Ucapan Dasar Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018

Ucapan Dasar Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018

0

10151644_10202522242929822_352867193_n-e1429293070334

Ucapan Dasar Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018

 

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الاسلام , وفضلنا على كثير من الأمم. والصلاة والسلام على
سيدنا محمد نبي الرحمات, وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات .

أما بعد

 

  1. Yang Berbahagia wakil Majlis Tertinggi PERUBATAN, ahli-ahli Lembaga Penasihat, Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN (AJKT) Cawangan al-Azhar, Yang Berusaha Pengarah Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PERUBATAN Cawangan al-Azhar kali keempat, Jawatankuasa Pelaksana Mesyuarat Tahunan Cawangan, seluruh perwakilan dan pemerhati, sahabat perjuangan, saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian.
  1. Marilah di kesempatan ini kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang akan menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT. Marilah kita menginsafi kebesaran kuasa Allah Yang Maha Gagah, Maha Besar, dengan kita menghayati firman Allah SWT:

“1) Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 2) Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [al-Mulk : 1-2]

  1. Syukur juga kita panjatkan kerana dengan izin-Nya dapat kita berkumpul di dalam dewan ini untuk mendidik diri melalui wasilah musyawarah Sama-sama kita berdoa agar diri kita semua ditempatkan dalam golongan yang telah disebutkan oleh Allah SWT sebagai “وقليل من عبادي الشكور”.

Reda Ilahi bukanlah angan-angan,
Dicari bersama sahabat sejati,
Selamat datang ke Mesyuarat Tahunan Cawangan,
Moga menjadi amal diberkati.

  1. PERUBATAN Cawangan al-Azhar dengan penuh rasa mahabbah dan ukhuwah ingin mengucapkan ahlan wasahlan wa marhaban bikum dan selamat bermesyuarat kepada rakan-rakan seperjuangan, semua perwakilan dan para tetamu yang hadir. Sesungguhnya kehadiran saudara dan saudari sekalian amat penting dalam mencorak perjalanan PERUBATAN Cawangan al-Azhar pada sesi ini.

Para perwakilan yang dirahmati Allah SWT sekalian,

REALITI PROFESION SAINS KESIHATAN PADA HARI INI

  1. Rasulullah SAW telah memberikan inspirasi kepada seluruh umat Baginda menerusi sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (baik, sempurna dan teliti)” (Riwayat al-Baihaqi)

  1. Dalam menongkah arus kehidupan moden, pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi. Profesion sains kesihatan juga tidak terlepas daripada rintangan yang tersendiri. Dunia pada hari ini menuntut graduan daripada pelbagai bidang untuk mahir dalam bidang yang diceburi serta sentiasa memberi saingan di antara satu sama lain. Satu perkara yang tidak dapat digambarkan oleh akal fikiran apabila kita menuntut sesuatu perkara yang istimewa dengan hanya berbekalkan ilmu dan kemahiran yang sederhana.
  1. Bajet 2017 yang telah dibentang oleh Yang Amat Behormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Razak pada 21 Oktober 2016 yang lalu, telah menetapkan bahawa kerajaan bersetuju memutuskan untuk melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya 2 Disember 2016. Di samping itu juga, lambakan doktor yang masih tidak mendapat penempatan housemanship di mana-mana hospital, kini boleh menjalani housemanship secara kontrak.
  1. Perkembangan ini secara tidak langsung menuntut semua mahasiswa sains kesihatan untuk menuntut ilmu dengan sebaik mungkin. Pada masa yang sama, segala amalan yang dilakukan perlulah selari dengan konsep ihsan dan itqan. Hal ini kerana kedua-dua konsep ini menjamin keberhasilan yang maksimum seterusnya melahirkan graduan mahasiswa sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten .
  1. Sesungguhnya Buya Hamka ada menyebut:

“Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja”.

PEMBAWAAN PCA  

  1. Sejarah yang telah diukir rapi dalam memori menjadi saksi agung terhadap usaha generasi terdahulu bagi menjaga komuniti yang kita sayangi ini. Jerit payah kita bersama mengharungi suka duka dalam bahtera bahagia ini menatijahkan ikatan sinergi di antara ahli pergigian dan perubatan yang kian kuat, serta jurang senior dan junior yang kiat erat.
  1. Alhamdulillah, kini PCA telah mula memasuki fasa separuh dekad penubuhannya. Pelbagai cubaan yang menanti sepanjang pelayaran kita bersama menuju destinati abadi.

Setelah menekankan tema “Golden PCA: Our Inspiration” sepanjang sesi yang lalu, kini PCA mengorak selangkah ke hadapan dengan mengemukakan tema yang baharu iaitu “PCA: Stronger As One”.

  1. Berkesinambungan dengan Slogan ‘Kita Keluarga PCA’ yang telah diperkenalkan secara kolektif pada sesi lalu, tema “PCA: Stronger As One” dilihat mampu untuk memberi inspirasi kepada ahli agar saling menguatkan antara satu sama lain baik dari aspek kehidupan, pembelajaran dan banyak lagi.
  1. Selain itu, Tema ini diketengahkan sebagai satu natijah nilai kebersamaan dalam keluarga besar kita ini. Nilai kebersamaan ini merupakan satu nilai utama yang memberikan gambaran bahawa sesungguhnya PCA ini hak milik kita semua.

Hasrat kita untuk mencapai matlamat ini dapat direalisasikan sekiranya wujud kerjasama serta  kebersamaan antara pimpinan dan ahli dalam segenap aspek.

  1. Bagi merealisasikan tema yang baharu ini, maka 2 aspek utama yang bakal dibawa sepanjang sesi 2017/2018 perlu sama-sama kita jayakan:
  • Komuniti mesra akademik: Medan pembinaan mahasiswa kompeten
  • Pembangunan modal insan: Usaha ke arah iklim yang sihat dan harmoni

Warga PCA yang saya sayangi sekalian,

PEMBAWAAN 1: KOMUNITI MESRA AKADEMIK: MEDAN PEMBINAAN MAHASISWA KOMPETEN

  1. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dalam surah az-Zumar, ayat 9:

“9) Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung atau orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakal lah yang dapat menerima pelajaran”. [az-Zumar: 9]

  1. Elemen akademik sememangnya tidak pernah lari daripada menjadi agenda utama setiap tahun. Hasil analisa peratusan pencapaian akademik yang telah dilaksanakan oleh Biro Akademik sesi 2016/2017, telah memberikan satu gambaran yang merisaukan. Perbandingan pencapaian akademik pada tahun 2016 dan tahun 2015 telah menunjukkan penurunan sebanyak 3% bagi pangkat Lebih membimbangkan apabila kadar peratusan pangkat Rosib meningkat sehingga mencecah 5.84%.
  1. Bertitik tolak daripada situasi ini, semua warga PCA haruslah memberikan sepenuh komitmen dalam segala aktiviti yang telah disusun oleh Biro Akademik. Diharapkan dengan usaha ini dapat meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab kita di sini seterusnya memberikan kejayaan yang selama ini kita impikan.
  1. Sesungguhnya al-Azhar mempunyai keunikan tersendiri berbanding universiti-universiti lain di seluruh Mesir. Persis dengan namanya, al-Azhar. Antara keistimewaanya ialah penerapan subjek pengajian Islam serta al-Quran. Perkara ini menjadikan mahasiswa al-Azhar mempunyai nilai tambah; seimbang dalam bidang duniawi dan ukhrawi.
  1. Dalam usaha melatih ahli PCA supaya memanfaatkan perkara ini, maka keseimbangan dalam menguasai ilmu sains kesihatan serta ilmu fardu ‘ain perlulah digarap dengan sebaiknya. Medium-medium yang utama seperti Madrasah Imam Syafie, Taalim Muaalim, dan Smart Circle perlulah diadakan pengisian fardu ‘ain yang membina jati diri berlandaskan iman, islam dan ihsan (Aqidah, Fikah dan Akhlak).
  1. Di samping itu juga, rentetan daripada kempen pembudayaan ilmu yang telah dijadikan fokus pada sesi lalu, saya menyeru kepada semua warga PCA untuk terus memberikan komitmen sewajarnya dalam segala aktiviti yang menambahkan ilmu pengetahuan, terutamanya ‘core bussiness’ kita di sini. Hal ini termasuklah siri-siri pembentangan akademik dalam mesyuarat, program dan aktiviti yang dianjurkan, pendedahan berkenaan isu semasa serta perkongsian WILDMedic WILDDentist melalui media baharu.
  1. Program Professional Academic Day yang selama ini menjadi tunjang kepada pendedahan budaya akademik haruslah diteruskan dengan beberapa penambahbaikan. Penyusunan silibus perlulah selari dengan kehendak semasa di samping pengisi juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mahir dalam bidang tersebut.
  1. Selain daripada itu, bahasa merupakan alat yang cukup penting dalam medan penyampaian ilmu. Di sini al-Quran mengiktiraf peranan bahasa kaum ibunda masing-masing dalam dunia ilmu. Allah berfirman:

4) Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. [Ibrahim : 4]

  1. Selain bahasa ibunda yang menjadi wahana komunikasi sesama kita, kemahiran berbahasa Inggeris serta Arab juga perlu diterapkan dalam jiwa kita semua. Perkara ini selari dengan realiti semasa yang meletakkan kedua-dua bahasa ini sebagai bahasa antarabangsa. Oleh itu, karyaa-karya penulisan di laman rasmi PCA perlulah dimeriahkan dengan aneka Bahasa, terutamanya kedua-dua bahasa ini.
  1. Dari sudut kemahiran klinikal pula, kita masih belum terdedah sepenuhnya dengan aplikasi sebenar ilmu perubatan atas pelbagai faktor termasuklah realiti orientasi sistem pendidikan di fakulti. Situasi ini memaksa kita untuk berusaha dengan lebih keras agar kita mampu berdiri setanding dengan ribuan graduan lain di seluruh dunia. Lantaran itu, penubuhan Health Academy adalah inisiatif bagi membantu menangani permasalahan ini. Health Academy perlulah memainkan peranannya dalam agenda membangunkan ahli sebagai mahasiswa sains kesihatan yang benar-benar menguasai kemahiran klinikal dan praktikal.
  1. Namun demikian, Health Academy yang menaungi al-Azhar Medical Team dan al-Azhar Dental Team tidak lagi relevan dalam menampung keperluan semasa ahli sekiranya, kita selaku anggota keluarga PCA tidak bersama-sama berganding bahu menggalas aspirasi ini. Siri-siri temuduga, penganjuran Small Group Discussion yang konsisten serta pelaksanaan aktiviti khidmat masyarakat seharusnya menjadi rutin dalam garis masa kehidupan kita selama menjadi mahasiswa di sini.
  1. Selain daripada usaha-usaha yang dilakukan di peringkat pimpinan, usaha secara individu perlu juga dilaksanakan sebagai satu tindakbalas bersama terhadap kepentingan akademik itu sendiri. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua warga PCA untuk sama-sama kita memanfaatkan masa yang dianugerahkan Allah SWT dengan penerapan kempen ‘Silent Hour’. Luangkan masa sekurang-kurangnya sejam bagi melakukan diskusi dan pembentangan bagi subjek akademik.
  1. Dalam usaha pemantapan akademik ahli juga, pihak kepimpinan PCA mewakili suara ahli, optimis untuk meneruskan hubungan erat dengan pihak universiti yang selama ini telah pun dijalinkan dengan begitu baik sekali. Usaha ini dijalankan bagi memastikan interaksi dua hala antara kedua-dua pihak dalam proses timbal tara (check and balance) dapat berlangsung dari semasa ke semasa.
  1. Alhamdulillah, pada sesi lalu beberapa respon positif yang telah diberikan peringkat universiti atas segala perkara yang telah dibangkitkan. Hal ini termasuklah isu fasiliti di bilik kuliah, isu tasdik dan isu keputusan peperiksaan.
  1. Sebagai usaha membalas jasa baik pihak universiti, maka ahli keluarga PCA perlulah turut berkerjasama dengan mengamalkan budaya belajar yang sepatutnya. Elakkanlah gejala negatif seperti tidak ponteng kuliah dan tidak meniru dalam peperiksaan. Peliharalah  adab dengan guru serta imej kita sebagai mahasiswa Azhari.
  1. Maka, marilah kita bersama-sama menggalas aspirasi untuk menjadi doktor muslim yang berwibawa dan mampu bersaing di arena antarabangsa dengan menerapkan jiwa mesra akademik dalam diri.

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

PEMBAWAAN 2: PEMBANGUNAN MODAL INSAN:  USAHA KE ARAH IKLIM YANG SIHAT DAN HARMONI

  1. Islam telah menetapkan acuan pembangunan Islam dengan ilmu secara jelas melalui ayat
    yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah SAW. Firman Allah:

“(1) Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan-Nya) seadil-adil Hakim? (2) Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (3) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (4) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (5) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan”. [al-‘Alaq : 1-5]

  1. Satu perkara yang menarik tatkala Allah SWT telah menjadikan manusia akhir zaman yang menyampaikan Islam ini muncul daripada kawasan yang kering kontang, hanya dikelilingi padang pasir. Kemudian, insan istimewa ini dibekalkan dengan al-Quran untuk mencorak modal insan yang mampu memberi sinar Islam ke seluruh muka bumi Allah SWT ini.
  1. Perkara ini lebih menakjubkan apabila umat Islam yang dididik oleh Rasulullah SAW ini mampu mengalahkan kerajaan kecil mahupun besar yang mengepung mereka dari segi geografi. Kejayaan ini termasuklah menewaskan serta menguasai empayar-empayar agung yang memiliki kekayaan dari segi sumber alam serta kebendaan. Ternyata, acuan didikan yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah ini telah berjaya mendirikan tamadun Islam yang cukup indah.
  1. Dalam usaha menuruti sunnah perjuangan Baginda SAW, maka PCA pada sesi ini berhasrat menekankan pembinaan modal insan yang seimbang dari segi akhlak dan budi bicara. Rasulullah SAW bersabda:

“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya”. (Riwayat Tirmizi)

  1. Hasrat PCA untuk melahirkan individu-individu yang taat dan patuh kepada Allah SWT bukanlah suatu perkara yang mudah. Proses pembentukan modal insan ini memerlukan tempoh masa yang lama dan menuntut kesabaran dan mujahadah yang tinggi.
  1. Selaku penggerak jantung tarbiah, maka Mentor Council perlulah mengambil peranan sebagai sebagai wasilah mendidik ahli mengenal Tuhan. Pelaksanaan Smart Circle yang dijalankan selama ini perlu ditingkatkan keberkesanannya sama ada melalui aktiviti mahupun pengisian terutamanya di peringkat senior.
  1. Medium Smart Circle perlu bergerak pantas dalam membicarakan perkara-perkara berkenaan teras agama (Akidah, Fikah, Akhlak) bersandarkan kepada sumber-sumber yang disepakati. Kupasan manhaj dan isu-isu semasa juga tidak boleh dilupakan sebagai satu latihan melahirkan mahasiswa yang cakna tentang persekitaran sekeliling. Semua perkara ini dijalankan sesuai dengan tahap mentaliti ahli. Pepatah Arab ada menyebut:

Setiap tahap/peringkat itu, mempunyai cara percakapan dan penyampaian tersendiri”

  1. Selain itu, perubahan landskap komuniti kita pada hari ini telah memberikan gambaran yang merisaukan. Aktiviti yang kurang sopan kian jelas dipertontonkan di khalayak ramai tanpa rasa segan silu. Isu-isu keselamatan seperti rompakan, pecah masuk rumah dan gangguan seksual juga sering kedengaran mutakhir ini.
  1. Oleh itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) perlu bertindak tegas bagi menangani masalah-masalah ini. Medium penerangan berkenaan tugas dan etika JAKSI tidak hanya terbatas dalam skala tertentu sahaja, bahkan mencakupi seluruh komuniti PCA. Penubuhan ‘Sahabat JAKSI’ juga memainkan peranan yang besar dalam menyampaikan dakwah Islam dalam keluarga besar kita ini.
  1. Unit Bait Muslim (UBM) juga tidak boleh dipinggirkan tanggungjawabnya. Segala urusan berkaitan masalah sosial harus dikendalikan sebaiknya melalui jalinan integrasi UBM dan JAKSI. Nasihat dan pesanan kepada mereka yang berkenaan disampaikan melalui medium yang harmoni.
  1. Semua perkara yang disebutkan sebentar tadi, tidak akan berjaya sekiranya pimpinan dan badan berkenaan hanya bertepuk sebelah tangan semata-mata. Usaha ini memerlukan kerjasama yang baik daripada seluruh warga PCA. Penyampaian aduan dan maklumat sentiasa terbuka untuk mereka yang menyampaikan segala maklumat yang dirasakan perlu.
  1. Sama-sama kita mendidik diri kita seperti acuan yang telah ditunjukkan oleh junjungan Baginda SAW. Hal ini penting bagi memelihara khilafah kecil kita daripada suasana dan iklim yang tidak sihat dan harmoni.

Firman Allah SAW:

71) Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada berbuat kejahatan” [al-Baqarah: 71]

Sidang perwakilan ahli keluarga PCA sekalian,

AMANAT BUAT SEMUA

  1. Bagi meneruskan legasi “Sense of Belonging”, maka penerapan nilai kebersamaan sama sekali tidak boleh dilupakan. Oleh itu, terdapat beberapa amanat yang saya sampaikan ini menuntut pelaksanaannya daripada kita semua.
  1. Pertama, semua pihak melibatkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan al-Azhar, ahli jawatankuasa biro, serta seluruh peringkat ahli perlulah memahami dengan sebaik mungkin terhadap tema “PCA: Stronger As One” . Tema yang dipegang ini menjadi titik temu buat kita semua sama ada berbeza umur, jurusan mahupun ideologi.

Sejarah PERUBATAN Cawangan al-Azhar juga perlu kita hayati bersama bagi mewujudkan rasa sayang kepada keluarga besar kita ini. Sesungguhnya, cukup banyak jasa yang telah disumbangkan generasi terdahulu bagi menjaga ikatan ukhuwah sesama kita.

  1. Kedua, nilai kasih sayang antara kita perlu disemai sedalamnya dalam jiwa. PCA memiliki keunikan tersendiri berbanding cawangan-cawangan yang lain kerana memiliki ahli yang ramai iaitu seramai 918 orang, meliputi dua jurusan perubatan dan pergigian. Keistimewaan ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi mengurangkan jurang perbezaan sesama kita lantas menguatkan lagi organisasi kita yang masih muda ini. Maka, saya menekankan agar taakhi batch yang telah diwujudkan sebelum ini terus dikekalkan dan dijayakan pembawaanya bagi sesi ini.
  1. Ketiga, hubungan dengan mahasiswa pengajian islam harus diperkukuh. Lokaliti PCA yang turut didiami oleh mahasiswa pengajian islam memberikan seribu satu kelebihan buat kita. Hal ini temasuklah melibatkan tenaga pakar serta kemahiran. Oleh itu, PCA sesi ini berhasrat hubungan dengan badan-badan kebajikan anak negeri dapat dieratkan supaya faedah dua hala dapat dicapai.
  1. Keempat, penerapan jiwa profesionalisme dalam kalangan ahli perlulah dipertingkatkan. Seperti kehadiran ke kelas, melibatkan diri dalam usaha memperkasakan ilmu sains kesihatan perlu diberi penekanan. Amalan ponteng serta meniru di dalam peperiksaan, seharusnya sudah tiada lagi dalam diri ahli. Hal ini bertujuan untuk memberi kesedaran akan kepentingan ilmu supaya kita dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Malaysia kelak.

Sidang perwakilan bakal perawat terbilang sekalian,

PENUTUP

  1. ‘PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten’ merupakan satu visi yang telah digagaskan setelah sekian lama. Visi unggul ini memainkan peranan tersendiri dalam mencorak bakal-bakal tenaga profesional yang seimbang dunia dan akhirat.
  1. Sebagai salah satu cawangan yang bernaung di bawah PERUBATAN, PCA akan terus komited dalam menjunjung visi ini untuk dibawa bersama. Oleh itu, saya menyeru kepada semua peringkat, sama ada pimpinan mahupun ahli untuk bersama-sama mewujudkan jiwa koletivisme, menjaga amal fardi serta menerapkan nilai profesionalisme dalam budaya kerja bagi memacu visi PERUBATAN ini.
  1. “Sesungguhnya tiadanya Islam itu kecuali dengan kesatuan, tiadalah kesatuan itu kecuali dengan kepimpinan dan tiadalah kepimpinan itu kecuali dengan ketaatan”
  1. Akhirnya, di kesempatan ini bagi pihak perwakilan sekalian, saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada wakil Majlis Tertinggi PERUBATAN, Mantan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar dan barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN, Ahli Jawatankuasa Pelaksana Mesyuarat Tahunan Cawangan serta semua pihak yang menjayakan MTC pada kali ini. Semoga Allah SWT cucurkan rahmat buat kalian semua atas segala pengorbanan yang telah dilakukan.

Dengan itu, saya menutup Ucapan Dasar Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2017/2018 dengan lafaz:

سيروا على بركة الله

الله أكبر الله أكبر ولله الحمد

WhatsApp Image 2017-02-19 at 11.12.42

Abdul Fattah bin Abdul Ghafar,

Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

 

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?