MAN JADDA, WAJADA

MAN JADDA, WAJADA

0

“Assalamualaikum.” Pintu rumah dikuak dari luar. Maya mengangkat kasutnya dan meletakkannya di rak kasut belakang pintu rumah.

Salam tidak berjawab. Maya mengerling jam di dinding ruang tamu. Sudah jam 11 malam. Patutlah. Kebiasaannya semua ahli rumahnya sudah lelap pada jam sebegini. Tambahan pula, hari itu rumahnya menerima kemasukan dua orang ahli rumah baru, junior yang baru tiba dari Malaysia.

Beg sandang diletakkan di atas katil. Heater dinyalakan. Tiga minit kemudian, Maya sudah siap di meja belajar bersama secawan kopi di tangan. Masih berbaki sejam sebelum menunjukkan jam 12 tengah malam. Buku Pharmacology diselak helaian demi helaian. Tangan ditadah. Doa ditutur perlahan. Ada mimpi yang harus menjadi kenyataan.

“Kak Maya, susah tak belajar perubatan?” tanya Lily, adik yang baru pindah masuk ke rumahnya tempoh hari. Maya tersenyum mendengar soalan cepumas daripada adik yang muda dua tahun daripadanya. Ditatap wajah bujur Lily.

“Tolong hulurkan kamus tu, Lily.”

“Nah. Kak Maya, soalan saya akak tak jawab lagi.” Muncungnya bertambah sedepa.

“Tengok. Contoh depan mata dah ada. Nak belajar, kena cukup alat. Nak terjemah, kena guna kamus. Dalam dunia ni, mana ada yang senang, Li. Nak tidur pun kena naik katil dan bentang selimut tau.” giatnya. Lily hanya tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Takutlah. Minggu depan kan, dukturah kata nak buat kuiz general biology. Kitorang ni, dah la terkebil-kebil lagi nak tangkap slanga dukturah. Belum lagi nak faham apa yang dia cakap. Belum lagi nak baca, belum lagi nak ingat pulak apa yang dibaca, kan Fah?” Lily menyenggol Arfah di sebelah.

“Tak apa. Bagi masa untuk diri sendiri. Jangan terlalu paksa diri, dan jangan terlalu manjakan pula. Take your time. Kuiz ni memang 24/7 la kalau dah nak jadi pelajar perubatan tu. Haha, perubatan dan kuiz berpisah tiada, tau?”

“Kak Maya, Fah nak keluar kejap lagi. Jangan kunci pintu ya. Mungkin balik lewat malam.”

“Fah nak keluar dengan siapa? Ada kawan ke nak teman beli barang tu?”

“Eh, tak apa, kak. Jangan risau. Fah ada kawan nak keluar sekali nanti.”

Rumah masih gelap ketika Maya terjaga. Jam di dinding baru menunjukkan jam 10.30 malam. Maya bergerak ke bilik Rasyidah, nyata temannya itu sudah nyenyak dibuai mimpi. Pintu bilik Lily dan Arfah dikuak perlahan.

“Fah belum balik lagi, Li?”

“Maakkkkk! Hantuuu…!” Lily menjerit.

“Wey, hantu kebendanya. Kak Maya la. Lily ni, kang kak Syida terjaga kang.” Maya menunjukkan isyarat ‘syyhh’.

“Agak-agak la kak Maya nak serbu bilik orang malam-malam pakai telekung ni. Boleh luruh segala jantung, aorta, pulmonary artery tau tak? Arfah tak ada. Dia belum balik lagi.” Ujar Lily seraya menutup laptop Acer miliknya.

Maya mengangguk. Dia mengambil bantal kecil di kerusi belajar Lily lalu dicampakkan ke arah Lily.

“Dah, pergi tidur. Esok ada kuiz kan?”

Tiba-tiba kedengaran pintu rumah diketuk. Maya mengintai dari pintu balkoni. Seorang lelaki Melayu baru sahaja meninggalkan kawasan rumahnya. Lelaki yang sudah acapkali dia lihat, menghantar Arfah pulang.

“Eh, kak Maya tak tidur lagi? Maaf Arfah lambat.”

“Balik pakai musyrif tak lewat malam ni, Fah?” Arfah melarikan bola matanya daripada renungan tepat Maya. Kepalanya diangguk perlahan.

“Kak Maya, dah tengok Lily? Menangis teruk. Fah pun dah tak tau nak pujuk macam mana.” Maya hanya menghantar pandangan kosong ke arah Arfah.

“ Kenapa Lily menangis, Fah tahu?”

“Lepas dapat markah kuiz tadi, terus dia diam. Tak nak cakap dengan siapa-siapa. Dah sampai rumah, dia menangis lagi.”

Maya hanya membiarkan Lily dengan tangisnya. Biar dia reda dulu, desis hati kecil Maya.

Pagi Jumaat, selalunya mereka berempat akan bersarapan bersama, kerana itu merupakan satu-satunya hari yang kesemua mereka akan ada di rumah, itupun kalau Maya atau Rasyidah tidak sibuk dengan assignment atau study group.

“Hey girl, are you okay?” Maya menyoal sambil tangannya sibuk menumis sambal nasi lemak. Lily mencapai mug lalu menuangkan susu ke dalamnya.

“Bengkak sangat eh mata Lily, kak?”

“Tambah eyeliner sikit, nampak macam goth chic.” Maya berlelucon seperti biasa. Hajatnya agar Lily mampu ketawa semula.

“Arfah tak breakfast sekali?” soal Rasyidah melihatkan Arfah keluar menuntun beg sandangnya. Arfah hanya menggeleng dan laju menuruni tangga rumah sambil melaung salam dari pintu.

“Lily tak fahamlah kak. Kenapa Lily asyik gagal je kuiz ni? Kadang-kadang tu kan, Lily rasa macam silap besar je keputusan Lily ambil bidang perubatan ni.”
“Lagi?”

“Lepastu kan, Lily rasa macam tak adil tau. Lily buat solat hajat, jaga ikhtilat, bantu kerja persatuan, tapi macam ni pula keputusan Lily. Orang lain yang tak buat semua tu, siap keluar dating lagi tiap-tiap minggu, keputusan baik pula.”

“Lily maksudkan siapa?” soal Maya tajam. Lily gugup terdiam. Maya mengendurkan riak wajahnya. Sambal yang telah siap dimasak dituang masuk ke dalam mangkuk. Sarapan dibawa ke ruang tamu.
“Now, look. These are two different things we’re talking about.”

“Sambil makan eh kak. Lily dengar ni.” Rasyidah mencedokkan nasi ke pinggan Lily dan Maya. Doa makan ditutur bersama.

“Pernah dengar tak pepatah, ‘man jadda, wajada’? Atau kalau dalam Bahasa Melayunya siapa bercucuk tanam, dia akan menuai hasilnya?” Lily hanya mengangguk laju.

“Ini namanya sunnatullah. Sesetengah orang panggil hukum alam. Siapa berusaha, dia akan dapat. Siapa bersungguh, Allah SWT akan beri. Allah SWT tak zalim. Tak pilih bulu. Sebab itu kalau kita tengok, banyak orang bukan Islam yang berjaya, lebih daripada orang Islam sendiri. You name it. Have you wonder why Scandinavian countries are far better than Muslim countries? Have you wonder why the world’s billionaires mostly are non-muslims? Orang terkaya di Malaysia pun, bukan orang Islam kan? Tapi kenapa mereka berjaya, malah jauh lebih hebat daripada orang Islam? Sebab mereka berusaha keras. Dan sebab Allah SWT tu Maha Adil la, Allah SWT bagi ganjaran usaha keras mereka tu. Kalau kita belum berjaya, cuba Lily periksa di mana silap kita. Di mana kurangnya usaha kita, untuk layak mendapat pertolongan dan ganjaran kejayaan daripada Allah SWT, hmm?”

Mata Lily bergenang lagi. Tekaknya rasa berpasir.

“Akak tak kata apa yang Lily buat selama ni salah. Cuma kita tak boleh expect dan terus menyangka segala amalan dan kerja-kerja persatuan yang dilakukan dapat meraih pertolongan Allah SWT tanpa berusaha sedikit pun. No pain no gain, remember? Keep the balance between things, girl. Study smart, pray hard. Berikan hak pada setiap yang berhak. Real efforts never betray.”

“Habis tu, orang yang tak buat semua tu tapi keputusan dia okay je?”

“Kadang-kadang, apabila kita terus-terusan berbuat mungkar, atau kita leka daripada menjaga syariatullah, Allah SWT semakin memberi kita kejayaan. Ini bahaya. Sebab kejayaan yang Allah SWT bagi tu bukan makin mendekatkan orang itu dengan Allah SWT, malah makin menjauhkan. Nauzubillahi min zaalik. Tapi, kita kena ingat suatu benda.” Maya berjeda. Lily mengangkat kening sebelah.

“Kita pun ada tugas untuk mengingatkan. Sebab kita bukan malaikat. Kita mungkin tak leka hari ini, tapi kemudian hari, siapa tahu?”

“Tapi Lily tak nak la gagal lagi, kak Maya, kak Syidah. Bukan nak kata apa la, tapi dulu Lily top scorer kot kat sekolah. Malu la macam ini.”

Rasyidah dan Maya saling berpandangan.

“Kata Buya HAMKA, takut gagal adalah kegagalan yang paling besar. Macam mana awak boleh takut akan gagal bila awak belum pun cuba?” Rasyidah mengangkat kening double-jerk.

Maya menekan punat end call. Bibirnya merekah menguntum senyum. Maklumlah, baru lepas bercakap dengan bonda tercinta di tanah air. Menyedari waktu Asar bakal masuk beberapa minit lagi, Maya menuju ke tandas untuk memperbaharui wudhu’. Musim panas memang membuatkannya suka memperbaharui wudhu’.

Langkahnya terbejat apabila mendengar loceng rumah berbunyi. “Min?” laung Maya dari dalam rumah. Tiada jawapan. Diintai dari ruang pintu, kelihatan seorang gadis, namun tidak jelas wajahnya.

“Arfah?” Arfah muncul di depan pintu dengan wajah yang cuba mengukir senyuman. Bagasi di belakangnya ditarik masuk ke dalam rumah.

“Nah air. Mesti penat. Jet lag tak?”

“Ada la sikit. Terima kasih, kak. Kak Syidah keluar?” Maya mengangguk. Jelas terpancar di wajahnya riak kekeliruan.

“Akak ingat Arfah balik sampai bulan Oktober nanti. Awal jugak Arfah balik sini.”

“Sebenarnya, akak. Arfah terpaksa reseat.” Arfah menundukkan wajahnya. Maya terpempan. Arfah yang sebelum ini boleh dikategorikan sebagai pelajar cemerlang, terpaksa reseat? Namun, memikirkan segala kemungkinan yang boleh terjadi, ditambah pula keimanan bahawa rezeki manusia semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, Maya cuba membunuh fikirannya yang cuba menagih jawapan.

“Arfah dah putus dengan dia, kak. Arfah dah tak nak buat Allah SWT murka. I’ve learnt my lessons.” Berguguran air jernih dari kelopak mata Arfah yang kini sudah tidak bermekap tebal. Maya dua kali terpempan.

“Waktu kat Malaysia, apabila Arfah dapat berita yang Arfah kena reseat, Arfah tak boleh terima kenyataan. Yalah, siapa sanggup kan korban masa cuti dengan keluarga semata-mata sebab kena balik Mesir, reseat exam? Subjek yang kita target lulus pula tu. Tapi Alhamdulillah, hari tu Arfah ada jumpa sepupu Arfah. Dia ajak Arfah muhasabah balik, how could all of this happened, since everything happens for reasons, kan kak?” Maya menggenggam erat bahu Arfah.

“Boleh tak kalau Arfah nak mintak akak ajar Arfah?”

“Apa? Subjek yang Arfah kena reseat tu ke? Insya-Allah, boleh. Tiada hal lah kalau untuk housemate sorang ni. Free of charge, jangan risau.” Maya meredakan suasana sedih yang menyelubungi mereka.

“Ajar Arfah, macam mana untuk mengadunkan sunnatullah dan syariatullah dalam mengejar kejayaan dunia akhirat, boleh?”

“Err, Arfah. Ni dah macam nak buat manifesto bertanding kerusi Presiden ni.” Maya menekup mulutnya menahan tawa.

“Akak ni, orang serius la. Boleh tak? I’ve seen it, that you’re such a good example set right in front of me. Rugilah, kalau tak menuntut dengan senpai, kan?”

“Allahu. Kita cuba sama-sama, boleh? By the way, if you need some references, you can always access them, you knew it right?” ujar Maya sambil menunjukkan satu rak penuh dengan buku-buku perubatan.

“Akak, orang baru sampai kot.” Arfah menjulingkan matanya. Ketawa mereka pecah. Namun, Maya tidak risau lagi, kerana Arfah yang ada di depannya sekarang, ialah Arfah yang baru. Arfah yang bukan sahaja rajin menelaah, malah kini kembali menuntun syariatullah dalam hidupnya. Ternyata, sunnatullah dan syariatullah begitu erat sekali bersaudara. Sekali imbas, nampak macam berbeza, namun hakikatnya mereka saling mengikat. Begitulah hakikatnya ilmu, menjadi sunnatullah siapa yang berusaha, dia akan menuai hasilnya. Namun apalah harga sebuah usaha, kalau tidak disertai reda Allah SWT hanya kerana kita memugar murkaNya saat kita mengingkari syariatullah? Man jadda, wajada. Itu sunnatullah. Namun, bukankah lebih manis sekiranya yang wajada itu disertai reda dan barakah dari Yang Maha Memberi?

Maya memandang ke luar tingkap. Bagaimana musim berganti musim, buah berganti kulit. Semuanya boleh berubah. Kenapa manusia tidak?

KHALIS SHAHIRAH BT MOHAMED HAFIZ
TAHUN 3 PERUBATAN

ARTIKEL BERKAITAN

0

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?