi semasa Darul HAMKA telah dilakukan dengan lebih jelas pada program Daurah Summer anjuran Biro Pembangunan Insan (BPI) PCA.
• Kos perpindahan pada kali ini adalah mencecah sebanyak 45,400LE.

8. OKTOBER 2016-PENEMUAN MARKAS KEEMPAT (DARUL HAMKA-SEKARANG)
• Hasil mesyuarat semua AJKT bersepakat untuk memilih salah satu rumah daripada beberapa rumah yang telah dicadangkan untuk dijadikan sebagai markas yang terletak di alamat Tingkat 3, Jalan Khalifah ar-Radhi, Hayyu Sabi’, Madinah Nasr, Kaherah.
• Markas ini mempunyai kapasiti sebanyak 1 ruang pejabat, 1 ruang perpustakaan mini, 1 ruang mesyuarat dan satu ruang untuk program.
• Pada 16 Oktober 2016, proses perpindahan markas ke premis baharu telah dijalankan.
• Proses perpindahan yang berturut-turut berjalan ini berjalan dengan lancar hasil daripada bantuan dan kerjasama padu yang diberikan oleh ahli PCA sendiri.
• Sehingga hari ini, PCA telah berjaya menjalankan pelbagai kegiatan persatuan serta aktiviti dan program bersama ahli di markas ini tanpa sebarang masalah serius samada dengan pihak tuan rumah ataupun jiran tetangga.

Pelbagai dugaan dan cabaran telah ditempuh oleh pimpinan bersama ahli PCA demi memastikan PCA sentiasa memiliki sebuah pusat bagi memudahkan kegiatan persatuan dan juga aktiviti bersama ahli. Semoga Darul HAMKA terus bertahan lebih lama dan berfungsi sebagai medium utama penyatuan ahli PCA dan komuniti pelajar-pelajar Fakulti Sains Kesihatan secara amnya sesuai dengan maksud di sebalik namanya “HAMKA : House of Merging Ukhuwwah”.

Oleh:

Muhammad Ruzaini bin Maidin
Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.


Nurul Asma Naqibah binti Nor Azha
Timbalan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?