‘STRONGER AS ONE’

[MTC-4] ‘STRONGER AS ONE’

0

Hayyu Sabi’, 19 Februari 2017 – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali ke-4 pada tahun ini memaparkan pelbagai kelainan yang dibawakan oleh Pengerusi kekal PERUBATAN Cawangan al-Azhar, saudara Abdul Fattah bin Abdul Ghafar. Kelainan yang paling signifikan dalam pembawaan beliau pada sesi kali ini adalah perubahan slogan baharu kepada ‘PCA: Stronger As One’. Merujuk ucapan dasar Pengerusi dalam MTC-4 kelmarin, slogan ini dilihat mampu untuk memberikan inspirasi kepada ahli agar saling menguatkan antara satu sama lain.

“Pada pendapat saya, slogan yang baru ini menjadi bukti bahawa PCA bukan sahaja bersungguh-sungguh dalam menyatukan para ahli, malah sangat komited dalam memupuk ukhuwah dalam kalangan ahli PCA yang terkenal dengan bilangannya yang cukup besar,” ujar saudara Auji Azizi Afti bin Bakhtiar Afendy, salah seorang pemerhati pada MTC-4 tempoh hari.

Saudara Muhammad Amir Adham bin Johari selaku mantan Pengerusi PCA, menyatakan keyakinannya terhadap keberkesanan pembawaan saudara Abdul Fattah melalui slogan tersebut kepada komuniti PCA. “Insya-Allah saya yakin. Setelah meneliti segala gerak kerja yang telah disusun pada sesi yang lalu, saya yakin dan pasti pada sesi baru ini akan ada sinar yang cemerlang untuk komuniti PCA”. Beliau juga berharap agar barisan kepimpinan baru PCA terus mentadbir organisasi dengan mengharapkan keredhaan Ilahi agar bantuan-Nya sentiasa mengiringi dalam apa jua keadaan.

Apabila ditanya tentang sebab pemilihan slogan ini, saudara Abdul Fattah menjawab, “Tema ini merupakan satu tema baharu yang telah dicetuskan oleh barisan pimpinan. Tema ini bukanlah satu perkara idealistik, tetapi merupakan satu harapan dan natijah daripada pembawaan ‘Golden PCA’ selama ini. Perlu diingat, elemen ‘Sense of Belonging’ yang selama ini diwara-warakan perlu sama kita hayati sebaik mungkin”.

Beliau yang dihubungi melalui aplikasi ‘Whatsapp’ turut menambah, “Tema ini dipilih kerana melihatkan kepada kekuatannya yang mampu memberikan inspirasi kepada semua ahli. Semua sedia maklum, keluarga besar ini mempunyai pelbagai latar belakang, jurusan mahupun tahun. Jadi, ikatan antara kita perlu dieratkan di bawah satu naungan,” ujarnya lagi.

Disediakan oleh,
Muhammad Arifuddin bin Syahril
Tahun 1 Pergigian

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?