SUPERWOMEN

SUPERWOMEN

0

“Move now, quickly! Yallah!”

Kelihatan seorang pesakit yang sedang sarat mengandung bersama beberapa profesor yang lain memasuki labour room itu.

Aku yang baru sahaja selesai menyaksikan satu kes C-sec beberapa jam yang lalu tidak jadi untuk menapak keluar.

Dr. Eman pada ketika itu sudah berdiri di suatu sudut bilik pembedahan sambil berbincang bersama profesorku yang lain.

Riak wajahnya ternyata serius. Percakapannya yang pantas tidak sempat untuk aku tangkap isi bicaranya.

“Apa pula kes kali ini?”

Hatiku membuak-buak untuk bertanya. Namun niatku terpaksa dibatalkan apabila aku merasakan ini bukanlah waktu yang sesuai.

Tangan diketap. Berdetak-detak bunyinya. Aku membetulkan postur badan. Baru sedar, sudah lama aku bersandar sepi di sudut tepi bilik pembedahan itu.

Mataku melilau melihat gerak geri profesorku yang pantas membuat kerja.

Setiap minit itu berharga! Setiap keputusan itu bermakna!

Suntikan epidural diberikan. Urinary catheter dipasang. Alat-alatan untuk pembedahan pula sudah tersedia di atas meja. Ubat pelali diberikan.

Belakang tangan ditekap pada mulut bagi menahan kuap ngantukku untuk kesekian kalinya.  Jujur penat itu terasa. Kelas pada waktu pagi dan seterusnya berkejar ke Jabatan Obstetrik & Ginekologi di tingkat 4 itu pula.

Namun apalah sangat penatku ini berbanding penat profesorku yang bekerja tiada henti sejak daripada semalam.

Bukan aku tidak pernah melihat mereka yang sedang makan baru sesuap dua tiba-tiba perlu berkejar untuk melakukan pembedahan yang seterusnya.

Bukan aku tidak pernah tahu mereka terpaksa meninggalkan anak-anak mereka di rumah di bawah jagaan suami atau keluarga kerana pesakit lebih memerlukan mereka.

Bukan aku tidak pernah melihat mereka yang tertidur kepenatan di dalam bilik rehat selepas selesai waktu kerja mereka sebelum pulang ke rumah.

Benarlah, profesion ini menuntut pengorbanan.

Pengorbanan daripada segenap orang. Dan mereka yang terpilih pula, bukan yang calang-calang!

Lalu aku teringat sabda Baginda SAW yang tercinta, “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.”

Nak jadi yang sebaik-baik itu bukan senang.  Hanya yang terjun bersama masyarakat sahaja yang tahu mana pahit dan mana manisnya. Mana baik dan mana buruknya. Mana yang boleh diikut dan mana yang boleh diambil pengajarannya.

Nuha yang muncul entah dari mana datang kepada kami. “Nuha, another C-sec. Awak dari mana?” Soalku.

Pandangan matanya tidak lepas dari pesakit yang terbaring di atas katil bedah di hadapan kami itu.

“Tahu tak, patient ni datang sebab bleeding. Banyak sangat. Saya dengar Dr. Eman kata placenta previa!” Nuha memulakan bicara.

“Tadi saya di Jabatan Kecemasan. Nak tengok kalau-kalau  ada kes yang baru masuk. Kebetulan saya terserempak dengan Dr. Eman.  Dia tengah berbincang dengan keluarga pesakit ini. Kemungkinan rahimnya terpaksa dibuang!” Sambung Nuha. Serius lah. Kini aku pula yang tidak lepas memandang ke arah pesakit itu.

Placenta previa adalah keadaan di mana uri berada kekal di bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim). Ia menutupi sebahagian atau keseluruhan pangkal rahim tersebut.

Normalnya, uri perlu berada di bahagian tengah atau atas rahim. Ini bermaksud ia berada jauh dari kawasan yang sepatutnya untuk bayi keluar melalui rahim.

 

Placenta previa ini terbahagi kepada empat jenis iaitu uri berada di bahagian bawah rahim, uri berada di bahagian bawah rahim dan di pintu rahim, uri menutup sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Masih terngiang-ngiang perbualanku bersama  Dr. Asma tatkala aku mengikutinya untuk melihat prosedur-prosedur yang dibuat di klinik bahagian pesakit luar di tingkat bawah hospital pada bulan yang lepas.

“Dr Asma, what’s wrong with the patient?” Soalku apabila dia telah selesai mengambil history daripada seorang pesakit.

“They said she might has placenta previa. She’s being referred here to make further investigation.” 

Aku menilik referral letter yang ada bersama pesakit itu. “Have you done PV to her?”

“No. We have never done PV for a patient who has placenta previa. Never.” Tegas Dr. Asma sambil menyelak tirai putih yang membahagikan ruangan antara pesakit itu.

Aku menelan air liur. Ah, kering pula terasa. Kepalaku mula ligat memikirkan intipati kelas yang pernah aku hadiri.  Never do PV in placenta  previa’s patient because you might separate the placenta with your finger so severe bleeding might occur.

Nah, ini lah jawapannya!

Antara komplikasi placenta previa, terutamanya dalam jenis ketiga dan keempat ialah risiko kelahiran bayi pramatang dan pendarahan. Pendarahan yang banyak pula boleh berlaku sehingga mengancam nyawa si ibu. Itu tidak termasuk lagi komplikasi-komplikasi lain seperti kedudukan bayi yang tidak normal, kelahiran bayi pramatang, kematian pada bayi, pendarahan selepas bersalin (postpartum hemorrhage) dan sebagainya.  Sekiranya pendarahan berlaku tanpa henti, risiko rahim untuk dibuang adalah jalan yang terakhir bagi menyelamatkan nyawa ibu tersebut. Namun perkara ini dilakukan setelah melakukan pelbagai langkah bagi menghentikan pendarahan serta mengambil kira faktor-faktor yang merangkumi kondisi si ibu tersebut.

Pembedahan dimulakan. Mataku kembali segar bugar. Suatu ketika dahulu, aku pasti terasa ngilu melihat pembedahan sebegini di depan mata, namun kini perasaan itu tiada lagi. Yang aku harapkan hanyalah semoga semuanya berjalan lancar dan ibu serta bayi tersebut dapat diselamatkan. Lapisan demi lapisan dibedah. Mujurlah pada suatu ketika dahulu, Dr. Isra’ pernah menunjukkan padaku lapisan-lapisan yang perlu dibedah dalam kes C-sec. Ternyata ajarannya berguna kerana aku boleh mengerti satu persatu apa yang dilakukan oleh Dr Eman sekarang. Kalaulah aku mengambil sikap tidak lewa pada waktu itu, tentulah sia-sia sahaja aku berdiri bagai patung di sudut bilik bedah itu sekarang ini.

Aku mencari-cari tazkarah untuk mengetahui usia kandungan pesakit tersebut. Mataku menangkap pada placenta marginalis, 32 weeks of pregnancy yang tertera di atas kertas itu. Ini bermaksud bayi ini akan dilahirkan secara pramatang. Tempoh bayi yang matang ialah apabila usia kandungan mencecah 37 minggu atau lebih.

Seperti yang kita ketahui, bayi kelahiran pramatang ini mempunyai banyak komplikasinya. Antaranya ialah komplikasi pernafasan, jantung, tahap imuniti rendah, komplikasi metabolisme dan sebagainya. Jadi, bayi pramatang ini perlu mendapat penjagaan yang rapi seawal kelahirannya untuk mengurangkan kadar morbiditi dan kematian.

Beberapa minit kemudian, kantung bayi dipecahkan dan bayi dikeluarkan melalui rahim tersebut. Namun tiada tangisan yang kedengaran. Ini suatu petanda yang tidak baik! Bayi perlu menangis selepas dia dikeluarkan daripada rahim bagi menandakan  paru-parunya itu berfungsi dengan baik. Profesorku dari Jabatan Pediatrik yang sudah lama bersedia di sisi terus mengambil bayi tersebut dan dibawa ke warmer. Pucat warnanya.

Bersambung…

Glosari:

C-sec  = Caesarean section. Kaedah bersalin melibatkan pembedahan.

Epidural = suntikan yang diberikan semasa bersalin untuk mengurangkan kesakitan

Urinary catheter = sejenis tiub yang dipasang  pada saluran air kencing

Bleeding = pendarahan

PV = Per vaginal examination. Pemeriksaan yang dilakukan melalui faraj

Tazkarah = kertas yang mengandungi maklumat tentang pesakit

Placenta marginalis  =  uri yang terletak dibahagian bwh rahim dan berdekatan pintu rahim/menutup sebahagian pintu rahim

 

Penulis:

SYIFA’ BT HARIS

GRADUAN UNIVERSITI AL-AZHAR

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?