[KENYATAAN RASMI:  SERUAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN ULANGAN & EFC DUR THANI]

0

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan terhadap Pencipta kita yang Maha Esa kerana masih memberi kita peluang merasai nikmat kehidupan ini melalui nafas Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia kita, Baginda SAW dan keluarga Baginda serta para sahabat Baginda kerana tanpa jerih payah usaha dakwah mereka, tidak mungkin kita merasai nikmat Islam pada masa kini.

Seperti yang semua maklum, peperiksaan akhir tahun bagi semua fakulti telah berakhir. Maka, fasa ulangan peperiksaan kali kedua bakal bermula bagi pelajar-pelajar yang tidak melepasi markah lulus untuk subjek-subjek yang diambil. Untuk makluman semua, pihak Fakulti Perubatan dan Pergigian Universiti al-Azhar telah menetapkan tarikh ulangan peperiksaan bermula pada 5 Ogos 2017 ini.

Rentetan itu, mahasiswa dan mahasiswi boleh merujuk Biro Akademik tentang prosedur semakan semula (tazallum) keputusan peperiksaan sejurus mengetahui keputusan masing-masing.

Sehubungan dengan itu, Biro Akademik PERUBATAN Cawangan al-Azhar menyeru kepada mahasiswa dan mahasiswi yang tersenarai dalam senarai pelajar ulangan untuk merancang perjalanan pulang ke Mesir (jika berada di Malaysia) seawal mungkin dan bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi peperiksaan. Pihak kami menyeru dan menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi untuk menduduki peperiksaan tersebut dan tidak mengambil keputusan untuk membawa subjek tertentu ke sesi pembelajaran yang akan datang. Hal ini kerana, peperiksaan ulangan yang disediakan oleh pihak universiti adalah satu peluang besar yang diberikan kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi dalam keputusan peperiksaan. Kesan pertambahan subjek yang perlu dipelajari dalam tempoh masa yang terhad akan membawa satu bebanan yang besar kepada pelajar pada sesi akan datang.

Di samping itu, Exam Fever Campaign (EFC) Dhur Thani peringkat PERUBATAN Cawangan al-Azhar bakal bermula seiring dengan fasa persediaan dan peperiksaan ulangan nanti. Kempen ini bertujuan untuk membantu ahli dari segi persiapan dan kebajikan sepanjang tempoh peperiksaan ulangan. Biro Akademik akan membantu mahasiwa dan mahasiswi melalui In Home Tutorial (IHT) yang berkonsepkan tutorial dan latihan secara langsung oleh tutor-tutor yang dipilih khusus dari kalangan batch masing-masing dan senior. Maka, pihak kami sangat mengharapkan keterlibatan dan kerjasama ahli untuk menjayakan kempen tersebut.

Akhir kalam, kami mewakili pihak pimpinan PERUBATAN Cawangan al-Azhar, mengucapkan selamat mengulangkaji dan maju jaya buat seluruh mahasiswa dan mahasiswi kuliah sains kesihatan Universiti al-Azhar dalam menempuh peperiksaan ulangan sesi 2016/2017 dan membuat persediaan yang lengkap untuk menghadapi sesi pembelajaran pada sesi 2017/2018. Semoga dengan medium yang disediakan ni, kita semua beroleh manfaat yang baik. Kami mendoakan agar ALLAH SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus mengulangkaji pelajaran serta menganugerahkan keputusan yang Allah SWT dan kalian redai.

Seeru ‘Ala Barakatillah

Wallahu A’lam

“Achieve The Highest , Improve Other”

“PCA: Stronger As One “

“Ilmuwan berbakti, Teguh Sehati”

Abdul Mustaqim bin Mohd Khalil,

Ketua Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

 

‘Afaf binti Othman,

Timbalan Ketua Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?