Perosak dan Penyelamatku di Mesir

Perosak dan Penyelamatku di Mesir

0

“Kau ada kawan perempuan?”. Tanya seorang lelaki tua warga Mesir berumur 60-an. “Ada”. Jawabku ringkas. Dia bertanya lagi, “Orang Mesir?” Lalu aku menjawab, “Tiada”.

“Kenapa tiada? Kau kan kacak. Kau pernah tidur dengan perempuan?” Soalnya dengan selamba. Aku yang terkejut mendengar persoalan itu terus ketawa sambil menjawab, “Aku tak kahwin lagi”. Lagipun aku masih bersangka baik dengannya.

“Tak perlu kahwin, kahwin melecehkan. Kalau kau nak, aku boleh bawa kau berjumpa dengan seorang perempuan. Demi Allah sangat cantik. Dia mesti sukakan kau”. Katanya dengan bersumpah atas nama Allah.

Aku berjumpa dengannya ketika pulang dari markas PERUBATAN Cawangan al-Azhar, Darul HAMKA lebih kurang jam 10 malam. Ketika itu dia sedang mencari gula untuk dibeli. Dia menyapaku dahulu dengan memperkenalkan namanya, Ahmad. Aku yang sedang tergesa-gesa pulang ke rumah terpaksa menghentikan langkah kerana kasihan melihatnya yang berjalan dengan dua batang tongkat.

Katanya, “Dari jam 3 petang tadi aku berjalan untuk membeli gula, tapi satu kedai pun tiada yang jual. Kau tahu tak di mana aku boleh membelinya? Aku sangat terdesak”. Aku pun berfikir lama. Selama ini aku tak pernah membelinya kerana aku tidak memerlukan gula dan hanya ahli rumahku yang membelinya.

Dia memandangku lama lalu berkata, “Demi Allah aku tak pernah jumpa orang macam kau, mata kau cantik serupa mata orang mesir, aku tak pernah ada perasaan sebegini, aku rasa ada sesuatu yang lain pada diri kau yang tak pernah aku rasa pada orang lain”.

Aku yang mendengar kata-katanya tidak menunjukkan apa-apa reaksi kerana kerap mendengar kata-kata yang sama. Dalam hatiku hanya berkata, “Alamak, geng kunyit!”.

Niatku hanya untuk menolong warga emas itu tetapi dia mengambil kesempatan terhadapku dengan mengajakku ke rumahnya bersama perempuan yang disebutkan tadi. Dia meminta nombor telefonku. Sudah banyak kali aku menolak permintaannya. Akhirnya aku mengalah kerana malas melayannya lagi. Aku anggap dia tidak boleh memberi ancaman kepadaku lalu aku serahkan nombor telefonku.

Malam itu, seorang perempuan warga Mesir berumur 17 tahun menghantar ‘sms’ kepadaku dengan Bahasa Inggeris yang teruk. “Mesti si Ahmad itu yang memberikan nomborku kepadanya”, getus hatiku. Dia memperkenalkan dirinya, Mona dan terus meminta untuk tidur bersamaku. Ketika ini aku berusia 19 tahun. Perasaan ingin tahuku timbul lalu aku membalas mesej tersebut dengan bahasa arab ‘ammiyah’ supaya aku tidak lihat lagi bahasa Inggeris yang teruk itu.

Aku sangat takut dengan fitnah wanita. Jadi, aku mengambil keputusan untuk memberitahu ‘naqib’ usrahku, abang Azmeer. Mujur aku ada usrah di sini. Usrahlah tempat aku mentarbiah diri, tempat membaiki hati dan tempat meningkatkan keimananku. Jika aku tidak hadir usrah dalam masa yang lama, maka hanyutlah aku dalam perangkap keduniaan. Aku amat perlukan nasihat dan tazkirah sentiasa kerana iman manusia biasa ada kalanya bertambah dan berkurang.

“Bang, ana ada benda sikit nak cerita ni”.

Abang Azmeer mula berikan perhatian. Seakan-akan tertarik dengan nada serius yang aku getuskan.

“Hari itu ada seorang pak cik ini ajak ana buat benda pelik. Dia ugut ana untuk berzina dengan seorang perempuan arab. Kalau ana tolak, dia akan datang ke rumah ana dengan perempuan itu”.

“Ya Allah, betul ke!?”. Abang Azmeer seakan-akan terkejut dengan apa yang aku luahkan. Terkesima sebentar.

Perkara ini memang agak memeranjatkan bagi sesiapa yang pertama kali mendengarnya. Malah aku sendiri pertama kali menceritakan perkara ini kepada orang lain. Sebelum ini memang tak pernah aku menceritakannya kepada sesiapa.

“Macam mana bang? Apa yang patut ana lakukan?”

Abang Azmeer kelihatan lama terdiam.

Lama berfikir. Masakan dia ingin memberikan jawapan sepantas kilat sedangkan benda ini pun perkara yang pertama kali dia dengar daripada adik-adik usrahnya.

“Hati-hati Aziz. Benda ini walaupun nampak sangat menyeronokkan tetapi tersilap langkah, habis musnah seluruh hidup kita dibuatnya.

Senjata yang paling melemahkan lelaki ialah godaan wanita. Enta pernah dengar kan sejarah tokoh-tokoh lelaki terulung dahulu dijatuhkan gara-gara hanya disebabkan oleh seorang wanita”.

Aku mendengar dengan penuh teliti.

“Ana pun belum tentu selamat kalau diuji macam ini”, kata abang Azmeer yang faham keadaanku kerana dia juga seorang lelaki bujang lalu menasihatiku supaya berhati-hati dengan fitnah wanita.

“Anta jangan layan dia, kalau dilayan makin teruk jadinya. Kalau si Ahmad itu telefon, jangan angkat sampai dia jemu dan berasa putus asa untuk kacau anta”, nasihatnya kepadaku.

Bagiku, usrah memang memainkan peranan dalam pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar. Teringat kata-kata ‘naqib’ usrahku itu,
”Mencegah kemungkaran tidak semestinya ketika seseorang itu sedang berbuat maksiat, tetapi mencegahnya sebelum berlaku adalah lebih penting”.

Rasulullah SAW selalu berpesan supaya berjaga-jaga dengan perkara tersebut. Baginda SAW bersabda:

“..فاتقوا الدنيا واتقوا النساء..”

“..berhati-hatilah dengan ujian dunia dan berhati-hatilah dengan ujian wanita..”

(Hadis riwayat Muslim)

Bisikan dan godaan jahat dapat ku tepis dengan bantuan-Nya dan usrahku. Kita sebagai manusia biasa amat memerlukan tarbiah. Jadi jangan sesekali menolak tarbiah yang anda terima biarpun secara langsung atau tidak langsung. Ketika pihak PERUBATAN atau mana-mana pihak menjalankan amar makruf nahi mungkar, janganlah kita mempersoalkannya kerana itulah tarbiah.

Duduk dalam persatuan yang baik bermakna anda duduk dalam tarbiah. Jangan sesekali lari daripada jemaah dan hidup berseorangan, takut-takut kita hanyut. Jika hendak menjadi seorang yang hebat, maka perlu menjalani tarbiah.

Rasulullah SAW ditarbiah dengan begitu hebat sekali. Begitu juga dengan para Sahabat Baginda SAW. Buktinya mereka menjadi orang yang berwibawa, ditakuti musuh dan mampu menguasai sesebuah negara.

Keadaan masyarakat sekarang sangat parah kerana kurangnya tarbiah yang mereka terima.

Apabila aku katakan bahawa aku takut kepada Allah SWT ketika orang tua tadi, Ahmad mengajakku berbuat maksiat, dia seolah-olah tidak takut kepada-Nya. Begitu juga dengan perempuan tadi.

Sama juga keadaan di Malaysia. Aku melihat ada seorang anak muda dengan selamba memberitahu di media massa yang dia pernah berzina dan tidak berasa bersalah langsung. Kalau diikutkan, perbuatan itu boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika telah berkahwin dan sebat 100 kali jika pesalah belum pernah berkahwin.

Masalahnya, sistem pemerintahan di Malaysia masih bercirikan sistem yang sekular. Jika sistem ini masih diteruskan, maka tidak hairanlah ramai orang akan menjauh daripada Allah SWT. Sistem ini ialah hasil daripada kurangnya tarbiah. Buktinya mereka mengatakan hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan, kuno, kejam dan sebagainya. Ya, kurangnya tarbiah dari segi akidah.

Hilangnya Tarbiah Mendekatkan Seseorang kepada Maksiat

Kawan-kawanku yang dulu tidak menghisap rokok, mula menghisap rokok apabila keluar daripada tarbiah. Yang dulunya solat, sekarang meninggalkan solat. Yang dulunya menjaga batas antara lelaki dan perempuan, sekarang tidak lagi. Begitu juga dengan aku, tiada beza.

Rasulullah SAW bersabda, ‘‘Hati manusia lebih bergolak daripada kuali yang sedang mendidih di atas api’’. (HR Ahmad dan al-Hakim)

Kata Syeikh Ibnu Atha’illah dalam Taj al-‘Arus:

“Kadang-kadang lintasan nafsu atau syahwat yang lebih dominan dan kadang-kadang lintasan takwa yang lebih dominan. Kerana itulah kadang-kadang hati menyedari dan menerima kurniaan Allah dan kekuasaan-Nya.

Kadang-kadang pada saat tertentu, lintasan nafsu dapat dikalahkan oleh lintasan takwa sehingga hati pun memujimu.

Tetapi di saat yang lain, lintasan takwa dikalahkan oleh lintasan nafsu sehingga hati pun mencelamu. Kedudukan hati bagaikan atap rumah. Jika engkau menyalakan api di dalam rumah, asapnya akan naik ke atap hingga membuatnya hitam.

Sama seperti api syahwat. Jika api syahwat berkobar dalam tubuh, maka asap-asap dosanya akan naik memenuhi hati dan menghitamkannya.”

Oleh itu, jangan sesekali berlagak dan terus menyangka bahawa kita dapat menjaga hati kita daripada maksiat. Sedangkan ulama-ulama sendiri sangat berjaga-jaga dengan hati mereka. Hati ini amat perlukan tarbiah. Carilah usrah atau mana-mana majlis ilmu untuk mentarbiah hati.

Ujian Satu Bentuk Tarbiah

Pernah satu ketika beberapa orang kawanku mengadu nasibnya, bukan sahaja gagal peperiksaan tetapi ada masalah dengan keluarga juga. Itu semua ujian daripada Allah SWT. Malah ada orang yang lebih berat lagi ujiannya, bahkan Rasulullah SAW pernah menghadapi ujian yang sangat berat. Ya, ujian juga merupakan tarbiah daripada Allah SWT.

Ketahuilah bahawa perancangan Allah SWT tak pernah salah. Setiap yang berlaku, gagal peperiksaan, tiada wang untuk hidup dan sebagainya adalah perancangan-Nya. Maka janganlah bersedih dan sentiasalah bersangka baik dengan-Nya kerana itu juga tarbiah.

Bak kata seniorku, “Tarbiah bukan segalanya, tapi segalanya bermula dengan tarbiah”.

Jom masuk usrah!

ABDUL AZIZ BIN AKMAL,
KETUA BIRO PENERBITAN DAN PENERANGAN,
PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR 2017/2018

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?