ANGAN-ANGAN MENCETUS REALITI

ANGAN-ANGAN MENCETUS REALITI

Setiap insan terdidik dan dididik untuk mengejar cita-cita sejak dari kecil dek realiti kehidupan yang memaksa. Kadang-kadang cita-cita yang dikejar itu memang diimpikan dan ada juga yang mengejarnya bukan terbit dari hati yang dalam. Memasang sesebuah impian atau cita-cita tidak semudah mengejar cita-cita. Kelainan istilah itu membawa erti yang agak berbeza. Jika ditanya anak-anak kecil apa yang mereka impikan, terlalu banyak dan sangat mengujakan. Mereka mencipta memori kecil mereka dengan mengaplikasikan impian mereka saat demi saat. Bagaimana pula bila anak kecil ini meningkat dewasa? Percayalah, anak kecil itu adalah diri anda sekarang, seorang yang lebih matang dalam  memasang dan mengejar cita-cita yang menjadi matlamat.

Tiada salahnya mencipta seribu satu impian, kerana ia menjadikan hidup kita lebih berwarna-warni. Namun, keutamaan dalam mengejar impian harus diteliti. Sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan, sepatutnya matlamat yang jelas sudah tertanam di dalam jiwa. Tiada lagi angan-angan yang tidak menjejak realiti. Setiap perkara yang dilakukan haruslah seiring dengan niat kita yang murni. Ikatlah cita-cita kalian dengan satu tali ikatan yang disaksikan oleh Allah SWT. Secara pandangan kasar, mungkin tiada apa yang dapat dirasakan oleh jiwa-jiwa. Tetapi, yakinlah angan-angan bisa mencetus sebuah realiti dengan ada di dalamnya aspek-aspek yang mencapai reda-Nya.

Hadis riwayat Abdullah bin Masud RA, beliau berkata,  Rasullah SAW bersabda, “Tidak ada hasad (iri) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang, yaitu terhadap orang yang Allah SWT berikan harta, ia menghabiskan dalam kebaikan dan terhadap orang yang Allah berikan ilmu, ia memutuskan dengan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang lain”.

(Shahih Muslim No.1352)

Dua golongan yang digariskan di dalam hadis di atas adalah golongan yang berusaha merealisasikan sebuah nikmat yang dikuniakan oleh Allah SWT. Seorang Mukmin yang beriman dan saling mengasihi Mukmin yang lain mestilah mempunyai sifat-sifat yang sebegitu. Dalam konteks kita sebagai penuntut ilmu yang sentiasa dilimpahi dengan rahmat ilmu, mestilah sedaya upaya untuk mengutip ilmu dan berkongsi manfaatnya bersama.

“The more you give, The more they try and take”

إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِى نَعِيمٍ

“Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan.”

(Surah al-Infithar: 13)

Impian generasi dahulu telah membuahkan satu hasil yang besar dan dapat dirasai oleh generasi muda kini. Penubuhan PERUBATAN bermatlamatkan menjaga kebajikan ahli tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu seluruh sahabat, rakan sebaya yang hadir menuntut ilmu di bumi Mesir. Biro Akademik PERUBATAN Cawangan al-Azhar memperkenalkan beberapa medium yang berunsurkan akademik khusus untuk ahli seperti Glow with Flow, Stargate, Tutorial Session dan banyak lagi dengan tujuan menjaga akademik ahli dan secara tidak langsung membuka peluang kepada ahli untuk mencurahkan segala perkongsian ilmu bersama. Bukan itu sahaja, apa yang kita dapat lihat, aktiviti-aktiviti ini juga mampu merapatkan jurang antara ahli (Senior-Junior) sebagaimana dasar yang dibawa oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar mengenai agenda kesatuan ahli yang berbunyi “PCA: Stronger As One”.

“Tidak ada celaan terhadap orang-orang yang lemah, dan tidak pula terhadap orang-orang yang sakit, dan tidak pula terhadap orang-orang yang tidak memperoleh sesuatu yang dapat mereka belanjakan, apabila mereka berlaku ikhlas terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan untuk mencela  orang-orang yang berbuat baik, dan sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

(Surah at-Taubah: 91)

Lakukan kebaikan biar sekecil mana pun ia, kerana kita tidak tahu kebaikan mana yang akan membawa kita menuju syurga.

Ada orang pernah berkata, “Hendaklah langkah-langkahmu di jalan kebaikan itu, seperti melangkah di pasir yang basah. Tidak terdengar suaranya, namun bekasnya tampak dengan jelas.”

Akhir kalam, semoga impian-impian murni kita semua membuahkan hasil yang diinginkan. Walaupun begitu, liku-liku kehidupan sangatlah pelbagai. Ya, syukur dan sabar adalah dua hal yang perlu ada dalam diri seorang Muslim. Kerana dengan dua perkara ini, kita mampu berfikiran positif dan mengambil pelajaran daripada setiap ketetapan Allah SWT yang hadir dalam kehidupan. Baik itu ketetapan yang baik, mahupun sebaliknya.

Wallahualam.

A’faf binti Othman,

Tahun 4 Perubatan,

Timbalan Ketua Biro Akademik, PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?