Being Reda Is Not A Sin

Being Reda Is Not A Sin

0

“Akak, nak ikut sekali tengok ‘result’ tak?”

Hari yang sangat aku tidak nantikan akhirnya mendatangi kami.

“Oh, boleh juga. Insya-Allah.”

Aku mula merasa tidak sedap hati. Bak kata orang Melayu, makan tak kenyang, mandi tak basah dan tidur pun tak lena. Itulah situasi yang aku rasakan sekarang.

Sepanjang perjalanan menuju ke kuliah, bibirku tidak henti terkumat-kamit berzikir dan berdoa. Rakan di sebelahku juga begitu. Masing-masing tidak mengeluarkan sebarang suara.

Sesampainya di kuliah, kami terus menuju ke arah ‘control room’. Bilik ini yang akan menunjukkan keputusan kami semua. Namun, agak menghampakan kami apabila hanya sepuluh nama sahaja yang dibenarkan untuk tahu keputusan mereka. Pasti rakan-rakan di Malaysia yang tidak sabar untuk mengetahui keputusan mereka akan kecewa.

“Nampaknya, kita kena datang beberapa kali lagi selepas ini. Kita tengok keputusan kita sahaja dulu hari ni.”

“Ok, Izati tulis semua nama yang ada kat sini dulu lepas tu baru masuk bilik tengok keputusan.”

Izati yang merupakan ketua batch akhirnya masuk ke bilik itu. Jantungku makin tidak terkawal degupannya. Sesaat dan sesaat berlalu. Seminit dan seminit berlalu. Terasa lama pemergian Izati ini walaupun hakikatnya aku sendiri tidak mahu mengetahui keputusanku ini.

Terdengar derapan kaki dari arah bilik itu. Semakin kuat derapan kaki itu meyakinkan kami Izati telah pun keluar menuju ke arah kami.

“Nah, tengok keputusan masing-masing.”

Kertas yang mengandungi keputusan itu terus diterkam oleh kami. Masing-masing tidak sabar nampaknya. Aku mula mencari nama aku.

Allah. Hatiku terduduk terus. Empat subjek yang aku tidak lulus. Aku cuba untuk mengekalkan senyuman kerana ada juga rakan yang lain mengalami nasib yang sama. Aku bersyukur kerana tidak berada di Malaysia ketika ini. Untuk menyampaikan sendiri berita ini berdepan dengan ibu dan ayah bukanlah suatu yang mudah. Aku sudah membayangkan situasi yang akan terjadi. Silap-silap, aku akan menangis terlebih dahulu sebelum aku bercakap.

Sesampainya di rumah, aku terus menghubungi rakan-rakan yang berada di Malaysia untuk memberitahu keputusan mereka. Aku sendiri tidak mampu menipu perasaan sendiri tatkala ada antara mereka yang seronok dengan keputusan yang diperoleh.

“Keputusan akak macam mana? Ok tak?”

Dalam keterpaksaan, aku gagahkan diri juga untuk menjawab. Mereka ternyata memahami malah memberi galakan lagi. Semangat untuk menebus kembali kegagalan ini kuraih untuk bersedia menghadapi peperiksan ulangan.

Namun, sangkaku panas sehingga ke petang tetapi ternyata hujan terlebih dahulu turun di tengah hari. Semangatku kembali merudum menghilang di sebalik debu dan pasir. Aku tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada pelajaran. Hilang arah. Gelisah. Putus asa. Semuanya menjadi satu.

“Ya Allah, dosa apa yang aku buat ni? Kenapa susah sangat nak masuk ni? Kenapa malas sangat nak belajar ni?” Aku bermonolog sendiri, cuba mencari kekuatan.

Sungguh, aku tidak menyukai situasi yang aku hadapi sekarang. Aku mengambil keputusan untuk keluar berjumpa dengan sahabat-sahabatku yang lain. Mungkin mereka dapat memberi bekalan semangat kepada aku.

“Akak, lama tak jumpa. Buat apa kat rumah?”

“Hehe. ‘Study’, tapi tak semangat sorang-sorang.”

“Eh, jom la ‘study’ sekali. Kenapa tak cakap awal-awal? Kita kan nak berjaya sama-sama.”

Aku terkedu. Terharu dengan respons yang diberikan. Fikirku, pasti mereka juga sibuk dengan komitmen masing-masing. Mana mungkin ada kelapangan masa untuk menolong aku. Namun, sangkaanku salah sepenuhnya. Tawaran sahabatku itu aku gunakan sebaiknya.

“Maafkan aku, sahabat.” Hatiku lirih menangisi diri aku yang bersangka buruk.

Akhirnya, hari peperiksaan hampir tiba. Perasaan gelisah aku tolak tepi. Ini peluang untuk aku. Peluang yang tidak ada gantinya selepas ini. Ada hikmahnya aku mengambil peperiksaan ulangan ini. Alhamdulillah, aku semakin faham sesuatu topik yang sebelumnya aku kurang faham. Sokongan ibu bapa, sahabat-sahabat dan insan sekeliling makin menambahkan rasa yakin dalam diri.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.” (al-Baqarah: 126)

Ayat cinta daripada Allah SWT ini kupegang kemas dalam diri. Sedih itu biasa, namun kesedihan itu biasa berbanding kejayaan yang dirasakan selepas kesedihan itu. Persis sebatang pokok yang hidup di hutan. Penuh cabaran, tetapi di akhirnya pokok itu yang akan tumbuh paling tinggi. Dan, yang paling penting yakinlah kejayaan atau kegagalan itu merupakan nikmat Allah SWT yang terbaik untuk kita.

NUR ALIAA BT MEOR IDRIS
TAHUN 4 KULIAH PERUBATAN

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?