[Berita: Motivasi Para Siswa Siswi]

0

IMG_2056

Darrasah, 21 Mac 2017 – Seramai 35 orang graduan lelaki dan 70 orang graduan perempuan daripada batch ketiga, Averro3s dan Kryptonit3 telah berjaya menerima ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBcH). Daripada jumlah tersebut, seramai 91 orang telahpun diraikan dalam satu majlis konvokesyen yang diadakan Sabtu lalu. Dewan Muhammad Abdou telah menjadi saksi termeterainya ikrar yang dilafazkan oleh mereka selaku graduan Universiti al-Azhar.

Turut hadir memeriahkan majlis, dekan bagi kedua-dua Fakulti Perubatan lelaki dan perempuan, Dr. Ahmed Seleim dan Dr. Seham Muhd Abd Ghafur.

Dalam istiadat konvokesyen yang penuh gilang-gemilang itu, saudara Ahmad Kasyfillah bin Mustafa dan saudari Salehah binti Ariffin masing-masing telah dinobat sebagai pelajar terbaik bagi Fakulti Perubatan lelaki dan juga perempuan.

Memetik ucapannya dalam majlis tempoh hari, saudari Salehah nyata telah berjaya meniup kata-kata semangat dan motivasi buat para junior yang turut hadir sebagai jemputan. “Kehadiran ke kelas adalah antara aspek terpenting dalam kita mengejar sebuah kejayaan. Jadi, jagalah kehadiran dan jangan sekali-kali ponteng!”

Bakal bergelar graduan tidak lama lagi, saudari Nur Suhaila binti Mohd Yusoff, mahasiswi tahun 4 kuliah Pergigian merasakan kehadirannya ke majlis tersebut sangat berbaloi. Beliau sangat berbangga kerana dijemput dan berpeluang hadir ke majlis tersebut.

“Ketika saya melihat setiap graduan ke atas pentas untuk mengambil skrol, itu menjadi detik yang paling memberi kesan terhadap diri saya. Ia mengalirkan semangat ke dalam diri saya secara tidak langsung,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar perjuangan mereka tidak terhenti di sini sahaja, bahkan inilah titik mula mereka ke dunia sebenar. “Semoga para graduan sentiasa kuat dalam menghadapi hari mendatang, berkhidmat untuk Islam. Insha-Allah, setiap keringat yang keluar bakal mendapat keberkatan dari-Nya,” ujarnya mengakhiri perbualan.

mediaPERUBATAN: Tahniah buat para graduan dan sekalung penghargaan buat para penggerak majlis graduasi atas segala bakti yang dicurahkan. Terima kasih!

Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri
Tahun 5 Perubatan

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?