Ke Manakah Kita Selepas Ini?

Ke Manakah Kita Selepas Ini?

0

Pertamanya marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang telah kita nikmati sejak dari alam rahim sehingga saat ini dan bakal kita nikmati kelak. Manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan Allah SWT yang diciptakan di atas muka bumi ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat keempat yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya.)

Manusia merupakan khalifah yang berperanan memimpin masyarakat ke jalan yang diredhai oleh-Nya. Hal ini kerana Allah SWT mengurniakan akal untuk manusia berfikir sama ada perkara yang dilakukan itu perkara kebaikan atau perkara keburukan. Manusia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan yang terbaik dalam kalangan mereka ialah mereka yang senantiasa bertaubat memohon keampunan daripada kesilapan yang telah dilakukan.

Satu persoalan yang sentiasa bermain di minda kita semua, mengapakah manusia bersungguh-sungguh mengejar kemewahan dunia sedangkan kehidupan di dunia ini hanya sebuah perhentian dan kehidupan sebenar ialah kehidupan di alam akhirat kelak? Sesungguhnya, ini merupakan antara ujian Allah SWT kepada sekalian khalifah-Nya di atas muka bumi ini untuk mengaplikasikan segala isi kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW sebagai sumber rujukan utama dan diikuti dengan Ijma’ Ulama dan Qias, seperti firman Allah SWT  dalam surah al-Ankabut yang bermaksud:

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi.

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

(Surah al-Ankabut: 2-3)

Tempoh kehidupan kita yang hanya berada dalam lingkungan sekitar 60-70 tahun sahaja menunjukkan betapa singkatnya riwayat hidup kita. Bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan mengenai umur umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman ini. Maka, perlulah kita merancang kehidupan singkat ini dengan perkara-perkara kebaikan sebagai bekalan menempuh perjalanan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan selepas kematian di dunia. Berada di dalam liang lahad yang gelap, berseorangan tanpa peneman melainkan butiran tanah yang merah, kain kapan yang nipis dan ulat-ulat serta serangga. Bersediakah kita?

Di dalam hadis Nabi SAW lagi, segala-galanya akan kita tinggalkan di  atas muka bumi ini melainkan tiga perkara sahaja yang akan terus mencambahkan pahala walaupun jasad kita telah ditelan bumi.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” 
(Hadis sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Dalam konteks sebagai seorang mahasiswa Muslim sains kesihatan, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk belajar bersungguh-sungguh dalam bidang yang Allah SWT taklifkan kepada kita, iaitu menjadi seorang mahasiswa/wi yang kompeten dalam bidang yang diceburi. Seorang manusia yang amanah dan mengetahui kepentingan menyelesaikan amanah pasti akan menunaikan amanah tersebut dengan penuh itqan, iaitu penuh kesungguhan. Sebagai contoh, kita perlu mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan menjadi doktor yang kompeten dan memahami segala ilmu perubatan itu secara mendalam kerana Allah SWT telah memberi kita peluang menimba ilmu dengan para pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan. Sekiranya kita mempunyai kesedaran dan kefahaman yang baik mengenai perbuatan yang kita lakukan, pasti ianya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Dasawarsa ini, Islam semakin ditekan dari segala aspek. Tugas kita seharusnya melakukan  yang terbaik dalam setiap  bidang yang diceburi bagi membuktikan Islam ialah agama yang terbaik dan menjadikan manusia yang menganuti agama ini ialah manusia yang berada di marhalah yang pertama dalam setiap aspek seperti berakhlak mulia, bersikap profesional dan berpengetahuan luas dalam setiap perkara.

Islam kini semakin ditindas disebabkan segelintir daripada kita masih lalai dengan kehidupan dunia yang serba fana ini, menjauhi ajaran Islam yang sebenar dan tidak mencontohi akhlak Rasulullah SAW. Baginda SAW sentiasa berakhlak mulia dengan sesiapa sahaja walaupun musuh dalam peperangan. Justeru, lakukanlah sesuatu perkara itu secara wasatiyyah dan berpandukan kefahaman yang jelas kerana ia dapat mengelakkan daripada melakukan sesuatu perkara yang sia-sia sehingga mengabaikan asas-asas agama seperti ukhuwah Islamiyah, bertoleransi sesama manusia tanpa mengabaikan prinsip-prinsip Islam yang perlu dipatuhi.

Akhir kalam, sekiranya kita mempunyai kesedaran mengenai betapa singkatnya tempoh kehidupan yang diberikan oleh Allah SWT, maka seharusnya kita gunakan peluang ini dengan bercucuk tanam sebelum menuai hasilnya di Hari Pengadilan kelak. Bagaimana? Cukuplah sekiranya kita mengadakan muamalah bersama Allah SWT dengan mengorbankan harta, diri dan masa di jalan Allah SWT. Kita sebagai mahasiwa/wi di perlembahan Nil ini terutamanya, sedarlah bahawa persatuan pelajar yang ada merupakan medan kita untuk beramal dan melatih diri kita berkorban seperti hebatnya sifat berkorban yang ada pada para Nabi dan para sahabat Rasulullah SAW.

Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia Mesir (PERUBATAN) ialah sebuah persatuan pelajar yang meletakkan Islam sebagai dasar dan mencakupi segala aspek, bukannya sebuah persatuan tanpa matlamat. Maka, ayuh lebih memainkan peranan diri kita dengan memberi sumbangan mengikut kemampuan diri dan terus berdoa supaya Allah SWT menerima amal kita yang serba kekurangan ini terhadap agama Islam yang mulia ini. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita yang lalu mahupun yang akan datang.

Allahumustaan

al-Faqir

MUHAMMAD HASAN BIN KHAIRUL HELMI

TAHUN 4 PERUBATAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?