PELARIAN ROHINGYA: WAJARKAH DIHALAU KELUAR?

PELARIAN ROHINGYA: WAJARKAH DIHALAU KELUAR?

0

Sesungguhnya kezaliman tidak akan berpanjangan dan akan tiba suatu masa hari kehancuran musuh umat Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 140, maksudnya:

“Dan hari-hari (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah SWT ingin memberi bukti kebenaran kepada orang beriman dan menjadikan di antara kamu sebagai syuhada’. Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim.”

 

KEKELIRUAN

  1. Isu Rohingya ini agak sukar difahami dan boleh menyebabkan pergaduhan sesama umat Islam jika disalah ertikan. Sebahagian mereka menyokong agar pelarian Rohingya tidak diusir dari Malaysia atas faktor kemanusiaan. Namun, ada juga pihak yang menentang atas hujah pandangan politik negara Malaysia pada 10 tahun akan datang, ianya akan menyebabkan lambakan pelarian Rohingya di Malaysia. Kedua-dua pihak ini berhujah atas hujah yang relevan.

  1. Pada masa yang sama, ada pihak yang mengambil kesempatan atas isu ini. Mereka menyokong pengusiran warga Rohingya dek mereka sebenarnya ada kepentingan tertentu terutamanya melibatkan kekuasaan dan lain-lain. Tidak mustahil musuh Islam yang memang ingin melemahkan umat Islam mengambil kesempatan atas isu ini.

  1. Nyawa etnik Rohingya yang terbunuh oleh kekejaman rejim Myanmar seakan dibutakan dari penglihatan dunia. Masakan pula hendak menghantar entiti bagi usaha mengekang kejahatan tersebut dari terus berlanjutan. Maka, Myanmar menjadi semakin angkuh dan sewenang-wenangnya melakukan penghapusan etnik.

 

PERSOALAN

  1. Mengapakah kuasa besar yang mendakwa sebagai Penyelamat Dunia diam membisu? Jika dulu, mereka menyerang negara Iraq, Libya, Afghanistan kerana kezaliman pemerintahnya, maka ketika isu Rohingya didendangkan mereka diam membisu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sedangkan isu ini membuktikan kekejaman pemerintah Myammar secara terang-terangan.

 

KENAPA KUASA BESAR DIAM?

  1. Amerika Syarikat (AS) sebenarnya mempunyai kepentingan besar di Myanmar. Antaranya projek penerokaan dan pengeluaran minyak syarikat gergasi mereka Chevron yang telah diberikan oleh Myanmar berhampiran Rakhine.

  1. China melimpahkan pelaburan sebesar USD25.4 bilion ke Myanmar jauh mengatasi jumlah pelaburan AS, Eropah, dan Jepun.

  1. Syarikat gergasi lain seperti Shell (Belanda) dan Mitsui (Jepun) turut memperoleh kontrak minyak di Myanmar iaitu di Rakhine dan Tanintharyi.

  1. Kuasa besar seperti China dan AS lebih mengutamakan kepentingan geopolitik mereka dengan Myanmar. Persaingan AS-China dalam mendapatkan kerjasama Myanmar ini berkait rapat dengan beberapa faktor antaranya saiz Myanmar selaku negara kedua terbesar di Asia Tenggara serta lokasinya di antara India dan China yang kaya dengan pelbagai sumber bumi yang masih belum dibangunkan.

  1. Tatkala Turki bangkit dan menyuarakan kritikan terhadap tindakan Presiden Myanmar, maka muncullah China yang membela kezaliman tersebut . Buktinya, Menteri Pertahanan RCC Chang Wanquan meminta tentera, polis dan rakyat China untuk membantu sekutunya Myanmar. Katanya lagi seandainya Turki menyerang Myanmar maka pihak China pun akan melakukan serangan balas terhadap Turki.

  1. Inilah antara faktor kenapa mereka masih diam membisu terhadap isu ini dek kepentingan yang menguasai diri.

 

PENGORBANAN MALAYSIA

  1. Perlu diketahui bahawa Malaysia merupakan antara pelabur terbesar dan juga rakan dagang utama Myanmar. Pada 2014 sahaja Malaysia merupakan pelabur ketujuh terbesar di Myanmar dengan nilai USD1.65 bilion dalam sektor minyak dan gas (diterajui Petronas), perhotelan dan pelancongan, penternakan dan perikanan, serta pengeluaran.

  1. Dari segi perdagangan pula eksport Malaysia ke Myanmar pada 2015 meningkat sebanyak 16.4 peratus daripada RM2.63 bilion pada 2014 kepada RM3.06. Eksport Malaysia ke Myanmar melonjak rentetan peningkatan eksport seperti pengeluaran besi sebanyak RM28.8 juta, produk elektrik dan elektronik sebanyak RM13.2 juta, makanan yang diproses sebanyak RM129.5 juta, serta produk kimia dan berasaskan kimia sebanyak RM79.9 juta.

  1. Import Malaysia daripada Myanmar turut meningkat 25.6 peratus daripada RM546.7 juta pada 2014 kepada RM686.5 juta pada 2015. Antara import utama Malaysia ke Myanmar ialah getah, sayur-sayuran, produk makanan laut, kayu balak, serta makanan yang diproses.

  1. Berdasarkan kualiti hubungan bilateral ini Malaysia sewajarnya mengambil pendirian tegas untuk mendesak Myanmar agar menstabilkan situasi di Rakhine. Hal ini terpaksa dilakukan Malaysia kerana Pertubuhan ASEAN dilihat tidak berupaya untuk mengambil tindakan secara kolektif, manakala kuasa besar pula tidak begitu komited dalam membela nasib Rohingya ini.

  1. Maka pilihan yang tinggal buat Malaysia ialah dengan memberi tekanan ekonomi dan diplomatik secara berterusan dan dalam masa yang sama memesatkan usaha bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bentuk dan bersama pelbagai pihak (negara, swasta, dan badan bukan kerajaan NGO).

 

DI MANA ASEAN?

  1. ASEAN menerusi Treaty of Amity and Cooperation (TAC 1976) telah menegaskan bahawa tiada sebarang campur tangan yang boleh dilakukan dalam hal ehwal dalaman sesama negara anggota.

  1. Sememangnya Piagam ASEAN 2007 ada menyentuh secara langsung perihal usaha mewujudkan ASEAN yang berpaksikan rakyat, mendaulatkan undang-undang, di samping menjamin kebebasan dan hak asasi manusia.

  1. Malah terdapat usaha bagi mewujudkan Badan Hak Asasi Manusia ASEAN sebagaimana dalam Artikel 14 Piagam ASEAN. Badan ini kini dikenali sebagai AICHR (ASEAN Inter-government Commission on Human Rights).

  1. Namun penting untuk disedari bahawa ASEAN tidak memiliki sebarang kuasa mahu pun kapasiti penguatkuasaan meskipun langkah menyerupai penghapusan etnik yang jelas melanggar prinsip hak asasi manusia telah dilakukan. Hal ini demikian kerana status etnik Rohingya itu sendiri yang tidak diiktiraf sebagai warganegara telah menjadikan mereka warga yang tidak bernegara (Stateless).

 

6 CIRI ‘GENOCIDE’

  1. Apa yang berlaku ke atas orang Rohingya menepati ciri-ciri “genocide” yang sistematik: ia bermula dengan “classification” (identiti Rohingya diasingkan daripada rakyat Myanmar), kemudian “dehumanization” (969 panggil Rohingya sebagai anjing), “organization” dan “polarization” (orang Rakhine dihasut dan diberi senjata), “extermination” (bantai) dan “denial” (penafian berlakunya pembantaian).

  1. Apa yang berlaku ke atas Rohingya sama seperti apa yang berlaku ke atas kaum Muslim Bosniak di Bosnia (1995), kaum Darfur di Sudan (2003-kini), Tutsi di Rwanda (1994), Yahudi dan Gypsy di Jerman (1942-1945) dan Armenia di Turki (1915-1917).

 

WAJARKAH DIHALAU KELUAR?

  1. Demonstrasi oleh pelarian Rohingya berhampiran kedutaan Myammar pada 30 Ogos 2017 telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif sehingga menyebabkan ada segelintir masyarakat menyatakan pandangan agar pelarian Rohingya dihalau keluar daripada Malaysia. Antara hujahnya ialah:
  • Pelarian Rohingya pengotor.
  • Mereka biadap sebab berani buat demontrasi.
  • Kerajaan Malaysia kena tanggung kos sepanjang tempoh pelarian.
  • Dibimbangi pada masa hadapan, pelarian Rohingya naik kepala.

  1. Penulis berpendapat bahawa pandangan tersebut merupakan pandangan yang beremosi tanpa dipandukan dengan hujah yang kukuh. Pada masa yang sama, penulis tidak menafikan ada kebenarannya. Gejala menyebarkan kebencian seperti ini perlu dielakkan kerana ianya bukan jalan penyelesaian terbaik malah akan memburukkan lagi keadaan.

  1. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 6:

“Dan jika seseorang di antara orang-orang musyrik itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah SWT, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.”

 

 

  1. Jelaslah di dalam ayat di atas menggambarkan bahawa Islam tidak menghalang untuk memberi perlindungan kepada orang kafir, malah diberi jaminan keamanan selama mana masih berada di negara Islam sehingga mereka pulang ke negara masing-masing.

  1. Sekiranya orang kafir pun diberi bantuan dan diberi perlindungan sebaiknya ketika mana mereka memohon perlindungan daripada negara Islam, apatah lagi orang Islam yang datang memohon perlindungan daripada negara Islam sendiri. Merekalah sepatutnya yang lebih diutamakan untuk dibantu dan diberi perlindungan sebaiknya oleh negara Islam tersebut.

  1. Pihak bertanggungjawab mestilah berbincang dengan baik dan mencari solusi yang terbaik tanpa dicampur kepentingan politik mahupun individu. Ada pun peringkat kita selaku rakyat usahlah mencetuskan kontroversi atau mewujudkan bibit-bibit pergaduhan. Sedarlah bahawa kita dan mereka bersaudara. Dulu, kita pernah bersatu namun disebabkan dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh penjajah telah menatijahkan kita seolah-olah tidak kenal mereka itu sebenarnya saudara mara kita jua.

  1. Kezaliman yang dialami oleh mereka merupakan satu kezaliman yang tidak berperikemanusiaan. Seandainya mereka itu ialah kita, apa perasaan kita? Mereka tidak minta ahli keluarga dibunuh. Mereka juga tidak minta rumah dan kampung halaman mereka dibakar. Apa kan daya, itu semua ujian yang mesti ditempuhi dengan hati yang cekal. Mereka diuji dengan pembunuhan di tanah asal mereka dan kita pula diuji dengan kedatangan mereka ke negara kita. Hakikatnya kita semua tidak terlepas daripada ujian. Apa yang penting ialah bagaimana kita menghadapi ujian tersebut berdasarkan syariat Islam.

  1. Sifat waspada itu penting. Namun jangan sampai ianya menggadaikan kepentingan saudara seagama. Penulis mengharapkan agar kita tidak termakan dalam perangkap musuh Islam yang sengaja hendak memecah belahkan kesatuan umat Islam. Hadam dan nilai isu ini dengan adil tanpa menyebarkan kebencian terhadap pelarian Rohingya kerana itu bukan jalan penyelesaian malah akan memburukkan lagi keadaan. Umat Islam ditindas, kita juga yang rugi. Fikir-fikirkan.

PENULIS:

Muhammad Faris Mahfuz bin Zakria

Tahun 5 Perubatan

Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir

RUJUKAN:

  • Artikel Pensyarah Sains Politik UKM; Abdul Muein Abadi (Rohingya Korban Geostrategi Kuasa Besar); 26 November 2016
  • Artikel Pegawai Tadbir Diplomatik; Aiman Wong Chee Ming – Ayman Rashdan Wong (Isu Rohinya); 3 September 2017

ARTIKEL BERKAITAN

0

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?