TIP TOP ORGANISATION

TIP TOP ORGANISATION

0

Dalam surah as-Saff ayat 4, Allah SWT ada berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

“Sesungguhnya  Allah menyukai orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan   yang tersusun kukuh.”

 

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, dapat kita fahami peri pentingnya nilai profesionalisme seperti yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW perlu ada dalam diri kita. Antara nilai Islam yang membantu untuk membina aspek profesionalisme dalam diri adalah dengan bersikap positif dan berfikiran positif. Daripada terus melayan masalah yang melanda, seseorang itu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi seterusnya menghasilkan manusia yang tidak kenal erti putus asa saat ditimpa kegagalan. Selain itu, disiplin dalam waktu juga antara nilai yang kebanyakan antara kita tidak mampu menjaganya dengan baik. Allah SWT sendiri telah mengkhususkan surah al-Asr untuk menyatakan kepentingan waktu buat orang beriman.

Nabi Muhammad SAW merupakan seorang manusia yang sempurna ciri akhlaknya. Baginda SAW merupakan contoh terbaik sebagai rujukan setiap daripada kita dalam melahirkan sebuah organisasi yang hebat dalam segenap aspek sejajar dengan ucapan dasar Presiden PERUBATAN sesi 2017/2018 yakni Wawasan Professional Muslim Kelas Pertama.

Firman Allah SWT (al-Ahzab 33: 21) yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, dapat dirumuskan bahawa Nabi Muhammad SAW penuh dengan sifat yang baik dan terpuji. Akhlak Baginda SAW yang mulia meliputi integriti, kejujuran dan amanah. Sifat jujur dan integriti sangat sebati dalam diri Baginda SAW dan diperakui ramai sehingga diberi gelaran al-Amin. Selain itu, Baginda SAW juga mempunyai sifat rendah diri yang sangat tinggi. Baginda SAW menolak sanjungan dan sentiasa mahu berdamping dengan pengikutnya tanpa sebarang perbezaan darjat. Satu contoh yang diriwayatkan oleh al-Thabari dalam kitabnya mengenai kisah sebuah perjalanan jauh Nabi SAW bersama para sahabat, ketika para sahabat telah menawarkan diri secara sukarela untuk mencari kayu api bagi kegunaan bersama. Namun Baginda SAW menjawab dengan berkata “… saya tidak suka ada perbezaan antara saya dan kalian, dalam bekerja, kerana Allah tidak menyukai hamba yang berbeza dengan kawan-kawannya” (Muh. Alwy 2002).

Kita sebagai seorang mukmin perlulah sentiasa mengambil ibrah daripada sejarah-sejarah Islam. “Those who not learn from the history, they’re condemned to repeat it”

Penerapan konsep ‘Tip Top Organisation’  dalam diri mahasiswa/i adalah begitu penting bagi melahirkan mahasiswa/i yang cemerlang dalam apa jua jurusan yang diambil sama ada perubatan mahupun pergigian. Mahasiswa/i akan bertindak lebih cakna dan terkehadapan dalam segenap aspek terutamanya akademik serta sahsiah diri kerana telah mempunyai keazaman yang tinggi dan lebih tekun dalam menuntut ilmu hasil penerapan konsep ‘Tip Top Organisation’  seterusnya menatijahkan kejayaan yang selama ini diimpikan untuk menjadi profesional mukmin sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.

EJAT (2)

MUHAMMAD AIZZAT AL-RAZIQ BIN ROSDAN

TAHUN 2 PERUBATAN

KETUA BIRO EKONOMI

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?