ADA APA DENGAN BIRO EKONOMI?

ADA APA DENGAN BIRO EKONOMI?

0

Jika kita menyingkap sejarah Islam 1438 Hijrah yang lalu, saat sebelum Baginda Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, Baginda SAW diberikan kepercayaan oleh Saidatina Khadijah untuk membawa barang dagangannya untuk berniaga ke Syams bersama Maisarah. Malah ada hadis yang menyebut perniagaan ialah sunnah dan perniagaan itu merupakan salah satu pintu mencari rezeki.

Dalam syarah usul 20, bab pertama lagi sudah menekankan cara Islam berperanan sebagai satu sistem yang menyeluruh, mengandungi semua aspek kehidupan termasuk bab kebendaan dan kekayaan di mana Islam menitikberatkan tentang pentadbiran harta benda dan cara untuk mendapatkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik harta yang baik adalah bagi orang yang soleh.” (Riwayat Ahmad).

Allah SWT telah berfirman secara jelas dan terus melalui al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang juga merupakan dalil pensyariatan jual beli yang bermaksud,  “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Dalam hadis riwayat Muslim juga ada menyebut, “Jika emas dijual dengan emas, perak dijual dengan perak, gandum dengan gandum, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam, maka jumlah (timbangan) harus sama dan dibayar tunai. Jika jenis barang tadi berbeza maka silakan engkau menukarkan sesukamu, namun harus dilakukan secara tunai.” (HR Muslim no. 1587)

Antara hikmah yang terkandung dalam pensyariatan jual beli ialah ia sebagai cara untuk mencapai suatu keinginan yang diharapkan manusia. Keperluan manusia terhadap sesuatu yang dimiliki oleh orang lain, maka manusia boleh melakukan transaksi untuk memilikinya tanpa melanggar batasan syariat.

Allah SWT juga telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 198, “Tidak ada dosa bagimu mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu.”

Selain itu, dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud, “Apabila kamu bermuamalah (seperti berjual beli, berhutang piutang atau menyewa dan sebagainya) tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya.”

Hatta sehingga bab berhutang pun, Islam menetapkan agar kita mencatat setiap hutang dalam proses jual beli yang dilakukan.

Tambahan pula, dalam Maqasid Syariah sendiri meletakkan harta sebagai salah satu antara 5 perkara terpenting yang perlu dijaga oleh setiap individu Muslim. Islam sangat menitikberatkan cara pengelolaan pemilikan harta yang dimiliki oleh seorang individu iaitu melalui pembelanjaan harta dan pengembangan harta. Dari sudut pembelanjaan harta, harta yang harus dimanfaatkan untuk nafkah wajib ialah seperti nafkah keluarga, pembahagian harta warisan, infak fi sabilillah, membayar zakat, dan lain-lain. Terdapat juga nafkah sunnah seperti sedekah dan memberi hadiah. Harta tersebut mestilah tidak dibelanjakan untuk membeli barang-barang yang haram seperti minuman keras dan lain-lain.

Manakala dari sudut pengembangan harta yakni bagi mengembangkan jumlah harta yang dimiliki, Islam sendiri telah memberikan cara yang sah dengan jual beli, mudharabah, kerjasama dalam bidang pertanian, perindustrian mahupun perdagangan. Hatta, Islam sendiri melarang pengembangan harta yang terlarang seperti aktiviti riba, judi, rasuah, kegiatan monopoli dan sebagainya. Maka dengan prinsip ekonomi Islam ini, Biro Ekonomi tidak seharusnya hanya sekadar menjual beli barangan untuk mencari keuntungan, bahkan tetap juga menekankan prinsip ekonomi Islam yang digariskan Islam sejajar dengan visi dan misi PERUBATAN yang mengangkat al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan.

Perniagaan dan jual beli yang sebenar ialah perniagaan yang berlandaskan ajaran Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 29, maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kalian.”

Setiap hasil keuntungan yang diperolehi oleh BIKON akan kembali disalurkan kepada program-program yang bakal dijalankan oleh PCA. Program-program tersebut ialah program yang dirancang dan dilaksanakan seluruhnya untuk kebaikan dan kebajikan ahli sendiri. Besar harapan kami, BIKON sesi 2017/2018 agar mendapat kerjasama daripada barisan pimpinan serta ahli dalam menyokong setiap jualan yang dilaksanakan di samping memasang niat agar setiap  wang yang disalurkan tersebut kembali menjadi saham akhirat yang mengalir secara berterusan. Akhir kalam, semoga dalam fasa kita menuntut ilmu sains kesihatan di bumi barakah ini, sama-sama kita cuba laksanakan tanggungjawab kita sebagai dai’e, abid dan khalifah dengan sebaiknya melalui penerapan setiap aspek kehidupan dari kesyumulan Islam itu sendiri.

Allah SWT telah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan memasukkan kamu  ke tempat yang lebih baik di dalam syurga. Itulah keberuntungan yang besar.” (61: 10-12)

Seeru ala Barakatillah. Bekerja untuk PERUBATAN, Bekerja untuk ISLAM!

SAADAH

NURUS SAADAH BT AHAMAD SUHIM

TAHUN 2 PERUBATAN

TIMBALAN KETUA BIRO EKONOMI

PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR 2017/2018

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?