SYURA (MESYUARAT), APA NILAI PADANYA?

SYURA (MESYUARAT), APA NILAI PADANYA?

0

Syura ialah satu perkataan yang tidak asing bagi umat Islam pada hari ini lebih-lebih lagi dalam kalangan mahasiswa yang terlibat dalam persatuan pelajar. Kebanyakan yang aktif dengan aktiviti persatuan terutamanya di peringkat pimpinan pasti pernah menerima sindiran sinis daripada kalangan rakan sekuliah seperti “budak persatuan ni takde life ke, asyik meeting je” , “kau hidup untuk study & meeting je ke bro” dan pelbagai lagi kata-kata yang tidak manis seolah-olah aktiviti itu ialah perbuatan munkar.

“Manusia akan memusuhi apa-apa perkara yang tidak diketahui olehnya.”

Jika difikir sejenak, sindiran itu mungkin betul. Akan tetapi adakah ‘life’ yang dinyatakan itu ialah satu perkara yang bermanfaat apabila dinilai di sisi pandang syarak dan bagaimana pula dengan syura (mesyuarat). Syeikh Fathi Yakan telah menyebutkan di dalam bukunya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam menekankan bahawa kita mestilah muslim dari segi akidah, ibadah, akhlak dan bekeluarga. Justeru, daripada kefahaman ini, di dalam kita menilai atau memberi pandangan mestilah berdasarkan disiplin yang ditetapkan oleh Islam bukan menilai berdasarkan pandangan masyarakat umum ataupun persepsi.

Definisi Syura

Syura pada bahasa bermaksud meminta atau menuntut sesuatu pandangan dalam sesuatu perkara dan urusan. Dari segi istilah ialah berunding, berbincang, bermesyuarat dan bertukar pelbagai versi pandangan antara kelompok yang tertentu dalam membincangkan sesuatu tajuk yang tertentu untuk mencapai kepada pandangan yang tepat, efisyen, untuk mengenai sasaran dan matlamat yang baik dan menjauhi kesalahan atau kesilapan.

Selain itu, Dr. Muhammad Abdullah Khatib mendefinisikan syura di dalam bukunya “Syura Fil Islam” sebagai suatu bentuk kerjasama dalam bertukar fikiran dan pandangan terhadap perkara-perkara yang melibatkan maslahat  orang Islam berdasarkan kaedah yang sesuai dalam mencari titik permuafakatan dan kebenaran serta ketaatan kepada Allah S.W.T.

Imam Ibnu al-Arabi al-Maliki pula mendefinisikan syura dengan berkumpul untuk meminta pendapat (dalam suatu permasalahan) yang berlaku tatkala peserta syura saling mengeluarkan pendapat yang dimiliki.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa syura merupakan satu dasar yang menyeru kepada penyelidikan, penyiasatan dan pengkajian tentang kebenaran. Melalui syura, akan mendidik manusia untuk bersikap rasional dan matang serta menutup jalan ke arah mengamalkan sistem kuku besi.

Syura pada penilaian syarak

Umum mengetahui, syura merupakan satu prinsip dan satu dasar dalam dasar-dasar Islam. Pelaksanaan syura disebut dan disifatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran khusus kepada manusia yang beriman kepada-Nya.

“Dan golongan-golongan yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka”

[Surah asy-Syura: ayat 38]

Daripada penjelasan ayat di atas ini, didatangkan sifat-sifat manusia yang beriman dalam al-Quran iaitu mendirikan solat, bermusyawarah dan menginfaq harta dan jiwa yang diberikan oleh Allah. Sekiranya solat itu merupakan ibadah, berbelanja pada jalan Allah ialah ibadah, maka apakah hikmah dan persoalan Allah meletakkan suruhan syura pada ayat pertengahan antara dua ayat ibadah ini.

Jika diperhatikan, syura dalam ayat ini menunjukkan kepada kesyumulan ibadah dalam Islam. Dalam Islam, makna ibadah tidak hanya atas syiar pengabadian seperti solat dan zakat sahaja, bahkan konsep ibadah itu cukup luas sebenarnya. Berkata Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran berkenaan syura ini:

“Dan ayat (syura) ini menjadikan urusan manusia semuanya dalam keadaan syura (mesyuarat), bertujuan kehidupan ini dicelup semuanya dengan celupan Islam. Maka ia ialah ciri khusus yang paling umum dan paling syumul daripada sebuah negara Islam (Madinah) dalam kehidupan umat Islam. Sesungguhnya syura itu ialah ciri khusus (thawabit) sebuah gerakan (persatuan) Islam pada setiap keadaanya. Sekiranya ia ialah sebuah daulah, ia bermaksud syura ini suatu perkara yang khas, (tanpa syura) tidak akan tertegak padanya sebuah negara”.

Ini semua menunjukkan syura bukanlah sekadar teori ataupun retorik, bahkan ia merupakan satu perkara yang realistik sepanjang zaman. Tambahan pula, kita dapati bahawa suruhan bermesyuarat kepada Baginda Nabi ﷺ datang daripada wahyu Allah SWT menerusi firmannya:

“..kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah..”

[Surah Ali Imran: ayat 159]

Selain itu juga, sumber rujukan umat Islam iaitu Sunnah Nabi ﷺ dan athar para Sahabat juga membuktikan bahawa syura itu ialah satu perkara realistik. Antaranya ialah,

  1. Rasulullah ﷺ meminta pandangan para sahabat berkaitan perang Badar, Uhud dan Khandak.
  2. Rasullah ﷺ meminta pandangan dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah.
  3. Rasullullah ﷺ meminta pandangan dalam peristiwa Ifk.
  4. Peristiwa pemilihan Khalifah Saidina Abu Bakr, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA.
  5. Saidina Abu Bakr RA meminta pandangan para sahabat di dalam peristiwa perang menentang golongan murtad.
  6. Saidina Umar RA meminta pandangan para sahabat ketika terjadinya wabak taun di negara Syam.

Kesimpulannya, syura (mesyuarat) ini bukanlah merupakan satu perkara yang sia-sia ataupun dicela oleh syarak. Akan tetapi pengamalan ini ialah perbuatan Saidina Rasulullah ﷺ dan generasi awal Islam yang sepatutnya diikuti dan dijadikan sebagai contoh sebagai seorang mahasiswa Islam.

Matlamat Syura

Walaupun Nabi ﷺ diberikan mukjizat dan wahyu daripada Allah SWT, arahan untuk bermusyawarah bersama para Sahabat Baginda ﷺ disuruh oleh Allah. Ini kerana di dalam syura itu adanya keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran.

Setiap perkara yang wujud pasti ada hikmah atau tujuannya yang tersendiri. Kejadian manusia dijadikan atas muka bumi ini ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Kehidupan manusia di dunia ini terdapat tiga matlamat iaitu mencari reda Allah, meraih syurga-Nya dan dijauhkan daripada azab neraka. Bagi syura pula, ia mempunyai banyak matlamat samaada matlamat jangka masa pendek dan panjang. Antara matlamat syura secara ringkas yang dinyatakan oleh para ulama’ ialah:

  • Melalui musyawarah, dapat diketahui kadar akal, pemahaman, kadar kecintaan dan keikhlasan terhadap kemaslahatan umum.
  • Sesungguhnya akal manusia itu berbeza-beza dan jalannya berbeza-beza. Oleh kerana itu, antara mereka pasti mempunyai suatu kelebihan pandangan berbanding yang lain (dan sebaliknya), sekalipun dalam kalangan para pembesar.
  • Sesungguhnya pendapat-pendapat dalam syura diuji kematangannya. Setelah itu, dipilihlah pendapat yang sesuai.
  • Dalam syura, akan menzahirkan penyatuan hati untuk menjayakan suatu kemampuan dan kesepakatan hati. Dalam perkara itu, mereka sangat diperlukan untuk mengatasi masalah-masalah yang sedang dihadapi. Oleh itu, Syura ini mempunyai matlamat dan kesan yang seharusnya diutamakan bagi setiap manusia terhad atau lemah kemampuan akalnya.

Hikmah Syura

Apabila syura dipraktikkan dengan baik, akan timbul daripadanya hikmah dan pengajaran yang akan diperolehi oleh orang Islam dalam kehidupan. Antara hikmahnya

  • Keputusan yang diambil lebih sempurna berbanding tanpa musyawarah
  • Ahli syura merasai keterikatan terhadap keputusan musyawarah sehingga ada rasa memiliki tanggungjawab terhadap keputusan syura dan melaksanakannya secara kolektif.
  • Memperkukuh hubungan persaudaraan sesama orang Islam secara umumnya.
  • Dapat dihindari terjadinya dominasi majoriti dan penindasan minoriti kerana dalam musyawarah, hakikat pengambilan keputusan terletak kepada kebenaran.
  • Dapat dihindari adanya hasutan, fitnah dan adu domba yang akan memecahbelahkan kaum muslimin.

Penutup

Kesimpulannya, syura merupakan perkara usul dan bukanlah perkara cabang dalam agama. Bersifat satu kewajipan dan bukannya berbentuk sunat dan semestinya perlu dilazimi. Sayugianya, kita menyeru dengan bersungguh-sungguh kepada umat Islam secara keseluruhannya agar menjadikan syura sebagai satu jalan menuju reda Allah.

“Tiada kebaikan pada suatu urusan yang dilaksanakan tanpa musyawarah”

[Saidina Umar al-Khattab RA]

Rujukan

-Syura di Antara Realistik dan Retorik – Mohd Zahani Abdul Ghani

-Apa Ertinya Saya Menganut Islam – Syeikh Fathi Yakan

Muhammad Luqman B Muhamad Shuarimi
Tahun 6 Perubatan

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?