Marhaban Ya Ramadan

Marhaban Ya Ramadan

0

Ramadan tahun ini bakal menjengah lagi setelah menghilang setahun lama. Ramadan yang bakal menyinsing beberapa hari lagi menuntut umat Islam agar membuat persediaan awal dari segi mental dan rohani bagi mengharungi segala macam dugaan dan rintangan yang bakal dihadapi sepanjang menjalani ibadah puasa.

Adalah Baginda Nabi SAW ketika mana hendak menyambut bulan Ramadan telah bersabda:

قد جاءكم شهر رمضان شهر مبارك ، كتب الله عليكم صيامه ، فيه تفتح أبواب الجنة وتغلق فيه أبواب الجحيم ، وتغل فيه الشياطين ، فيه ليلةٌ خيرٌ من ألف شهر ، من حُرِمَ خيرها فقد حُرِم

“Telah datang kepadamu bulan Ramadan. Bulan nan penuh berkat. Allah mewajibkan atas kamu berpuasa di bulan ini. Pada bulan ini pintu-pintu syurga di buka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Di bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa tidak mendapatkan kebaikan di bulan ini, nescaya tidak ada kebaikan baginya”

Itulah hadis yang disabdakan Baginda Nabi SAW ketika masuknya bulan yang mulia ini untuk menggalakkan umatnya menambah amalan kerana dibuka padanya pintu syurga, digandakan baginya pahala setiap amalan serta ditutup akan pintu neraka.

Bulan Ramadan itu ibarat pohon yang bagus. Minggu–minggu sepanjang Ramadan itu adalah dahan-dahannya. Hari–hari dalam Ramadan itu adalah rantingnya. Detik-detik yang berlalu di dalamnya itu adalah pelepahnya. Jiwa-jiwa di dalamnya adalah benih-benih. Maka tanamlah akan benih-benih itu dan akan kamu dapati hasilnya di dunia dan di pintu ar-Rayyan, pintu khas bagi mereka yang gemar berpuasa. Ketahuilah, jika tinggi kualiti benih itu, maka lumayanlah hasilnya. Justeru tidak seharusnya kita bermalas-malasan di bulan mulia ini dengan sunyi daripada beribadat. Sesiapa yang tidak beroleh keuntungan di bulan ini, di bulan manakah lagi keuntungan bakal diperolehi?

Oleh itu, semestinya bagi seorang Muslim menyiapkan diri lebih awal untuk menyambut ketibaan bulan ini, bahkan terdapat sesetengah daripada kita yang sudahpun mula berpuasa seawal bulan Rejab.

Melakukan persediaan awal ini juga disarankan berdasarkan mafhum dari hadis Baginda Nabi SAW yang berbunyi:

“اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان”

“Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada Ramadan.”

Begitulah doa yang dibaca oleh Baginda Nabi SAW tatkala sudah menjelang bulan Rejab yang mafhumnya mahu mengajarkan kepada umat Islam supaya bersedia lebih awal dalam dua bulan yang berkat iaitu Rejab dan Syaaban sebelum ketibaan Ramadan. Bahkan di bulan mulia inilah para salafussoleh berdoa enam bulan sebelum Ramadan agar mereka diberi kesempatan mengecapi bulan Ramadan dan sesudah Ramadan mereka berdoa untuk enam bulan berikutnya agar diterima segala amalan mereka di bulan Ramadan.

Para salafussoleh tidak pernah menganggap bulan puasa ini sama dengan bulan-bulan lainnya. Bahkan di dalam hati mereka itu tersimpan suatu tempat yang khusus bagi bulan Ramadan ini sebagai tanda persediaan mereka melakukan amal.
Manakan tidak, di bulan inilah turunnya al-Quran, mukjizat yang teragung yang dianugerahkan kepada Nabi SAW yang agung dari zat yang Maha Agung.

Bulan ini jugalah bulan taubat dan penghapus dosa. Bulan di mana pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluasnya, dibelenggu segala syaitan dan bulan bagi mereka yang mengharapkan pembebasan diri dari azab neraka. Maka bagaimana mungkin tidak terdetik sedikitpun di dalam hati kita untuk beramal di
bulan mulia ini dengan segala bonus dan tawaran yang diberikan kepada kita? Begitulah yang difikirkan para salafussoleh sehingga mereka bersedia lebih awal untuk mengaut sebanyak mungkin bonus dan tawaran tersebut.

Ambillah sedikit nasihat sebagai persediaan untuk sama-sama kita amalkan bagi mencari kebaikan dan keredaan di bulan Ramadan.

“وذكر فان الذكر تنفع المؤمنين”

1. Hendaklah kita memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah memberikan peluang dan kesempatan kepada kita untuk menjalani ibadah dalam bulan Ramadan.

Firman Allah SWT:

“وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

(Surah Ibrahim: 7)

2. Hendaklah kita menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan hati yang gembira dan lapang.

Firman Allah SWT:

“قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
(Surah Yunus: 58)

3. Bertekad dan memasang azam yang tinggi untuk menyibukkan diri di bulan Ramadan dengan amal soleh.

4. Berusaha untuk mengulangkaji dan mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan puasa, adab semasa berpuasa supaya puasa kita lebih sempurna sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT dan semoga kita beroleh pahala darinya.

5. Menyucikan jiwa dengan cara berpuasa.

Firman Allah SWT:
“قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا”
(Surah as-Syams: 9)

6. Berlumba–berlumba dalam membuat kebaikan.

Firman Allah SWT:
“وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
(Surah ali Imran: 133)

7. Melatih lidah berkata perkara-perkara yang baik.

Sabda Nabi SAW:

” وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ”

8. Mengurangkan makan kerana inilah antara tujuan berpuasa. Kerana memenuhkan perut dengan makanan hanya menjadi asbab kepada malas dan letih.

Sabda Nabi SAW:

“ما ملأ ابن آدم وعاء شراً من بطنه، بحسب ابن آدم لقيمات يقمن صلبه، فإن كان لابد فاعلاً فثلث لطعامه وثلث لشرابه وثلث لنفسه”

Justeru, marilah sama–sama kita bermuhasabah dan berusaha untuk meningkatkan amal kita sebelum bermulanya Ramadan sebagai persediaan untuk menghadapinya, selain berusaha untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan niat semata-mata untuk mencapai reda Ilahi. Semoga kita semua beroleh berkat dalam beribadah dan dapat bertemu dengan Lailatul Qadar.

MOHD IQBAL BIN SABRI,
TAHUN 3 PERUBATAN,
UNIVERSITI AL-AZHAR KAHERAH MESIR.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?