MY BEST YEAR

MY BEST YEAR

0

“Jangan risau tentang result, waktu yang ada ini usaha buat yang terbaik dulu.”

Begitulah kata-kata daripada seorang sahabat yang membuatkan saya terus bersemangat sepanjang hampir 3 bulan berlangsungnya peperiksaan ini.

Saya pernah ditanya cara pembelajaran saya pada tahun ini. Saya belajar sama seperti kalian belajar. Waktu kelas pagi saya akan cuba untuk hadirkan diri seawal mungkin ke dewan kuliah. Mungkin kelihatan remeh, namun inilah antara penyumbang kejayaan yang terbesar buat pelajar perubatan. Jangan pernah berniat untuk ponteng kelas walaupun sekali. Percayalah. Anda akan berterusan dengan tabiat ini sehingga ke akhirnya jika tidak dibendung daripada awal.

Jujur saya katakan, setiap pelajar ada sifat malasnya. Namun, apa yang penting mereka perlu ada usaha untuk melawannya. Amalkan prinsip “Better late than never”. Wajib hadirkan diri juga ke kelas walaupun lewat kerana mungkin terdapat topik untuk peperiksaan yang dibincangkan pada waktu tersebut.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang malu untuk terus bertanya kepada doktor tentang sesuatu yang tidak difahami. Solusinya, bertanyalah kepada doktor di luar waktu kuliah, dengan ini jua boleh membuatkan kita lebih memahami pelajaran untuk hari tersebut.

Sememangnya diakui, pelajar sains kesihatan pasti akan menempuh masa yang sukar misalnya apabila menghadapi urusan kerja dan pembelajaran yang membebankan. Oleh itu, cubalah tangani tekanan stres sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti seperti berfutsal, keluar makan dan sebagainya. Selain itu, kita juga boleh meluahkan masalah yang kita hadapi kepada rakan atau sahabat sekeliling yang dipercayai. Orang yang terbaik semestinya ibu bapa kita.

( إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسَ)

Melainkan sekiranya mereka (berpegang) pada tali (agama) Allah SWT dan tali (perjanjian) dengan manusia. [Surat Ali-Imran: 112]

Sentiasalah berpegang pada ayat al-Quran ini kerana pasti ayat ini akan memberikan impak yang besar buat kita. Selain itu, sentiasa jaga solat lima waktu. Jika hubungan bersama Allah SWT tidak dijaga, adakah kejayaan akan datang semudah itu? Tidak dilupakan juga untuk memperbanyakkan amalan bersedekah. Bersedekah bukan kerana kita mempunyai banyak harta dan duit, tetapi kerana dalam rezeki kita terdapat juga rezeki orang lain.

Saat tibanya hari peperiksaan, cuba hubungi keluarga di Malaysia setiap kali sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan. Ketenangan itu pasti muncul saat mendengar suara mereka. Waktu peperiksaan, jawab dengan sebaik mungkin, jangan sesekali tinggalkan walau satu soalan, jika buntu cuba imbas kembali apa yang dipelajari di dalam kelas. Jawab dengan tenang dan selebihnya tawakal kepada Allah SWT.

Akhir sekali, kunci segalanya bagi saya adalah sabar. Sabar dalam segala urusan yang kita lakukan. Cuba hadamkan dalam diri kata-kata daripada Imam Syafie:

“Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

 

Ahmad Faiz bin Mohd Khairy

Tahun 3 Perubatan

 

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?