BIRO SUKAN DAN AKTIVITI LUAR PCA 2017/2018

BIRO SUKAN DAN AKTIVITI LUAR PCA 2017/2018

0

Biro Sukan dan Aktiviti Luar ataupun nama manjanya ‘BSAL’, merupakan salah satu biro yang terdapat dalam organisasi PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA). Biro ini bergerak dengan proaktif untuk membangunkan budaya bersukan dalam komuniti ahli PCA serta memupuk semangat kesatuan antara mahasiswa sains kesihatan di Mesir melalui sukan dan aktiviti luar. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda “Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada orang Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim).

Melalui pemahaman terhadap hadis yang mulia ini, Islam menggalakkan kita supaya menitikberatkan pendidikan jasmani yang sihat selain menekankan aspek spiritual dan moral. Perkara ini penting dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Professional Muslim Kelas Pertama seperti yang digagaskan dalam Ucapan Dasar Presiden PERUBATAN 2017/2018, saudara Ahmad Shahir bin Ahmad Jalaluddin.

Oleh itu, sebelum kita mengenal secara mendalam mengenai BSAL, marilah kita kenali wajah-wajah yang pernah menerajui BSAL sama ada sebagai ketua mahupun timbalan. Saban sesi, wajah-wajah inilah yang telah memerah idea dan keringat dalam usaha memenuhi keperluan ahli melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang berlandaskan syariat.

BSAL sesi 2013/2014:
Hardy Ameen Al Mustaquim bin Suhadirman

Widatul ‘Adilah binti Hassan Din

BSAL sesi 2014/2015:
Mohd Hamdi bin Razali

Syamimie ‘Izzatie binti Mohamed Khalid

BSAL sesi 2015/2016:
Mohammad Eqbal Faiz bin Mohamad Suhimin

Nor A’in Amaliya binti Norazmisam

BSAL sesi 2016/2017:
Ahmad Iqbal Hasif bin Kamaruddin

Nur Syazwani binti Shamsuddin

BSAL sesi 2017/2018:
Ahmad Iqbal Hasif bin Kamaruddin

Nurin Jazlina binti Mohd Ismail

BSAL ini digerakkan oleh lima paksi utama yang membantu dan melancarkan segala gerak kerja dan sistem yang dijalankan oleh BSAL sepanjang tahun. Antaranya ialah Unit Kelab yang berfungsi menyelaraskan dan membantu pembangunan kelab-kelab sukan yang sudah sedia ada di bawah BSAL seperti Kelab Badminton dan Kelab Bola Tampar bagi mahasiwa serta Kelab Bola Jaring dan Kelab Ping Pong bagi mahasiswi.

Selain itu, BSAL juga mempunyai 2 kumpulan yang berunsurkan kesenian dan kebudayaan Islam. Qasidah yang dialunkan ‘Maddahul Habib’ sering menjadi halwa telinga dalam kelas-kelas tafaqquh serta program-program lain. Selain kumpulan Qasidah ini, BSAL juga memantau dan menguruskan kumpulan nasyid yang tidak asing lagi dalam komuniti PCA iaitu “Voice of Syifa” (V.O.S). Kumpulan ini sering dijemput untuk mengadakan persembahan dalam program-program PERUBATAN mahupun program-program di peringkat BKAN. Tambahan itu, BSAL juga mempunyai Setiausaha dan Bendahari, Unit Pengangkutan dan Perkhidmatan, Unit Aset dan Promosi serta Unit Rehlah dan Kejohanan.

Banyak hadis menyebut mengenai sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang. Hal ini menunjukkan Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya untuk menguasai tiga sukan ini. Oleh itu, BSAL telah menyahut seruan ini dengan menganjurkan aktiviti pengenalan sukan memanah pada tahun 2017, aktiviti berenang pada tahun 2016 dan sukan berkuda di Qanatir dengan kerjasama Mentor Council (MC) pada tahun 2015.

Sukan merupakan medan yang luas dan wasilah terbaik untuk berdakwah. Islam telah meletakkan beberapa garis panduan bertujuan menjaga adab supaya umatnya tidak keterlaluan dalam bersukan.

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampui batas.” (Surah al-Maidah: 87)

Antara panduan yang baik untuk seorang muslim dalam bersukan adalah:-

1. Seorang muslim tidak seharusnya lalai bersukan sehingga mengabaikan tugas agama dan lain-lain

2. Seorang muslim tidak dibenarkan menggunakan kata-kata kesat atapun memaki hamun terhadap orang lain, menunjukkan perbuatan yang buruk serta melakukan fitnah dalam bersukan.

3. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan percampuran kedua-dua jantina kerana membuka ruang kepada hawa nafsu, syahwat serta keruntuhan akhlak.

4. Elakkan pergaduhan, menunjukkan semangat kesukanan serta bekerjasama dalam satu pasukan.

5. Menjaga adab-adab sebagai orang islam seperti menutup aurat dengan sempurna ketika bersukan, berhenti ketika bermain dengan tujuan untuk menghormati waktu solat, membaca doa sebelum bersukan dan lain-lain.

Sebagai kesimpulan, BSAL sentiasa kehadapan dalam menambahkan thaqafah islam dan mengasah bakat ahli PERUBATAN untuk membentuk modal insan yang cemerlang melalui pemerkasaan segala gerak kerja dan aktiviti berbentuk sukan serta aktiviti di luar waktu kuliah. BSAL juga berusaha menyedia platform serta meraikan minat ahli dalam usaha melahirkan muslim professional kelas pertama yang sejahtera rohaninya dan perkasa jasmaninya.

Disediakan oleh:

kibe (2)
Ahmad Iqbal Hasif bin Kamaruddin
Ketua Biro Sukan & Aktiviti Luar, PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?