KENYATAAN RASMI: SESI AKADEMIK BARU

KENYATAAN RASMI: SESI AKADEMIK BARU

0

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, infiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT, yang masih memberikan kita peluang untuk terus menjalani kehidupan di muka bumi ini serta masih mengekalkan kita semua dalam dua nikmat yang cukup besar; Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita yang mulia, Nabi Muhammad SAW, para keluarga serta para sahabat baginda yang telah bersusah payah berjuang dalam menegakkan kalimah dan agama yang benar di muka bumi ini.

Semenjak beberapa hari yang lalu, pihak PERUBATAN Cawangan al-Azhar telah menerima pelbagai persoalan mengenai sesi akademik baru 2017/2018 daripada ahli. Bertitik tolak daripada itu, pihak PERUBATAN Cawangan al-Azhar melalui Biro Akademik telah menyusun pertemuan bersama pihak pentadbiran bagi keempat-empat buah fakulti Universiti Al-Azhar; Fakulti Perubatan Banin, Fakulti Pergigian Banin, Fakulti Perubatan Banat, Fakulti Pergigian Banat. Alhamdulillah, hasil pertemuan tersebut pihak pentadbiran memaklumkan bahawa sesi akademik baru 2017/2018 adalah seperti berikut:

  • Fakulti Perubatan Banin: 23 September 2017
  • Fakulti Pergigian Banin: 23 September 2017
  • Fakulti Perubatan Banat: 1 Oktober 2017
  • Fakulti Pergigian Banat: 23 September 2017

Dalam fatrah begini, suasana akademik perlulah dimeriahkan supaya segala ilmu yang ditadah dapat dikekalkan dalam hati. Pihak PERUBATAN Cawangan al-Azhar telah menyediakan beberapa medium dalam usaha menghidupkan suasana akademik seperti penyediaan kelas Advance Learning, Glow With Flow, dan Silent Hour. Manfaatkanlah medium tersebut dengan sebaiknya. Tidak dilupakan juga berkenaan dengan kehadiran ke kuliah. Untuk makluman semua, bermula sesi akademik baru ini, pihak pentadbiran universiti bertegas untuk melaksanakan sistem kehadiran ke kuliah. Para pelajar perlulah menghadirkan diri ke kuliah sekurang-kurangnya 75% kehadiran. Sekiranya pelajar gagal berbuat demikian, tindakan keras bakal dikenakan oleh pihak universiti termasuk kemungkinan untuk tidak dapat menduduki pepriksaan akhir tahun.

Di samping itu juga, dalam fatrah akhir sesi akademik 2016/2017, terdapat cabaran yang bakal dihadapi oleh senior-senior tahun 5 dan 6. Mereka akan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang akan bermula pada bulan Oktober (Tahun 5) dan bulan Disember (Tahun 6). Sama-sama kita doakan yang terbaik buat para senior supaya Allah SWT memudahkan urusan dan memberikan kejayaan yang diimpikan.

Sekali lagi, pihak PERUBATAN Cawangan al-Azhar berharap agar semua ahli lebih bersemangat untuk memulakan sesi akademik baru. Jadikanlah titik permulaan ini sebagai batu loncatan untuk meraih syurga Allah SWT yang diimpikan seperti yang telah disabdakan Nabi Muhammad SAW:

“من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا الى الجنة”

Jutaan terima kasih kami rakamkan buat pihak pentadbiran universiti atas segala kerjasama yang diberikan. Diharapkan dengan usaha sekecil ini mampu memudahkan urusan ahli PCA terutama ahli yang berada di Malaysia bagi merancang perjalanan untuk ke sini. Semoga semua ahli PCA terus bersemangat dalam meneruskan perjuangan menuntut ilmu di Bumi Kinanah ini.

Seeru ‘Ala Barakatillah.

Wallahu A’lam.

 

“Achieve the Highest, Improve Others”

“PCA: Stronger As One”

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018

 

ABDUL MUSTAQIM BIN MOHAMAD KHALIL

Ketua Biro Akademik

A’FAF BINTI OTHMAN

Timbalan Ketua Biro Akademik

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?