HIKMAT BUDI

HIKMAT BUDI

0

Tatkala diri ini menjejakkan kaki ke Bahrain dalam perjalanan ke Kaherah, bahang udara panas jelas terasa. Jika di Malaysia udara panasnya bercampur lembap tapi di sini aku seperti lemas dalam haba udara yang kering. Suasana yang cukup berbeza seakan aku tidak percaya keberadaanku sekarang di ‘oversea’. Terik panas matahari yang memancar meransang proses kehilangan haba. ‘Basal metabolic rate’ berkurang sedikit demi sedikit untuk membantu menghalang kenaikan suhu apabila ‘thermogenic hormone’ kurang beraksi. Kalenjar-kalenjar peluh yang lebih giat bekerja dan ‘cutaneous vasodilatation’ tambah mempercepat pengeluaran haba daripada tubuh.

Misi sebuah pengembaraan ke bumi Mesir kini bukan lagi satu angan-angan tapi bakal menjadi realiti yang sebati dalam hidupku sebagai penuntut ilmu. Aku mula merasa diri ini semakin jauh dari tanah air, jauh dari kampung halaman, jauh dari keluarga dan sahabat tercinta malah terasa semakin jauh dari Tuan empunya langit dan bumi. Masakan tidak, tak terhitung nikmat yang kukecapi sehingga membolehkan aku akhirnya menapak di ‘ardhul kinanah’, suatu cita-cita yang pernah kuungkapkan ketika di bangku sekolah lagi. Jika dibandingkan segala nikmat-Nya dengan nilai syukurku pada-Nya, sungguh ia berkadar songsang!

Melewati hari-hari di bumi Mesir, terlintas satu firman Allah dalam surah al-Kahfi:

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pemuda yang bersamanya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun.’ (QS. 18:60)

Azam dan akhlak nabi Allah Musa alaihissalam dalam menuntut ilmu seperti yang dikisahkan dalam surah al-Kahfi benar-benar mengobarkan semangatku untuk berjuang menuntut ilmu.

“Takkan surut walau selangkah..takkan henti walau sejenak..”

Telefonku berdering.

Tersedar kembali aku ke dunia nyata. Angin dingin yang bertiup di pertengahan antara musim sejuk dan panas benar-benar mengasak memoriku berputar mengenang diriku lewat dua tahun yang lalu. Tambah bunga yang gugur mewarnai tanah gersang di sekitar jalan raya Hayyu Sabik tempat tinggalku di sini, membuatkan emosi jiwaku semakin kuat terpukul. Sambil menunggu microbus* yang lebih dikenali dengan nama Tremco* dalam kalangan pelajar Malaysia untuk ke kuliah, aku mengeluarkan telefon bimbitku yang tersisip dalam poket ‘sweater’. Tiada nama, hanya nombor yang terpapar di skrin telefon. Biasanya nombor asing kubiarkan sahaja tanpa disahut panggilannya kerana acap kali aku diganggu oleh nombor-nombor yang entah siapa gerangannya. Namun kali ini pantas sahaja punat terima panggilan kutekan.

“Assalamualaikum Jannah”

Suara yang seakan familiar kusambut dengan mesra.

“Waalaikumussalam wbt. Ye ni akak…err..”

“Ni Kak Ina. Adik sihat?”

“Oh, Kak Ina! Maaf tak ‘save’ nombor akak. Alhamdulillah sihat. Kenapa akak ‘call’ saya?”

Pantas kutanya soalan sebelum aku terpaksa berebut untuk menaiki Tremco yang kutunggu dari tadi dek kerana terlalu ramai manusia di simpang ini untuk ke destinasi hala tuju masing-masing.

“Akak nak jumpa awak lepas kuliah nanti boleh? Kat lobi tingkat 1.”

“Boleh.”

Jawabku ringkas.

“Ok, jumpa nanti ya dik.”

“Ok akak, insya-Allah.”

Aku mematikan perbualan. Sayup-sayup kedengaran bunyi bising kesibukan kota di pagi hari dalam perbualanku dengan Kak Ina.

“Kak Ina pun mungkin dalam perjalanan ke kuliah juga,” bisikku.

****************************************************

Penat yang kurasa selepas menjadi Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJKP) Unit Makanan masih belum hilang sepenuhnya. Aku terpaksa berulang-alik sejauh 15 kilometer dengan menaiki Metro* semata-mata untuk menguruskan bahan-bahan mentah menu masakan program. Aku adalah pelajar kuliah perubatan Universiti al- Azhar yang tinggal di Hayyu Sabik sedangkan semua pengerak ‘team’ Unit Makanan yang lain adalah dari Universiti Kasr el-Aini yang rata-rata teratak mereka semuanya di Sayyeda Zainab dan Mounira. Jadi kebanyakan mesyuarat dan persiapan program dibuat di sana. Saat ini, aku terasa seperti lelah sendiri. Tidak ada teman bersama yang sentiasa di sisi mengiringi langkahku. Kadang jiwa memberontak keletihan. Tatkala yang lain masanya ada untuk dirinya sahaja, aku pula terpaksa membahagi-bahagi masaku untuk orang lain. Penatku menuntut bayaran. Apa yang aku dapat?

“Manusia diciptakan daripada air. Fitrah air itu mengalir dan bergerak. Jika ia bertakung, bisa menjemput kehadiran kuman dan makhluk pembawa penyakit. Begitulah manusia, ia perlu bergerak dan bekerja memberi manfaat pada makhluk dunia seisinya. Jika tidak, nescaya sakitlah masyarakat manusia di tengah-tengah kerakusan nafsu duniawi”.

Kata-kata mentor Smart Circle (SC)* ku seakan menyentap logik benak fikiran dan perasaanku. SC, satu perkumpulan kecil yang diwujudkan oleh persatuan pelajar di sini adalah tempat aku membangkitkan semula imanku yang lesu. Dalam SC, kami berbincang dan berdiskusi, menyatukan cara pandang serta membongkar solusi al-Quran dan as-Sunnah dalam mencari penyelesaian kepada masalah umat Islam pada hari ini. Dek kerana aku masih belum bisa menundukkan ego kejahilan dalam diriku, acap kali wujud konflik pertarungan antara iman dan nafsuku seusai SC.

****************************************************

“Tak nak!”

“Akak tak paksa, adik yang akan tandatangan persetujuan ni. Fikirlah dulu semasaknya sebelum membuat keputusan.”

Pertemuanku dengan Kak Ina di kuliah menambah keserabutan dalam kepala. Suatu ketika dahulu, aku terpaksa membuat pilihan di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti al-Azhar di Mesir sebagai destinasi pengajianku. Namun aku tekad memilih Mesir sekalipun tempatku telah tersedia di UIAM bersama sahabat-sahabatku yang lain. Malah ada sahabatku yang pada awalnya ingin bersama menuruti langkahku namun membatalkan hasratnya di saat-saat akhir sebelum aku terbang ke benua Afrika. Beratnya membuat keputusan itu hanya Allah yang tahu. Kali ini pilihan itu datang lagi. Bukan pilihan untuk menyambung pelajaran tapi, pilihan itu datang dalam bentuk amanah. Bagiku, amanah ini hanya akan menjejaskan masa belajar dan masa untukku bersama dengan sahabat-sahabatku.

“Namun, benarkah berkurangnya keberkatan masa kamu itu dengan sebab amanah atau sebenarnya disebabkan perkara-perkara lain yang sia-sia kamu lakukan? Manusia mendefinisikan ‘sibuk’ mengikut kondisi masing-masing. Ada yang sibuk kerana sibuknya dia belajar untuk dirinya cemerlang dalam peperiksaan. Ada yang sibuk kerana sibuknya dia berniaga dan mencari duit menampung perbelanjaan sara hidup. Ada yang sibuk kerana sibuknya dia berseronok. Ada yang sibuk kerana sibuknya dia menguruskan diri sendiri semata-mata, ada yang sibuk melakukan perkara yang sia-sia dan ada yang sibuk kerana juga membantu dan memberi manfaat kepada orang lain. Lalu sibuk kamu bagaimana?”

Tulisan di status laman sosial milik seorang sahabatku terpapar di skrin laptopku. Jari-jemariku yang tadinya laju menekan butang ‘arrow’ kaku seketika.

“Ahhh…Keputusanku muktamad! Aku tak reti nak berkempen dalam pilihan raya untuk menjadi AJKT, aku tak reti bercakap depan orang ramai malah aku langsung tak reti memimpin!”

Alasan demi alasan kucipta untuk meghalalkan tekadku. Entah mengapa jiwaku masih serabut. Sekalipun jawapan ‘Tidak’ telah kuberikan, namun masih diriku dibelenggu rasa kurang enak.

****************************************************

“Jannah, jangan lupa siapkan laporan Timbalan Pengerusi untuk dimuatkan dalam buku Mesyuarat Tahunan Cawangan sebelum Ahad ini ya,”

Hawa, Timbalan Setiausaha persatuan yang sentiasa mengingatkanku tentang tugasan-tugasan yang perlu disiapkan sebelum kami semua menghadapi medan muhasabah di hadapan ahli tidak kurang dua minggu sahaja lagi.

“Ini baru hisab di dunia, belum lagi dihisab di mahkamah Allah yang Maha Adil di akhirat kelak,”

Bisikan ini seringkali mengingatkanku untuk melaksanakan amanah yang terpundak dengan sebaiknya. Masakan tidak, aku akhirnya menerima amanah ini tiga tahun yang lalu atas kerelaanku sendiri. Kerana aku tak bisa menanggung rasa bersalah tatkala membaca ayat-Nya dalam surah Ali Imran:

“Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain. Maka orang orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku-hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik “. (QS. 3: 195)

Bayaran syurga Allah terlalu mahal. Pantaslah umat manusia harus merasa kesusahan untuk membeli syurga-Nya. Kerana hakikatnya dunia itu penjara bagi orang-orang yang beriman. Jika hidup ini hanya kufikirkan untuk diriku bersenang-senang, layakkah aku menikmati syurga bersama-sama dengan para Rasul dan Sahabat? Sedang mereka hidup di dunia diseksa dan dihina kerana teguh dengan akidah dalam menyebar kalimah Tauhid malah ada di antara mereka terpaksa membayarnya dengan darah dan nyawa.

Memang benar sepanjang berada di posisi kepimpinan, aku dihimpit dengan asakan bebanan tugas. Pagiku ke kuliah, petang dan malam aku bermesyuarat dan berprogram. Kadang penat seharian keluar mendekati dan menyantuni mad’u. Namun lelah itu sementara cuma, yang kekal adalah amal yang dihitung oleh Allah kelak. Sekurang-kurangnya dengan berada di posisi kepimpinan, aku tidak perlu mencari sendiri ruang-ruang untuk aku beramal melakukan kebaikan. Sekurang-kurangnya telah tersedia jalan untukku menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar melalui jawatan kepimpinanku. Dan jika benar kulaksanakan amanah ini dengan sungguh-sungguh, aku malah telah melepaskan tanggungjawab fardu kifayah ini ke atas seluruh sahabat-sahabatku di sini.

Menyibukkan diriku bergelumang dalam masyarakat, aku mengenal erti kasih sesama mukmin kerana-Nya, aku belajar untuk bersabar dan berlapang dada dalam berurusan dengan manusia yang pelbagai ragam, aku belajar untuk mengurus, membahagi-bahagi masa antara kehendak peribadi dan keperluan umum, mengimbangi antara amanah pelajaran dan organisasi, juga aku dilatih untuk berfikir kritis dalam mencari solusi dan menjawab isu dengan berhikmah. Sungguh, tidak langsung aku rasa rugi menyumbang budi dan bakti, biarpun pengorbanan kudrat dan masa menjadi taruhan.

Takdir Allah itu indah,
Jika manusia belajar untuk bersabar dan bersyukur,
Kerana setiap titip kehidupan itu punya makna,
Yang akan dipersaksikan di hari abadi.
Dan takdir-Nya pasti lebih indah,
Jika hamba-Nya ikhlas dan tulus beramal,
Demi mengharap cinta hakiki.
Penghujungnya pasti syurga yang menanti.

Glosari

*Microbus: Kenderaan awam seperti van yang boleh memuatkan 15 orang penumpang.
*Tremco: Nama salah sebuah syarikat pengeluar kenderaan microbus.
*Metro: Nama pengangkutan awam rel di Mesir.
*Smart Circle (SC): Usrah/ Perkumpulan kecil yang diwujudkan untuk membincangkan isu-isu agama.
*Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT): Pimpinan tertinggi di tujuh cawangan (Universiti Al-Azhar, Kaherah, Ain Shams, Zaqaziq, Tanta, Mansurah, Iskandariah) dalam organisasi Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia Mesir (PERUBATAN).

 

Madihah binti Haji Mat Ali
Graduanita Universiti al-Azhar

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?