PANDUAN BERMUSAFIR MENURUT ISLAM

PANDUAN BERMUSAFIR MENURUT ISLAM

0

Hari Raya Aidilfitri dan Cuti Musim Panas semakin menghampiri. Sudah pasti ramai antara kita sudah merancang pulang ke Malaysia untuk menemui keluarga tercinta dan ada juga antara kita yang ingin melancong ke luar negara. Sehubungan itu, pihak JAKSI PCA menyediakan beberapa maklumat berkenaan ‘musafir’. Semoga informasi yang dinyatakan ini dijadikan sebagai rujukan kalian semasa bermusafir.

Tiadalah menetap bagi yang berakal dan punyai cita-cita dengan santai, maka tinggalkanlah watan dan berkelanalah.

Pergilah. Kau akan ketemui ganti kepada apa yang engkau tinggalkan.

Lelah dahulu kerana kenikmatan hidup itu setelah kelelahan.

Aku melihat air yang tenang menjadi keruh. Sekiranya mengalir eloklah ia, jika tidak pasti sebaliknya.

Sang singa jika tidak meninggalkan sarang pasti tidak membaham. Anak panah jika dibiarkan pasti tidak mengena sasarannya.

Matahari jika tidak berganjak kedudukannya maka bosanlah manusia sama ada Arab mahupun lainnya.

Galian itu hanyalah tanah biasa jika tidak digali. Begitu juga setanggi (Gaharu), ia hanyalah sejenis kayu.
Sekiranya ia diasingkan dari kelompoknya, maka tinggilah permintaannya.

– Imam asy-Syafie

Syair di atas menunjukkan galakan untuk merantau. Kita selaku mahasiswa Mesir tidak terlepas daripada merantau. Setiap perantauan akan disertai dengan musafir. Maka, kita seharusnya memahami hal ehwal musafir dengan baik. Ayuh kita hadam artikel ini sebaiknya!

 

DEFINISI ‘PERMUSAFIRAN’

Bahasa: Perjalanan.

Istilah: Perjalanan yang melibatkan perubahan hukum syarak seperti dibenarkan jama’ qasar.

 

KLASIFIKASI

  1. Umum
    • Ketaatan (haji dan jihad)
    • Harus (berniaga)
    • Maksiat (menyamun)
  2. Imam al-Ghazali
    • Musafir yang dikeji:  Haram (musafir bertujuan melakukan maksiat), melancong untuk bermaksiat, lari kerana derhaka kepada kedua ibu bapa.
    • Musafir yang dipuji : Wajib, menunaikan haji dan menuntut ilmu. Sunat, menziarahi kawan bagi merapatkan silaturrahim, menziarahi ulama dan warisan ulama silam.
    • Musafir yang diharuskan:  Untuk memenuhi keperluan hidup seperti berniaga.
  3. Tafsir al-Qurtubi (ayat 100 surah an-Nisa)
    • Situasi :
      • Hijrah iaitu keluar dari negara musuh ke negara Islam atau keluar dari tempat peperangan ke tempat yang aman sejahtera.
      • Keluar dari negara yang mengamalkan bid’ah.
      • Keluar dari negara yang mengamalkan perkara haram.
      • Lari daripada perkara yang membinasakan tubuh.
      • Bimbang dijangkiti penyakit dalam sesebuah negara yang diserang wabak penyakit kecuali taun.
      • Lari kerana takut kebinasaan pada harta. Sesungguhnya harta muslim itu haram dimusnahkan seperti haramnya darah seorang muslim.
    • Tuntutan:
      • Musafir untuk mencari pengalaman dan kematangan hidup.
      • Musafir untuk menunaikan haji.
      • Musafir untuk jihad fii sabilillah.
      • Musafir untuk mencari rezeki atau menyambung kehidupan.
      • Musafir untuk menjalankan urusan perniagaan.
      • Musafir untuk menuntut ilmu dan menambahkan thaqafah.
      • Musafir untuk menziarahi sahabat semata-mata kerana Allah SWT.

 

HUKUM

  1. Pembahagian
    • Wajib
      • Menunaikan haji, jihad dan menuntut ilmu.
      • Pendapat Imam asy-Syafie: Tidak wajib ke atas perempuan melainkan ada bersamanya suami, mahram atau perempuan yang dipercayai kerana membawa keamanan dalam permusafirannya.
    • Sunat
      • Haji atau umrah sunat, ziarah-menziarahi dan urusan perniagaan.
      • Jumhur ulama’: Tidak harus bagi perempuan kecuali bersama suami atau mahram berdasarkan hadis-hadis yang sahih.
    • Harus
      • Keadaan pertama
        • Musafir secara berkumpulan (Bagi perempuan: Ditemani perempuan yang dipercayai atau suami atau wali).
      • Keadaan kedua (Musafir seorang diri)
        • Jika mendatangkan mudarat: Haram
        • Jika tidak mendatangkan mudarat: Harus
          • Yusof  al-Qardhawi berkata,  di dalam كيف نتعامل مع السنة  dan  الإسلامية بين الجحود والتطرف والصحوة , “Apabila kita melihat kepada safar pada zaman ini dengan segala kemudahannya, kita akan mendapati ia seperti kapal terbang yang dapat memuatkan beratus-ratus penumpang yang membawa manusia dari satu negara ke satu negara yang lain dalam waktu yang singkat. Oleh yang demikian, tidak perlu dibimbangkan tentang keselamatan seseorang perempuan apabila kaum keluarganya menghantar ke lapangan terbang dan perempuan itu disambut oleh kaum keluarganya di destinasi yang ditujuinya. Tambahan pula perempuan itu menaiki kapal terbang bersama penumpang yang dipercayai”. Maksud Dr. Yusof al-Qardhawi sebagaimana ulama lain membolehkan perempuan bermusafir tanpa mahram atau suami jika terjamin keamanannya.
          • Syeikh asy-Sya’rawi berkata “Apabila keamanan terjamin melalui mana-mana cara atau wasilah, tidak dihalang bagi seorang perempuan untuk bermusafir sekalipun seorang diri terutama di zaman ini, di mana sistem pengangkutan amat menyelesakan serta wujud ciri-ciri keselamatan ke atas maruah dan adab kesopanan seorang perempuan”.
          • Syeikh Jabra’in menyatakan terdapat hadis yang melarang perempuan bermusafir tanpa mahram kerana pada zaman Nabi untuk pergi ke suatu tempat memerlukan seseorang itu merentasi padang pasir dan keadaan ini membahayakan kepada seorang wanita. Pada zaman sekarang keadaan sudah jauh berbeza. Oleh itu bolehlah perempuan bermusafir tanpa mahram jika terjamin keamanannya.
  2.  Hukum asal permusafiran wanita
    • Hukum asal di dalam syariat Islam, seseorang wanita itu tidak boleh bermusafir seorang diri, bahkan wajib ditemani oleh suami atau ada mahram bersamanya.
  3. Hikmah Hukum
    • Undang-undang dan peraturan-peraturan Islam yang diturunkan kepada manusia untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
    • Mengangkat kedudukan wanita di tempat yang sepatutnya dan menghapuskan tradisi jahiliyah, menunjukkan sayangnya Islam kepada kaum wanita khususnya.
    • Bagi memastikan kaum muslimat terhindar daripada perkara-perkara yang tidak baik sepanjang permusafiran dan kejauhan mereka daripada keluarga.

 

SUNNAH MUSAFIR

  1. Niat mestilah baik, bukan untuk berbuat maksiat atau kemungkaran. Perjalanan mestilah mempunyai tujuan, bukan semata-mata untuk berseronok sahaja.
    • Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya”. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi”. Selepas lelaki itu pergi, Nabi SAW berdoa, “Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya” .(Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi)
  2. Solat sunat (Taubat, Istikharah, Musafir)
    • “Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik dari 2 rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir” (Hadis diriwayatkan oleh Tabrani)
  3. Mulakan permusafiran pada hari Khamis
    • “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)
  4. Disunatkan membawa beg kecil yang berisi keperluan diri. Rasulullah sendiri membawa beg kecil berisi kayu sugi, celak, sikat, minyak wangi dan cermin.
  5. Meminta izin dan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga. Seorang anak perlulah meminta keizinan daripada kedua ibu bapanya, manakala seorang isteri perlulah meminta izin daripada suaminya sehingga ibu bapa/suami menjadi reda dengan permusafiran seorang wanita.
    • “Apabila seseorang daripada kamu akan bermusafir, hendaklah meminta izin kepada saudara-saudaranya, sebab sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan pada doa mereka.” (Diambil daripada kitab al-Azkar Imam Nawawi)
  6. Bermusafir dengan berteman. Kalau lebih daripada 3 orang, sunat melantik ketua bagi perjalanan tersebut. Sunat juga untuk mencari teman yang soleh yang akan sentiasa mengingatkannya kepada kebaikan dan mencegahnya daripada kemungkaran.
  7. Membaca doa sebelum bermusafir, doa naik kenderaan dan doa ketika memasuki suatu kawasan atau tempat orang. Sunat juga untuk membaca ayat Kursi supaya dilindungi daripada sebarang kecelakaan.
  8. Bertakbir apabila melalui tempat tinggi dan bertasbih ketika menuruni tempat tinggi.
    • Dari Jabir RA dia berkata: “Apabila kami naik kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

 

ADAB-ADAB MUSAFIR

SEBELUM SEMASA
1) Berdoa memohon petunjuk.

2) Menyediakan keperluan asas secukupnya seperti wang, pakaian, makanan dan sebagainya.

3) Berniat untuk kebaikan dan mulakan dengan membaca basmallah.

4) Solat sunat musafir dan berdoa sebelum memulakan perjalanan.

5) Selesaikan masalah hutang dan memohon maaf dengan orang sekitar.

 

 

 

 

 

 

 

 

1) Melantik seorang ketua apabila bermusafir dalam kumpulan yang terdiri daripada 3 orang atau lebih.

2) Mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang yang ditinggalkan bagi memaklumkan kepada mereka tentang keberangkatan dan tempat yang dituju.

3) Berdoa ketika menaiki kenderaan.

4) Mengerjakan solat secara jamak atau qasar atau kedua-duanya sekali.

5) Pakaian menutup aurat dan bersederhana dalam berhias.

6) Mengenal pasti arah kiblat dan menyediakan peralatan yang perlu untuk mengetahui waktu solat.

7) Tidak merosakkan alam sekitar.

8) Sentiasa mengingati Allah SWT dengan membaca zikir, istighfar

9) dan selawat kepada Nabi SAW.

10) Sujud syukur sewaktu tiba di destinasi.

11) Membeli hadiah/ buah tangan untuk mereka yang berada di destinasi yang dituju.

12) Menghormati agama dan budaya masyarakat setempat dan orang sekeliling.

HIKMAH BERMUSAFIR

  1. Membentuk hati yang memahami erti hidup sebagai seorang hamba.
    • Surah al-Hajj: 46
    • Surah al-Hujurat: 13
    • Surah al- Ghafir: 82
  2. Mentadabbur alam dengan menyedari akan kewujudan, kebesaran dan kekuasaan Allah.
    • Surah al-Baqarah: 164
  3. Mengambil pengajaran daripada kaum-kaum terdahulu :
    • Surah an-Nahl: 36
    • Surah Yusuf: 109
    • Surah Muhammad: 10
    • Surah Al-Mukminun: 82
  4. Membina kekuatan diri dari sudut jasmani mahupun rohani.
  5. Menambah ilmu dalam menjalankan proses kehidupan dan kematangan hidup serta ilmu pengetahuan am.
  6. Menjejaki sejarah penapakan Islam di tempat yang dilawati serta sejarah asal sesebuah negara atau tempat yang diziarahi.
    • Surah al-Hujurat: 13
  7. Melatih diri agar sentiasa bersyukur dan berzikir kepada Allah :
    • Surah Ibrahim: 7
    • Surah Ali Imran: 190-191
  8. Dapat menambah kenalan dan bergaul dengan pelbagai budaya dan bangsa.
  9. Mengajar dan melatih diri dalam beramal dengan ilmu yang dimiliki tentang ibadah-ibadah ketika bermusafir.

 

PERKARA PENTING KETIKA MUSAFIR

  1. Solat
    • Jaga wuduk
    • Bawa spray bottle atau botol air bagi memudahkan untuk mengambil wuduk. Perlu tahu syarat sah wuduk, kuantiti air, air mutlak bukan mustakmal dan sebagainya.
    • Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam solat ketika permusafiran ini ialah tempat solat dan kiblat. Solat pakai kasut adalah harus dalam keadaan tiada najis yang terzahir pada kasut tersebut.
    • Memahami berkenaan solat Jama’ Qasar dengan baik. Jika hendak Jama’ Taakhir, maka perlu niat sebegitu ketika dalam perjalanan.
  2. Aurat: Mengikut hukum syarak
  3. Istinjak
    • Antara sunnah Rasulullah apabila berjalan, Baginda akan menyediakan satu beg peralatan peribadi.
    • Sediakan perkara seperti botol air atau spray air, tisu, tisu basah, sanitizer dan lain-lain.
    • Haid: Tuala wanita itu perlu dibersihkan sebelum dibuang.
  4. Makanan halal
    • Elakkan makanan syubhah (jauhi daripada kedai-kedai yang menjual daging babi, pilihlah restoran Islam seperti restoran warga Turki, atau sekiranya tiada maka pilihlah kedai makanan-makanan vegetarian.
    • Sediakan bekalan makanan.

 

SUMBER:

  • Kertas kerja Safar Mar’ah (JAKSI PCA)

PENULIS:

Muhammad Faris Mahfuz bin Zakria

Sahabat JAKSI PCA 2017/2018

Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?