BAHANA FAKE BRACES, BUKAN CANTIK TAPI CARI PENYAKIT

BAHANA FAKE BRACES, BUKAN CANTIK TAPI CARI PENYAKIT

0

Apakah itu Fake Braces?
Fake Braces ialah pendakap gigi palsu yang dipasang pada gigi. Ia kelihatan sama seperti pendakap gigi sebenar, namun pendakap gigi palsu tidak memberi fungsi sepenuhnya seperti pendakap gigi sebenar.

Siapakah yang selalu memakai Fake Braces?
Golongan remaja.

Mengapakah golongan remaja berminat untuk memakai Fake Braces?
Antara sebab utama adalah disebabkan kos pemasangan braces yang agak mahal dan mencecah ribuan ringgit menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk memilih fake braces. Berbeza dengan fake braces yang dikatakan harganya lebih murah kerana terdapat penjimatan dari segi fasiliti (yang tidak sempurna), tiada khidmat doktor gigi berpengalaman dan lain-lain lagi.

Seterusnya, golongan remaja juga berminat untuk memakai fake braces kerana ingin mengikut trend fesyen semasa, permukaan gigi dihiasi getah pendakap gigi dalam pelbagai reka bentuk seperti; bunga, bintang, karakter kartun dan sebagainya.

Di manakah Fake Braces boleh didapati?
Kebiasaannya ia mudah didapati melalui atas talian (online) seperti Instagram, Facebook dan Twitter. Selain itu, sebahagiannya dijual secara haram di salun-salun kecantikan dan pasar gelap.
Kos fake braces dianggarkan dalam lingkungan RM90 – RM150, lebih murah berbanding pendakap gigi sebenar.

Bagaimanakah Fake Braces ini dipasang?
Terdapat beberapa cara: Pemakai itu sendiri memasang melalui tutorial di youtube atau melalui manual yang diberikan. Selain itu, terdapat juga khidmat memasang di hotel, salun-salun kecantikan atau dari rumah ke rumah.

Hal ini berbeza daripada rawatan pendakap gigi sebenar, di mana orthodontist yang sudah berpengalaman dan diiktiraf akan memasang pendakap gigi tersebut. Tambahan pula, orthodontist juga akan memberi khidmat nasihat cara penjagaan pendakap gigi yang betul selepas pemasangan.

Adakah Fake Braces berbahaya?
Ya, sudah tentu. Hal ini kerana komponen fake braces tidak dapat dijamin keselamatannya dari segi kesihatan atau tidak.

Terdapat kajian juga menyatakan, kandungan plumbum yang tinggi dalam besi yang digunakan akan menyebabkan masalah kesihatan sedangkan pendakap gigi sebenar diperbuat daripada keluli tahan karat. Bukan itu sahaja, logam yang digunakan sebagai ‘pengikat’ gigi juga sebenarnya mampu membuat gigi si pemakai reput dan rosak kerana ia menggunakan bahan yang tidak berkualiti.

Apakah kesan Fake Braces terhadap gigi si pemakai?
Kalau anda hendak tahu, walaupun ia hanya pendakap gigi palsu tetapi cara pemakaiannya tetap sukar dan menyakitkan kerana ia mencengkam gigi si pemakai.

Justeru, ia merisikokan kedudukan gigi kerana cengkamannya mungkin berada di kedudukan yang tidak sepatutnya dan akan menolak gigi yang normal untuk beralih ke kedudukan lain.

Di samping itu, kesan gam yang digunakan untuk memasang komponen pendakap gigi palsu juga akan menyebabkan permukaan gigi terhakis. Selain itu, karies gigi dan gusi berdarah juga akan berlaku kerana tiada penjelasan bagaimana untuk menjaga gigi selepas pemasangan.

Seperkara lagi terdapat juga laporan menyatakan seorang gadis di Thailand mengalami jangkitan thyroid seterusnya menyebabkan kegagalan jantung untuk berfungsi.

Bertitik tolak daripada hal ini dalam satu program diskusi tentang trend pemakaian fake braces dalam kalangan remaja Asia di Thailand, pengacaranya memaklumkan dua orang remaja telah menemui ajal (setakat 2013) akibat tertelan pendakap gigi tersebut ketika sedang tidur.

Lanjutan daripada kes di atas, kerajaan Thailand telah mengetatkan undang-undang dalam menangani isu fake braces dengan mengenakan denda bayaran bagi sesiapa yang menjual serta 12 bulan penjara bagi individu yang mengimport masuk fake braces ini.

Apakah yang Harus Saya Lakukan Sekiranya Saya Sudahpun Memakai Fake Braces?
Segeralah pergi ke klinik ortodontik untuk menanggalkan fake braces. Pemeriksaan penuh akan dilakukan oleh orthodontist untuk memastikan tiada kerosakan pada gigi. Rawatan selanjutnya akan diberikan oleh orthodontist dan dentist.

Kesimpulan
Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa fake braces lebih mendatangkan banyak keburukan berbanding keinginan untuk mencapai kecantikan yang hanya bertahan sementara. Jadilah pengguna yang bijak sementelah penerangan telah pun diberikan, fake braces atau real braces?
Kini pilihan terletak di tangan anda.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/en/fake-braces-2/

NURUL AWATIF DEENA BT MOHAMAD FADZLI
GRADUANITA KULIAH PERGIGIAN

ARTIKEL BERKAITAN

0

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?