APABILA SANG TABIB GHURABA MERISUSITASI UMAT

APABILA SANG TABIB GHURABA MERISUSITASI UMAT

0

Ambulan tiba di pekarangan bahagian kecemasan. Stretcher disorong masuk ke dalam oleh petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPA). Keadaan di wad kecemasan sentiasa begitu. Gamat dan gawat. Sementara beberapa petugas kesihatan lain menguruskan pesakit-pesakit yang sedia terlantar di atas katil masing-masing, beberapa orang doktor pelatih berserta seorang pegawai perubatan menghampiri mangsa yang baru tiba. Di tangan salah seorang doktor pelatih itu terdapat sekeping kad berwarna merah jambu.

“Keadaan pesakit?” Tanya pegawai perubatan tinggi lampai berskrub biru itu.

“Lelaki Melayu, berumur sekitar 50-an, tidak sedarkan diri, nama tidak diketahui kerana tiada identiti pengenalan diri, dijumpai oleh orang awam di tepi jalan, suhu badan 38 darjah Celsius, pernafasannya kurang baik,” Laju tangan doktor pelatih perempuan mencatit setiap butir patah perkataan yang diluahkan oleh pegawai JPA beruniform hijau itu.

“Waris pesakit?” Pegawai JPA itu hanya menggelengkan kepala sambil menjuihkan bibirnya tanda tidak tahu.

“Baik, terima kasih banyak bang.” Pegawai perubatan itu menepuk bahu pegawai JPA itu seraya bergerak ke arah kaunter di zon kuning. Pegawai JPA itu mengangkat tangannya sebelum beredar.

“Periksa tekanan darah pesakit,” Arah pegawai perubatan itu sekembalinya bersama sebuah termometer digital.

“Doktor, tekanan darah pesakit sedikit rendah, tapi masih stabil.”

“Baik, masukkan pesakit ni ke zon kuning 2. Beri kad ini kepada MO di dalam sana.” Beberapa orang doktor pelatih menyorong stretcher ke zon kuning.

Pegawai perubatan tadi meneruskan saki-baki kerjanya yang tergendala. Sedang dia memeriksa lembaran x-ray seorang pesakit kemalangan, loceng dibunyikan, menandakan ada kes berat memasuki zon merah. Dia meletakkan x-ray tersebut lalu segera bergerak ke zon merah.

“Doktor, pernafasan pesakit tidak baik. SpO2 55%. Tekanan darah jatuh mendadak.” Lapor pembantu pegawai perubatan.

Resus pesakit sekarang! Saya perlukan x-ray mudah alih dan mesin ultrasonografi.” Bilik zon merah kini mulai dipenuhi dengan seorang pakar bahagian kecemasan, pegawai perubatan, jururawat dan pembantu pegawai perubatan. Topeng oksigen dipasang ke mulut pesakit sebagai terapi oksigen. Pembantu pegawai perubatan bersedia dengan jarum dan ubat tahan sakit, darah diambil untuk menyukat kadar gas dalam arteri (arterial blood gases). Kadar denyutan jantung, tekanan darah dan kandungan oksigen dalam tubuh pesakit terus dipantau melalui skrin monitor.

Sekilas pandang senario umat Islam hari ini.

Keadaan ini merupakan keadaan normal di sebuah wad kecemasan di mana-mana hospital. Pesakit dirawat bukan berdasarkan siapa datang awal atau siapa yang lebih besar pangkatnya, tetapi pesakit diutamakan berdasarkan tahap keseriusan penyakit atau kecederaannya.

Kita boleh mengambil contoh hospital, untuk kita buat perbandingan terhadap ‘konsep rawatan’. Suka untuk saya mengajak kalian berfikir sejenak, adakah hospital dan Islam jauh berbeza? Bukankah kedua-duanya merupakan pusat rawatan? Sekiranya di hospital, pesakit menjadi keutamaan semua pengamal perubatan tidak kira pangkat atau tangga gaji, bahkan dalam Islam lebih lagi. Lebih terperinci, dalam Islam, setiap jiwa adalah berharga. Islam menjaga nyawa dan akal melalui tujuan pensyariatannya, selain daripada menjaga agama, keturunan, harta dan maruah. Setiap jiwa adalah suci bersih. Jika melalui kacamata dunia kesihatan, kita memandang manusia yang mempunyai akal yang cerdas dan tubuh yang cergas sebagai manusia normal, sihat dan mempunyai jangka hayat yang panjang.  Islam memandang manusia yang sejahtera akidahnya, sahih ibadahnya dan mantap akhlaknya sebagai seorang Muslim yang ‘sihat agamanya’ dan lurus cara hidupnya. Manakala, sekiranya dalam dunia perubatan, kita memandang manusia yang mempunyai masalah mental, mempunyai kecacatan fungsi organ atau ketidaknormalan di dalam tubuh badannya sebagai seorang pesakit, sebagai golongan yang wajar dirawat serta diselamatkan. Islam pula memandang manusia yang terpesong akidahnya, terbatal amalannya dan ponggah akhlaknya sebagai golongan yang perlu dirawat dan diselamatkan bukan sahaja daripada kebinasaan dunia, malah kedahsyatan alam akhirat kelak.

Namun, kadangkala hati ini merasa dengki, minda ini jadi rancu berfikir. Kenapa pesakit kritikal di hospital, berduyun-duyun manusia bersiap-siaga membantu untuk merawat dan menyelamatkannya, tetapi, apabila umat sendiri dilanda penyakit kronik, diserang pemikiran dan akidahnya dari serata arah, hingga hampir nazak umat ini mempertahankan keislamannya dari dihanyut arus dunia, tidak ramai yang tampil membantu? Ya, benar mungkin ada. Itu tidak dinafikan. Namun mengapa, tidak seramai pesakit kritikal tadi? Adakah kerana takut dianggap kolot? Atau takut dianggap berfikiran sempit? Atau takut disekat pengaruh, kuasa dan keluasan jajahan takluk ekonominya? Atau kerana penyakit-penyakit yang menular dalam kalangan umat pada hari ini tidak lagi dipandang berkudis, kerana semuanya sudah biasa dijamu mata? Hinggakan apabila wujud sekelompok manusia yang ingin membantu merirusitasi umat, kelompok ini dianggap asing, dipulau, malah diporak-perandakan usahanya. Maka, kekallah umat ini dalam keadaan muda-mudinya hanyut, lunyai dan lemah, dibantai musuh secukupnya, sekadar mengharapkan kemenangan di akhir zaman, namun tidak banyak usaha ke arah memenangkannya.

Kemungkaran yang dibiarkan

 

Profesor Patologi saya di Kuliah Perubatan Universiti al-Azhar (semoga Allah SWT merahmati para Dr dan Profesor) seringkali mengingatkan, bahawa luka yang tidak dirawat sebaiknya akan membawa kepada komplikasi seterusnya, iaitu jangkitan bakteria peringkat kedua (secondary bacterial infection). Lebih teruk lagi, dan yang paling ingin dicegah, ialah agar jangan sampai penyakit atau luka yang pada awalnya sekadar luka kecil, akhirnya menjadi barah yang meragut nyawa. Jika dilihat pada kacamata kehidupan bermasyarakat, perkara yang sama juga akan berlaku.  Sekiranya sebuah kemungkaran tidak dicegah dari awal, maka, tidak mustahil ia akan menular dan menjadi lebih teruk, dan akhirnya membarah lalu memusnahkan sesebuah institusi kemasyarakatan.

Masih ingatkah kita kepada sebuah pantun Melayu yang membicarakan tentang ini?

Siakap senohong, gelama ikan duri,

Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Masyarakat Islam kita pada hari ini

 

Kata Hukama, sekiranya kita hendak melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada generasi mudanya. Namun, belum pun sempat kita menjadikan generasi muda sebagai kayu ukur masa depan negara, kita sendiri menjadi tidak sanggup menyaksikan kebinasaan yang dilakukan mereka, sedikit demi sedikit disebabkan oleh tangan-tangan kita. Ada kalanya saya akan duduk sendiri menghitung-hitung permasalahan yang menghujani masyarakat dewasa ini, sambil mencari sebab dan solusinya, kerana ada sesetengah pihak berpendapat tidak guna sekadar menyenaraikan masalah sekiranya tidak ditawarkan juga jalan keluar. Masalah akidah, murtad, perluasan kuasa oleh pihak evangelist, penyelewengan kuasa, riba, rasuah, pembaziran berleluasa, sumbang mahram, hubungan sejenis, zina, seks bebas dan permasalahan dadah masih gagal dirawat juga. Itu baru dalam negara. Keluar sahaja kita dari sempadan negara Malaysia, umat Islam rupanya dibantai teruk dengan penjajahan negara, pembersihan etnik, penyelewengan akidah, pertikaian mazhab, dan beberapa masalah lain yang tidak mampu disenaraikan.

Namun, tahu masalah apa yang paling meresahkan?

Ketidakpedulian (ignorance).

Kitalah, kita. Yang sewaktu Amerika Syarikat menganjurkan pameran dadah sedunia, kita menerima bahawa menghisap marijuana itu perkara biasa. Alah, bukan negara kita pun, kata kita. Kitalah, kita. Yang apabila pendakyah Kristian mulai melebarkan sayap pengaruhnya di kawasan perumahan kita, disokong pula oleh pemimpin-pemimpin bukan Islam, kita biarkan saja. Kita anggap mereka hanya cuba-cuba. Ah, bukankah Islam agama Persekutuan? Tukas kita. Kitalah, kita. Yang apabila para pendidik di sekolah menasihatkan agar anak perempuan yang sudah cukup umurnya harus dipisahkan tempat tidurnya daripada saudara lelaki, mahupun ayah sendiri, kita kata “Ah, kolotnya ustaz, ustazah.” Kitalah kita, yang apabila rakan sekelas kita memberitahu bahawa dia sudah berpunya, dengan teman lelakinya sudah tidak segan silu bermesra, tanpa ikatan yang sah, kita biarkan sahaja. Kononnya, kitalah sahabat paling berminda terbuka.

Semuanya bermula dengan kita.

Sekecil apapun sebuah sel dalam tubuh manusia, ia tetap berperanan juga. Hal ini kerana daripada sekecil-kecil sel, wujudnya tisu badan, yang kemudian bertumbuh menjadi organ, yang kemudiannya membentuk sebuah sistem kitaran bagi menyempurnakan seorang manusia. Begitulah kita. Meskipun kita merasa kerdil, kita tetap harus mainkan peranan bagi menyelamatkan umat. Peranan itu, bermula dengan pembangunan diri kita dari semasa ke semasa, yang juga berhajatkan kepada didikan (tarbiah), kesungguhan (mujahadah) dan kelangsungan usaha (istiqamah).

Proses ini dibuktikan melalui tingkatan amal yang disusun oleh as-Syahid Imam Hasan al-Banna (semoga Allah SWT merahmati beliau) yang bermula dengan individu Muslim, diikuti dengan rumahtangga Muslim, diikuti dengan masyarakat Muslim yang menatijahkan kepada pembebasan tanah air, seterusnya pembinaan negara Islam hingga akhirnya, Islam menjadi rujukan dan pemimpin buat seantero dunia (ustaziatul alam). Pesan as-Syahid, “Tegakkanlah Islam dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di sekeliling kamu.”

Bermula dengan siapa? Kita. Ya, kita. Kita yang kerdil. Kita yang lemah. Kita yang tidak mempunyai apa-apa. Oleh yang demikian, kita saling memerlukan untuk membentuk sebuah entiti yang kuat, disegani dan saling melengkapi. Turutilah sunnah orang berjuang, kerana seorang yang digelar singa di rimba ketika dini hari, rahib di mimbar ketika malam hari itu, mulanya daripada seorang manusia yang sifar juga.

Berbahagialah Tabib Ghuraba’

 

Di dalam sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi asing sepertimana asal kedatangannya, maka berbahagialah orang-orang yang asing,” (Hadis riwayat Muslim).

“Berbahagialah orang-orang yang asing” merupakan sebuah janji indah yang bersifat futuristik. Bahagia ini sifatnya subjektif. Ada orang bahagia sekiranya sumber ekonominya terjamin, orang-orang kesayangannya selamat terpelihara, dan cita-citanya tercapai sempurna. Namun bahagia yang dijanji Rasulullah SAW adalah bahagia yang bebas daripada segala tipu daya dunia. Bahagia seperti ini adalah sebuah janji yang seringkali diragui kerana hakikatnya di dunia, para ghuraba’ (orang yang asing) akan dipulau, dimusuhi dan dianggap kolot kerana Islam yang dipertahankannya. Namun tidak mengapa, kerana para ghuraba’ sudah aman dengan beberapa lagi hadis yang menjamin ‘kebahagian abadi’ ini.

Pesan Rasulullah SAW lagi, “Dunia merupakan penjara bagi orang Mukmin, dan syurga bagi orang kafir,” (Hadis riwayat Muslim)

 “Jadilah kalian di dunia ini seperti seorang pengembara yang mencari jalan pulang…” (Hadis riwayat Bukhari)

Dunia bukankah hanya singgahan, dan bukannya destinasi? Maka, mengapa takut menjadi yang asing?

KHALIS SHAHIRAH BINTI MOHAMED HAFIZ

TAHUN 3 KULIAH PERUBATAN

TIMBALAN KETUA BIRO PEMBANGUNAN INSAN

PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR 2017/2018.

 

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?