KESATUAN MEMBAWA RAHMAT

KESATUAN MEMBAWA RAHMAT

“Tut tut… tut tut… tut tut…”, pandangan Kibe terus teralih  ke  skrin telefon bimbitnya yang berdering. Buku dilepaskan dan butang hijau ditekan.

“Jai yang call rupanya, ape kehei die call aku ni? Tak palah, mungkin ada hal penting yang ingin dikongsikan“, Kibe bermonolog.

“Assalamualaikum Kibe. Aku mau minta tolong sama kau bah sekarang ni. Boleh ka? Kau saja yang boleh tolong aku.”, kedengaran loghat Sabah yang tidak asing melalui corong telefon.

“Wa’alaikumussalam. Ha, Jai! Nape kamu? Cer kabor slow-slow. Tolong ape ni yeop oi?“

“Baba rumah ako buat hal sekarang ni. Dia suruh aku pindah rumah sekarang jugak. Tolong ako bah. Aku tak tahu macam mana sekarang ni. Barang rumah aku banyak ni, semua tak kemas lagi.“

Perbualan seperti ini acap kali  dapat kita dengar dalam sesebuah komuniti yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kepelbagaian ini mencorak suka dan duka yang bisa mengukir sebuah  kehidupan. Gelak tawa  serta tangisan hiba menjadi asam garam yang tersisip rapi dalam memori indah seorang insan.

Manusia disebut sebagai makhluk sosial. Mereka tidak dapat hidup sendiri. Mereka memiliki akal yang dapat berkembang dengan adanya komunikasi yang menjadi wahana penyampaian ilmu  dan saling membantu. Tanpa ada komunikasi, manusia tidak akan berkembang. Agama juga selaras dengan hal ini. Islam bukan sahaja mengatur penganutnya mengenal Allah SWT, malah ia juga menekankan hubungan manusia dengan manusia. Ayat al-Quran juga ada  menyebut  “Hablum minaAllah,wa hablum minannas”

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami  telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita, dan kami telah menjadikan kamu berbagai  bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya  antara kamu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuannya.”

(al-Hujurat:13)

Sebagai seorang Muslim kita tidak cukup berhubungan baik dengan Allah SWT sahaja, malah kita juga dituntut untuk berhubungan dan menjalinkan tali persaudaraan sesama manusia.

Apabila kita sama-sama menguak jendela sejarah, maka kita dapat lihat bahawa sesungguhnya tamadun Islam  mampu berdiri dan bertahan dalam tempoh masa yang cukup lama. Hal ini kerana mereka berdiri atas satu kesatuan yang kukuh. Kesatuan bagaimanakah yang dimaksudkan itu? Adakah kesatuan daripada segi perkauman?

“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah SWT, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah SWT  kepadamu ketika dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah SWT persatukan hatimu, lalu menjadilah kamu orang-orang yang bersaudara kerana nikmat Allah SWT“

( Ali Imran : 103 )

Para pengkaji sejarah telah mengatakan bahawa, mereka bersatu atas dasar akidah yang suci. Natijah daripada itu, pelbagai kemegahan dan kegemilangan jelas terpancar membuktikan bahawa kejayaan mereka bukanlah tercipta dengan sendirinya, tetapi hasil daripada titik peluh dan  jerit perih masyarakat itu sendiri  yang mempunyai kesedaran dalam membina kesatuan. Sebagaimana kita boleh lihat di zaman Khalifah Harun ar-Rashid, beliau berjaya membina Baitul Hikmah. Kejayaan ini telah berjaya dikecapi semasa era kerajaan Abbasiyah di Baghdad, Iraq. Baitul Hikmah ini  dianggap sebagai pusat intelektual dan keilmuan semasa zaman kegemilangan Islam. Pembinaan pusat intelektual ini telah disempurnakan oleh puteranya, al-Makmun. Di situ para sarjana sering berkumpul dan menterjemah serta berdikusi masalah ilmiah. Ini adalah salah satu kejayaan yang mesti dibanggakan oleh umat Islam pada zaman sekarang. Bahkan kejayaan mereka menjadi insipirasi dan rujukan oleh bangsa luar untuk turut mengeksploitasi idea mereka.

Mengimbau  kembali kepada sirah Nabi Muhammad SAW, bagaimana kaum Muhajirin dan Ansar sanggup untuk bersatu dalam membina sebuah tamadun dan negara yang mana sehingga ke hari ini, menjadi tempat yang sangat diidamkan oleh seluruh umat Islam. Ansar dan Muhajirin mempunyai semangat persaudaraan yang cukup kuat untuk membantu antara satu sama lain. Ansar menganggap kaum  Muhajirin sebagai saudara yang patut untuk dibantu. Akhirnya Madinah menjadi sebuah negara yang menjadi kebanggaan umat Islam sehingga ke hari ini. Hebat bukan!

Berimanlah dengan hadis Nabi SAW ini “Perumpamaan kaum Mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi ialah  umpama satu tubuh, jika ada anggota tubuh itu sakit, maka anggota tubuh  yang lain akan susah tidur dan merasa kesakitan“ (Hadis Sahih)

Realiti pada hari ini, kita hanya bersatu untuk menegakkan perkara yang tidak sepatutnya, perkara yang jelas kesalahannya, dan tidak membawa apa-apa manfaat malah membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Umpama menegakkan benang yang basah. Perselisihan faham yang tidak membuahkan hasil  adalah perkara yang sangat dilarang oleh Islam. Segala perselisihan yang berlaku segeralah kembali kepada yang Maha Esa. Hatta golongan agamawan  dan golongan profesional juga berbahas dalam perkara yang tidak sepatutnya. Akhirnya, masyarakat menjadi keliru akan segala masalah yang berlaku. Ini yang sepatutnya dijauhkan.

“Keluar daripada khilaf adalah satu perkara yang sunat“

“Berlapang dada adalah serendah-rendah martabat ukhuwah”

Berpeganglah dengan ayat Allah SWT, “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka perbaikilah antara kamu. Dan bertakwalah kepada Allah SWT supaya kamu beroleh rahmat.“

( al-Hujurat:10 )

 “Terima kasih banyak tu Kibe tolong aku harini. Aku tak tahulah kalau tak ada kawan-kawan harini, mana lah aku nak duduk“

“Bereh tu Jai, kena ingat! Yang penting, hidup ni kena bermasyarakat, jangan hidup sorang-sorang. Kalau rasa down sekalipun, jangan lupa hulurkan tangan, percayalah pasti ada tangan yang akan menyambut. Cia cia“

Mereka bergelak ketawa selepas itu, masalah yang dihadapi oleh Jai selamat diselesaikan.

 

AHMAD MUAZZ BIN ABDULLAH

KETUA BIRO PEMBANGUNAN INSAN,
PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR 2017/2018

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?