[Sense of Belonging – Apakah Kepentingannya kepada Mahasiswa?]

0

Pakar psikologi Amerika Syarikat, Abraham Maslow (1943) ada menyatakan bahawa ‘Sense of Belonging’ merupakan ‘The third most important human need.”

Allah SWT itu bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Manusia adalah makhluk Allah yang diberi taraf paling mulia berbanding makhluk lain. Ini bermakna Allah pencipta manusia itu pasti mengetahui keperluan sebenar manusia. Dan dengan sifat pemurah dan penyayang-Nya itulah, Dia menggubal dasar dan asas serta gaya hidup sesuai dengan fitrah manusia.

Konsep persaudaraan dalam Islam adalah atas asas akidah. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih dan cinta kepada saudaranya sebagai mana dia cinta dan kasih kepada dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim).

Sejarah Islam memaparkan bagaimana peristiwa hijrah golongan Muhajirin dan Ansar menjadi contoh terbaik untuk kita lihat sesungguhnya Islam itu sangat menitikberatkan elemen kebersamaan, saling membantu dan ‘Sense of Belonging’ (rasa memiliki) terhadap sesama manusia apatah lagi saudara seislam.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah golongan manusia yang bermanfaat kepada manusia lain.” (Hadis riwayat at-Thabrani)

Tuntutan agama Islam menyuruh setiap muslim menjadi penjana kebaikan dan kemudahan dalam kehidupan walau dimana dia berada dan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dalam Ucapan Dasar Pengerusi PCA 17/18 pada MTC kali ke-4 yg lalu, beliau menggagaskan tema baharu, ‘PCA: Stronger As One’ sebagai satu natijah nilai kebersamaan dalam keluarga besar kita ini. Nilai kebersamaan ini merupakan satu nilai utama yang memberikan gambaran bahawa sesungguhnya PCA adalah hak milik kita bersama. Hasrat kita untuk mencapai matlamat ini dapat direalisasikan sekiranya wujud kerjasama di antara pimpinan dan ahli dalam segenap aspek. Penerapan ‘Sense of Belonging’ juga penting dalam pembentukan identiti dalam diri individu dan sebagai motivasi untuk mereka terlibat dalam masyarakat.

James Gilmore (2005) menyatakan bahawa: “A sense of belonging is the feeling of being connected and accepted within one’s family and community.”

Seiring dengan pembawaan PCA pada sesi kali ini yang mengetengahkan elemen akademik dan pembangunan modal insan, sungguh tidak dapat tidak mahasiswa/i sains kesihatan semua haruslah memupuk semangat ‘Sense of Belonging’ dalam diri. Hal ini kerana kajian mengatakan seseorang yang mempunyai ‘Sense of Belonging’ pasti akan bertindak peduli, prihatin, simpati, empati, dan termotivasi sehingga mampu memaksa dirinya untuk melakukan sesuatu perkara meskipun tiada sebarang faktor penolak. Sebagai contoh, seseorang yang memiliki rumah pasti akan menjaga rumahnya dari semua aspek sama ada kebersihan, keselamatan, dan kecantikan rumahnya tanpa dia menerima sebarang arahan daripada sesiapa supaya dia menjaga rumah tersebut. Jika berlaku sebarang kerosakan pada rumah tersebut, pasti akan segera dibaiki untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk jika terus dibiarkan.

Konklusinya, analogi tuan rumah dan rumahnya itu dapat menggambarkan bagaimana penerapan konsep ‘Sense of Belonging’ dalam diri mahasiswa/i adalah begitu penting bagi melahirkan mahasiswa/i yang cemerlang dalam jurusan yang diambil sama ada perubatan mahupun pergigian. Mahasiswa/i akan bertindak cakna dan terkehadapan dalam aspek akademik serta sahsiah diri kerana mempunyai keazaman yang tinggi dan lebih tekun dalam menuntut ilmu hasil penerapan konsep ‘Sense of Belonging’ terhadap jurusan yang dipelajari, seterusnya menatijahkan kejayaan yang selama ini diimpikan iaitu menjadi doktor Mukmin yang profesional.

NURIN (2)

Nurin Jazlina binti Mohd Ismail,
Timbalan Ketua Biro Sukan & Aktiviti Luar,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?