“EFC GAMATKAN BAHANG PEPERIKSAAN”

“EFC GAMATKAN BAHANG PEPERIKSAAN”

0

Kaherah, 4 Mei 2017 – Bahang peperiksaan akhir tahun kian terasa dalam kalangan seluruh mahasiswa/wi di bumi anbiya’ ini, terutamanya warga PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA). Rentetan daripada itu, pihak pimpinan PERUBATAN telah melancarkan satu kempen, Exam Fever Campaign (EFC) yang dilihat sebagai satu inisiatif bagi menggalakkan para mahasiswa/wi untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun ini.

Menurut saudara Abdul Fattah bin Abdul Ghafar, Pengerusi PCA sesi 2017/2018, tujuan EFC ini dilancarkan adalah atas rasional untuk membantu ahli sepanjang fatrah imtihan, untuk menghidupkan suasana akademik dalam keluarga PCA, memberi kesedaran kepada ahli berkenaan kepentingan menuntut ilmu di samping menjaga kebajikan akademik setiap ahli.

“Untuk makluman semua, EFC telah diwujudkan setelah sekian lama oleh pihak PERUBATAN. Bahkan, sebelum tertubuhnya Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) lagi. Kempen ini telah diletakkan di bawah kendalian Biro Akademik PERUBATAN (BCAD) suatu ketika dahulu sehinggalah Jabatan Akademik PERUBATAN (JCAD) pada masa kini. Oleh itu, setiap cawangan mempunyai EFC dan pelaksanaan pengisian tertakluk di bawah kreativiti cawangan masing-masing di bawah pantauan JCAD. Hal ini bagi menepati ‘Misi Akademik’ yang telah sekian lama digariskan pada peringkat PERUBATAN sendiri”, tambah saudara Abdul Fattah lagi.

Dalam satu temubual yang lain, bersama saudara Abdul Mustaqim bin Mohd Khalil, Ketua Biro Akademik (BCAD), beliau berkata “EFC yang sedang berjalan ini membantu warga PCA untuk terus belajar dengan menghidupkan suasana akademik yang berkesan dalam komuniti PCA melalui medium HAMKA Corner, poster dan kalam taujihad di media massa, serta membantu ahli dalam menyiapkan diri menuju peperiksaan akhir tahun seperti STARGATE, SC Mock Exam dan penyediaan soalan-soalan tahun lepas.”

“Saya berpendapat bahawa kempen ini sangat baik dalam menggalakkan ahli PCA untuk lebih giat belajar kerana ia mencipta satu suasana atau bi’ah yang berfokus pada akademik dan pembelajaran”, ujar saudara Muhammad Firdaus bin Mohd Nor, salah seorang wakil daripada mahasiswa Tahun Empat Kuliah Perubatan Universiti al-Azhar.

Disediakan oleh,
Muhammad Arifuddin bin Syahril,
Tahun Satu Pergigian.

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?