ISLAM & PEMERINTAHAN

ISLAM & PEMERINTAHAN

0

Persoalan siasah, pentadbiran dan politik semakin mendapat perhatian ramai apabila kefahaman Islam berkembang dan menyerapi pemikiran umat manusia. Selama ini, kefahaman Islam kesan daripada pasca kolonisasi & kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 hanya terhad dalam aspek ibadah asas seperti solat, puasa, zakat, haji & perkahwinan sahaja. Selain itu, kefahaman Islam yang gersang ditutupi oleh kezaliman ideologi amalan pemerintah moden dalam banyak keadaan meletakkan penilaian keadilan, hak asasi, kesamarataan, baik & buruk kepada akal & logik semata-mata.

Namun, dengan perkembangan ilmu Islam dalam masyarakat, minat & kesungguhan sebahagian besar masyarakat semakin membesar untuk memahami Islam secara syumul. Benarlah sabda Nabi Muhammad ﷺ:

“Pasti akan sampai urusan ini [Islam] ke mana sahaja sampainya malam & siang, Allah SWT tidak akan tinggalkan satu rumah si kaya mahupun si miskin, kecuali akan dimasukkan oleh Allah SWT agama ini..”

[Riwayat al-Hakim & al-Baihaqi]

 

ISLAM & PEMERINTAHAN

Fahaman tiada siasah (politik) dalam Islam, Islam tiada kaitan dengan urusan pemerintahan, agama tidak boleh mencampuri urusan pemerintahan dan pelbagai lagi menjadi popular dalam kalangan umat Islam pasca kolonisasi berpunca tersebarnya fahaman sekularisme yang dibawa dari Barat.

Sekularisasi menjadi satu kemestian di Barat pada Zaman Pencerahan kerana Barat telah bosan dengan sistem teokratik dan autokratik yang dilakukan oleh golongan agama Kristian. Sekularisme & liberalisme adalah solusi bagi masyarakat Barat untuk maju dan moden. Fahaman ini adalah ubat atau formula yang telah dapat mengeluarkan mereka daripada kegelapan dan kemunduran.

Sejarah merekodkan bahawa masyarakat Barat telah menderita selama lebih kurang seribu tahun di bawah pemerintahan gereja kuku besi yang mengorbankan lebih 430,000 orang, serta membakar hidup-hidup 32,000 orang atas alasan menentang kehendak Tuhan. Copernicus, Galileo dan Bruno adalah antara saintis-saintis yang malang kerana melontarkan idea yang bertentangan dengan idea gereja yang kononnya berasal daripada Tuhan.

Selain itu, peristiwa kebangkitan reformasi oleh Martin Luther dan John Calvin menentang korupsi dan autoriti golongan agama (clergy) Kristian pada kurun ke 16 antara faktor lahirnya sekularisme. Kesan daripada reformasi tersebut, penganut Kristian Eropah berpecah sehingga menyebabkan berlakunya peperangan di antara mazhab Katolik dan Protestant dalam peristiwa French War of Religion (1562 – 1598).

Despotisme gereja ini mengakibatkan pemberontakan terhadap kekuasaan gereja dan konflik tersebut berakhir dengan kemenangan bagi falsafah dan sains. Menjadi sunnatullah, aksi yang kuat akan menghasilkan reaksi yang juga kuat. Setelah kekuasaan berada pada falsafah dan sains, agama (Kristian) pulalah yang menjadi korban tekanan dan pembatasan. Ternyata sekularisme menjadi ubat mujarab yang telah berhasil membawa masyarakat Barat dari era kegelapan dan pertengahan ke era kebangkitan (renaissance) dan kemajuan.

Kenyataan Islam tiada kaitan dengan pemerintahan adalah sama sekali ditolak. Hal ini kerana, pandangan alam barat dan Islam berbeza definisi dari segi faham agama itu sendiri. Menurut Prof. Syed Naquib al-Attas, kefahaman agama dari sudut pandangan barat bermaksud;

Himpunan kepercayaan-kepercayaan tahyul termasuk cara-cara melangsungkan ibadah atau penghambaan diri sebagaimana yang telah ditetapkan. Keduanya, agama itu adalah himpunan pendapat-pendapat dan undang-undang yang disusun dan direka oleh para bijaksana dan ahli falsafah bagi keperluan kesejahteraan dan ketenteraman khalayak ramai masyarakat insan, bagi mencegah hawa nafsu, dan bagi membina serta menjamin tatatertib dalam pelbagai golongan masyarakat insan.

Akan tetapi kefahaman agama di sisi pandangan Islam menurut Prof. Syed Naquib al-Attas adalah,

Bahawa agama itu berasas pada satu Tanzil daripada Tuhan Yang Hak [Allah SWT] kepada insan yang dilangsungkan dengan perantaraan wahyu yang diturunkan oleh-Nya kepada nabi atau Rasul-Nya.

 

Menurut Hassan al-Banna dalam kitabnya menyatakan,

“Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.”

 

Sumber rujukan utama umat Islam yakni al-Quran, Sunnah, Ijma’, Qias & athar para sahabat juga membuktikan bahawa politik tidak diasingkan daripada Islam.

 “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu supaya menunaikan (menyerahkan) amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

[an-Nisa’ 4:58]

 

 Sabda Nabi :

“Sesiapa yang mati, dalam keadaan tiada padanya suatu baiah (ikrar janji taat kepada pemimpin Islam) maka matinya seumpama dalam keadaan jahiliyyah.”

[Riwayat Imam Muslim]

 

 Berkata Saidina Umar al-Khattab RA:

 

“Tiada Islam kecuali dengan jemaah, tiada jemaah kecuali dengan kepimpinan, tiada kepimpinan kecuali dengan ketaatan.”

 

 Justeru, berdasarkan dalil-dalil & athar yang dinyatakan tadi jelas bahawa aspek pemerintahan ataupun siasah pastinya terkandung dalam Islam. Bahkan dalam sirah telah menyatakan bahawa Nabi juga merupakan seorang pemimpin di negara Islam Madinah.

 

 SIASAH & PERUBAHAN

Jumhur ulama’ mengklasifikasikan siasah adalah salah satu cabang dalam fikah muamalat. Justeru, bagi semua hukum dalam fikah muamalat Allah SWT meletakkan inti sebagai asas utama yang tidak berubah. Akan tetapi, kebanyakan metode pelaksanaannya boleh berubah dengan perubahan zaman serta tempat. Imam Syatibi di dalam kitabnya al-Muwafaqat menyatakan,

 

‘Hukum asal bagi hal ehwal muamalat dan adat adalah penetilian objektifnya.’

 

Namun begitu, sebarang perubahan hukum mestilah diawasi oleh para ulama berkelayakan melalui kaedah-kaedah tertentu.

 Umum mengetahui Nabi ﷺ tidak meninggalkan perincian dalam masalah siasah. Siasah bukanlah ibadah khusus seperti solat, puasa dan seumpamanya yang tidak boleh diubah. Siasah itu sesuatu yang bergerak berdasarkan kemaslahatan manusia. Justeru itu, Nabi ﷺ tidak meninggalkan secara terperinci tentang siasah, sebaliknya hanyalah prinsip-prinsip umum untuk dipegang oleh manusia.

Sekiranya terdapat perincian, ia mempunyai faktor tempat dan masa yang terdedah kepada perubahan. Apatah lagi, pentadbiran kerajaan Nabi ﷺ tidaklah sistematik seperti zaman selepas itu. Hal ini kerana keperluan pentadbiran sudah memadai dengan bentuk pengurusan yang lebih menjurus kepada tribal system (sistem kabilah) ketika itu. Maka pengurusan Nabi ﷺ berdasarkan kepada keperluan rakyat. Kemudian siasah itu berkembang dan pengurusannya lebih rumit dan terperinci. Tidak sama pula antara satu tempat dengan yang lain, antara negeri dengan negeri, antara negara dengan negara.

Maka, kita dapati banyak perubahan siasah yang dilakukan selepas kewafatan Nabi SAW, khususnya bermula pada zaman Saidina Umar al-Khattab RA. Ijtihad dalam siasah lebih luas dan terbuka. Terasnya, kemaslahatan rakyat. Islam bersifat luas dalam hal siasah. Hal ini kerana syariat itu dibina atas dasar kemaslahatan manusia. Antara ijtihad-ijtihad siasah yang pernah dilakukan pada zaman Saidina Umar al-Khattab RA adalah:

-Menetapkan kadar jizyah mengikut kadar kemampuan mereka yang dikenakan jizyah

-Menghapuskan perkataan jizyah bani Taghlib daripada golongan Nasrani

-Tidak memberi zakat kepada al-muallaf qulubuhum seperti apa yang mereka terima pada zaman Nabi

-Tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera yang yang terdiri daripada sahabat Nabi

 

Kesimpulannya, syarak telah meletakkan prinsip-prinsip am yang sentiasa menjadi objektif bagi sebuah pentadbiran politik. Kaedah atau metodologinya mungkin berbeza, namun asal itu tidak mencerobohi hukum qat’i tsubut dan dalil-dalil dalam agama, ia adalah diterima dan harus dilaksanakan.

DEMOKRASI & ISLAM

Adakah Islam menerima demokrasi atau menolaknya secara total? Satu persoalan yang sentiasa berkisar dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Islam sentiasa berpendirian terbuka dalam setiap perkara baharu, penelitian yang terperinci akan dilakukan bagi memastikan ianya terkandung dalam bidang hukum haram, halal, harus atau sebagainya. Ciri-ciri utama demokrasi yang dapat difahami pada hari ini adalah, pemerintah daripada kalangan rakyat, pemerintah bekerja untuk rakyat, suara majoriti adalah terpakai, rakyat diberi kebebasan sewajarnya dan rakyat berhak menegur kepimpinan yang silap serta berhak menjatuhkannya.

Ciri-ciri yang dinyatakan kebanyakannya diterima oleh Islam, akan tetapi perlu diingatkan bahawa Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagai pemutus kepada semua perkara. Prinsip ini tidak terpakai dalam perkara-perkara yang thawabit (tetap) dalam agama. Perkara thawabit juga tidak berubah menurut zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal.

Selain itu, prinsip rakyat diberi kebebasan sewajarnya perlu diteliti menurut pandangan Islam kerana makna kebebasan di sisi Islam berbeza daripada Barat. Hal ini kerana, dalam Islam setiap yang dimiliki oleh manusia adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Manusia tidak bebas melakukan setiap perkara yang diingininya, dan kebebasan manusia terbatas kepada perkara yang menghasilkan kebaikan sama ada pada dirinya ataupun orang lain. Konsepsi Barat terhadap manusia ada baiknya dari segi sumbangannya dalam membina keyakinan diri dan mempercepat pembangunan. Namun kebebasan yang mutlak menimbulkan kesan negatif apabila diberikan kepada manusia, sehingga melahirkan cara hidup yang tidak bermoral seterusnya akan membinasakan diri sendiri dan orang lain.

Kesimpulannya, adalah haram umat Islam menjadikan demokrasi tanpa panduan syariat Allah SWT dan ia hanya dijadikan alat selagimana tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Umat Islam perlu yakin sesungguhnya mereka telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah SWT. Sungguhpun begitu, walaupun sistem demokrasi moden hari ini adalah daripada tamadun Barat, tetapi hakikatnya ia banyak dipengaruhi oleh sumber-sumber Islam. Malah, ruang demokrasi perlu dijadikan ruang dan kesempatan untuk meluaskan dakwah kerana cirinya yang paling munasabah dengan Islam terutamanya konteks di Negara Malaysia.

 

PENUTUP

Berkata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

“Sesungguhnya syariat Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariat Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariat Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya.”

[I’lam al-Muwaqqi’in]

Ertinya, perkara yang penting dalam penegakan syariat adalah tujuan atau maqasid syariat itu. Hal ini kerana tujuan utama syariat Islam adalah untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Umat Islam juga perlu faham di dalam agama ini ada perkara yang mampu dilaksanakan secara individu seperti perkara asas ibadah dan ada yang berhajat secara kolektif (berjemaah) seperti amar maaruf nahi munkar, hudud, qisas dan pelbagai lagi. Justeru, menjadi satu kewajipan bagi umat Islam dalam melantik pemimpin yang faham dalam menunaikan amanah dan melaksanakan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT ini. Berkata Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali,

“Agama adalah asas, kuasa pemerintahan (siasah) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir.”

[Al-Iqtisad Fil Al-I’tiqad]

 

Ertinya, apabila syariat Islam tidak dijadikan panduan, maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan atau ditinggalkan dalam sesebuah pentadbiran. Para pemimpin yang telah Allah SWT amanahkan haruslah beringat bahawa jawatan itu bukanlah menjadi rebutan bahkan satu taklifan yang akan disoal di akhirat kelak, maka laksanakanlah taklifan dan amanah itu dengan sebaik mungkin. Hal ini bersesuaian dengan hadis Nabi ﷺ,

“Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah SWT, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya Syurga.”

[Riwayat Imam Muslim]

 

PENULIS :

Muhammad Luqman bin Muhamad Shuarimi

Tahun 6 Kuliah Perubatan

PERUBATAN Cawangan al-Azhar

GLOSARI

  1. Al-muallaf qulubuhum: orang yang dekat dengan Islam akan tetapi imannya masih lemah
  2. Despotik/despotisme: suatu sistem pemerintahan yang mengamalkan kuasa mutlak pemerintah
  3. Ijtihad: usaha keintelektuan yang dilakukan oleh ulamak atau ahli fikah untuk mengeluarkan hukum agama daripada al-Quran dan as-Sunnah
  4. Jizyah: cukai yang dikenakan kepada bukan Islam yang menetap di dalam negara pemerintahnya adalah Muslim
  5. Maqasid: objektif syariah. Tujuan dan rahsia Allah SWT menetapkan peraturan dan suruhannya iaitu antara memelihara agama, jiwa, aqal, harta, nasab dan kehormatan
  6. Pandangan alam/worldview: kerangka pemikiran yang melaluinya seseorang individu menafsirkan dan berinteraksi dengan alam
  7. Qat’i: sesuatu hukum atau perkara yang thabit (tetap) kerana bersandarkan kepada dalil yang sahih dan jelas
  8. Sekularisasi: pembebasan manusia daripada bimbingan agama dan metafizik, menukarkan tumpuan manusia dari alam akhirat ke alam dunia (harvey cox)
  9. Sekularisme: faham yang memisahkan antara agama dengan kehidupan duniawi; antara agama dengan politik; antara kehidupan spiritual yang bersifat peribadi dengan segala bersifat umum
  10. Syahriah: segala suruhan dan peraturan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah baik yang berkaitan dengan kepercayaan atau perbuatan, baik yang bersifat peribadi mahupun umum. Ini termasuk persoalan mengenai perundangan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
  11. Syura: suatu bentuk kerjasama dalam bertukar fikiran dan pandangan terhadap perkara-perkara yang melibatkan maslahat Muslimin berdasarkan kaedah yang sesuai dalam mencari titik permuafakatan dan kebenaran serta ketaatan kepada Allah SWT/ proses menyelusuri pendapat ahli mesyuarat dalam sesuatu permasalahan untuk mencapai solusi yang mendekati kebenaran.
  12. Teokratik: pemerintahan golongan agama atas nama Tuhan
  13. Thawabit: perkara-perkara yang tetap, tidak berubah dalam apa jua keadaan kerana telah dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah secara spesifik

 

RUJUKAN

As-siyasah Asy-Syariyyah fi Ishlahi Ar-ra’i wa Ra’iyah – Syeikhul Islam ibn Taymiyyah

Al-Iqtisad Fil Al-I’tiqad – Imam Abu Hamid Al-Ghazali

Risalah Untuk Kaum Muslim – Syed Muhammad Naquib al-Attas

Indahnya Politik Cara Islam – Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Atas Nama Kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal – Dr Khalif Muammar

DrMaza.com/home

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?