“Keperibadian Mereka Satukan Kita” – Ilman

[MTC-4] “Keperibadian Mereka Satukan Kita” – Ilman

0

16649422_1269364616492059_4487480316012468393_n

Hayyu Sadis, 19 Februari 2017 – “Biarpun puluhan program dirancang dan dilaksanakan, tiada satu pun yang mampu menandingi kesan hasil daripada keperibadian pimpinan dalam menyantuni ahli.” Itulah antara respon positif saudara Muhammad Ilman bin Abdul Razak, perwakilan tahun 6 kuliah Perubatan ketika mengulas berkenaan keberkesanan usul kesatuan yang dibawa para pimpinan PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) sesi 2016/2017. Jumaat lalu, Dewan Kuliah Dakwah Islamiah Universiti al-Azhar sekali lagi menjadi saksi berkumpulnya 188 orang perwakilan PCA bagi sama-sama menghadiri Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-4 (MTC-4).

Walaupun tidak mampu mencapai peratusan penuh bagi ketiga-tiga usul yang dibawa, namun capaian setinggi 70% bagi usul kesatuan nyata tetap membanggakan sidang perwakilan yang hadir. Pelbagai rangka usaha telah dijalankan oleh panel usul dalam memastikan keberkesanan usul tersebut. “Fiesta of Azharian Family 2016 (FIFA ’16) yang dijalankan Disember lalu telah memberi impak besar dalam menjayakan usul kesatuan ini. Program ini telah berjaya mendapat penglibatan ahli daripada semua jurusan,” ujar saudara Abdul Fattah bin Abdul Ghafar, Pengerusi PCA 2016/2017 dalam ucapannya tempoh hari yang seterusnya disambut dengan tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Beliau yang telah berjaya meraih kepercayaan ahli bagi meneruskan legasi kepimpinan PCA sesi 2017/2018 juga menyebut mengenai beberapa usaha lain seperti program Human Development Academy (HDA) dengan penyertaan seramai 158 orang ahli dan kewujudan taakhi batch yang berjalan dengan kerjasama Majlis Ketua Batch (MKB).

Menurut saudara Ilman lagi, keramahan dan keprihatinan para pimpinan adalah perkara terbaik ditunjukkan mereka dalam usaha untuk menyatukan para ahli dan ia wajar dipuji. “Namun begitu, kefahaman ahli terhadap usul masih terhad dalam kalangan ahli aktif sahaja. Sedikit sebanyak ia mempengaruhi daya sokongan yang diperlukan bagi menjayakan usul tersebut,” tambahnya.

Saudari Nor Izzati binti Ismail, perwakilan tahun 4 kuliah pergigian turut bersetuju dalam hal ini. Menurut beliau, pemimpin merupakan ‘role model’ bagi ahli. “Jadi, apabila pemimpin mampu menunjukkan nilai-nilai murni kepada ahli, mereka bukan sahaja bertambah sayang, malah akan turut mengikut jejak langkah para pimpinan. Bak kata pepatah Arab, ‘qudwah qobla dakwah’,” ujarnya lagi. Beliau juga berpendapat bahawa usul kesatuan bukanlah suatu usul yang mudah untuk dijalankan. Disebabkan itu, usul berkenaan ini telah diwujudkan banyak kali. “Saya yakin, pada masa akan datang, PCA pasti boleh tingkatkan lagi peratusan tersebut,” tambah beliau mengakhiri wawancara.

Sesi pembentangan usul dan pembawaan PCA 2016/2017 tersebut berakhir dengan kata putus bahawa ketiga-tiga usul iaitu usul duta kecil, kesatuan dan polisi kewangan akan dibawa ke sesi akan datang. Dengan itu, pimpinan PCA sesi 2017/2018 akan bergerak dengan membawa tiga usul lama dengan tambahan satu usul baru yang telah dipersetujui pada MTC-4 lalu dengan matan usul “Menggesa pihak berautoriti bagi menyelesaikan masalah hal ehwal mahasiswa dengan pihak universiti.”

Disediakan oleh,

Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri,

Tahun 5 Perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?