CUTI PANJANG: BEREHAT DENGAN SIHAT

CUTI PANJANG: BEREHAT DENGAN SIHAT

0
Siapa yang tidak gembira apabila cuti panjang menjelma? Sudah pasti
waktu ini ialah waktu yang dinanti-nantikan oleh semua terutamanya dalam kalangan mahasiswa. Kelas yang panjang, peperiksaan yang tidak putus, jadual yang padat semenjak awal tahun dapat ditinggalkan sementara bagi memberi rehat kepada badan yang sudah puas bekerja. Ada yang akan melancong di luar negara dan ada juga yang memenuhi cutinya dengan program-program persatuan. Meskipun begitu, tidak mengambil kira corak perjalanan anda, menjaga kesihatan diri adalah suatu kewajipan yang tidak boleh dipandang enteng. Berikut merupakan beberapa panduan mengawal kesihatan yang boleh kita jadikan sebagai panduan bersama sepanjang cuti ini.
1. Bersenam
Rata-rata mahasiwa lebih-lebih lagi sebagai pelajar sains kesihatan perlu mengetahui bahawa bersenam merupakan aktiviti yang sangat sinonim dengan penjagaan kesihatan. Aktiviti ini tidak tertakluk kepada orang yang mempunyai masalah obesiti sahaja, malah mereka yang sihat turut digalakkan untuk bersenam. Luangkanlah sebahagian masa harian anda walaupun sebentar kerana manfaatnya sangat besar dari segi fizikal, psikologi, sosial dan kesihatan.
  • Jika anda baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti ini, mulakan secara perlahan-lahan. Meningkatkan tahap aktiviti badan secara tiba-tiba boleh mendatangkan risiko kecederaan pada otot, ligamen, sendi dan sakit jantung.
  • Selain itu, anda boleh menjadikan sukan kegemaran anda sebagai salah satu cara untuk bersenam. Badminton, bola baling, futsal dan pelbagai jenis sukan yang dapat meningkatkan kecergasan fizikal anda. Batu seremban, congkak, mahupun DOTA tidak termasuk dalam kategori sukan ini.
  • Jika anda ingin lebih berdisiplin dalam bersenam, anda boleh mengajak mana-mana rakan untuk dijadikan teman.
  • Jadikan bersenam sebagai hobi. Hal ini dapat membantu mengurangkan tabiat tidak sihat dalam kalangan mahasiswa seperti merokok mahupun mengambil dadah.
2. Tidur yang mencukupi.
Rata-rata mahasiswa akan menjadikan tempoh cuti ini sebagai satu peluang untuk tidur berlebihan dan bangun lambat. Ya, tabiat ini mungkin boleh diamalkan untuk sehari dua bagi membalas dendam tetapi tidak untuk sepanjang cuti. Antara langkah yang boleh diambil bagi mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti:
  • Susun dan patuh pada jadual tidur harian anda. Kenal pasti tempoh tidur yang berkualiti untuk diri anda sama ada tiga, lima, atau tujuh jam.
  • Pastikan bilik tidur anda gelap dan senyap bagi mengelakkan sebarang gangguan semasa tidur.
  • Elakkan minum sebarang minuman yang mempunyai kafein beberapa jam sebelum tidur.
  • Tidur awal dan pastikan tempoh tidur anda mencukupi sebelum masuk waktu subuh. Sebelum tidur, niatkan di hati untuk bangun awal melakukan qiamullail. Dan pada sebahagian malam hari, sembahyanglah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (Isra: ayat 9)
  • Elakkan tidur selepas Subuh bagi mengelakkan badan lesu dan tidak bermaya.
3. Pemakanan seimbang
“You are what you eat.” Anda pasti pernah mendengar kata-kata ini bukan? Kesibukan sepanjang tempoh belajar menyebabkan jarang sekali kita mengambil kira keseimbangan zat yang terkandung dalam pemakanan harian.
  • Ciri-ciri pemakanan yang seimbang adalah sajian yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh badan iaitu karbohidrat, protein, lemak, dan vitamin mengikut kuantiti yang ditetapkan dalam piramid makanan.
  • Wajibkan diri anda mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
  • Amalan ini menjadi penyebab nenek moyang kita kekal sihat walaupun mereka sudah lanjut usia jika ingin dibandingkan dengan masyarakat hari ini yang sudah mempunyai penyakit kronik walaupun baru mencecah umur 40-an.
  • Banyakkan meminum air sekurang-kurangnya 3 liter air setiap hari bagi memastikan badan kita dapat berfungsi dengan baik.
  • Amalan pemakanan sunnah juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan kita.
4. Elakkan terperap di dalam rumah.
Kajian mendapati pergaulan sosial memberi kesan jangka masa pendek mahupun panjang pada kesihatan seseorang. Mereka yang lebih gemar bergaul dengan masyarakat kebiasaannya lebih sihat dan hidup lebih lama berbanding golongan sebaliknya. Waktu cuti merupakan waktu terbaik untuk anda meluangkan masa bersama-sama keluarga, sahabat, dan masyarakat sekeliling.
  • Rancang perjalanan cuti anda dengan sebaiknya. Penuhi setiap hari dengan aktiviti–aktiviti yang berfaedah seperti kelas agama, ziarah, dan riadah.
  • Libatkan diri anda dengan program–program persatuan dan gunakan masa lapang ini untuk membantu orang lain. “Hendaklah kamu tolong- menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT amat keras dalam hukuman-Nya.”  (al-Maidah: 2)
Nikmat sihat merupakan antara perkara yang jarang kita syukuri. Setelah ‘mutiara’ ini hilang, barulah kita sedar akan berharganya pemberian Allah SWT ini. Penjagaan kesihatan yang baik terutamanya dalam tempoh cuti ini adalah sangat penting bagi memastikan badan bersedia daripada sudut mental dan fizikal untuk menghadapi sesi pembelajaran selepas cuti nanti. Semoga anda dapat memanfaatkan waktu cuti yang berbaki ini dalam keadaan sihat jasmani dan rohani. Akhir kata, sihat itu nikmat daripada Yang Rahmat. Maka, jagalah nikmat ini dengan cermat.
FATHIN NABILAH BT MOHD NAZALI
GRADUANITA KULIAH PERUBATAN UNIVERSITI AL-AZHAR

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?