[Cuti Winter: Masa yang Bermanfaat VS Masa yang Memudaratkan]

0

35,25,15. Suhu bergerak seiring dengan masa. Semakin banyak masa berlalu, semakin menurun suhu sehingga mencecah 15 Celcius. Menandakan syita’ semakin meluaskan kuasanya di Mesir. Mendinginkan semua yang tinggal di negara timur tengah ini, termasuk golongan mahasiswa. Namun, wujud event yang sering dinanti-nantikan oleh mereka. Satu daripada acara-acara kegemaran mereka setiap tahun.

Cuti Winter. Cuti yang berdurasi 14 hari ini merupakan cuti khusus di pertengahan musim sejuk antara bulan Januari dan Februari. Masa lapang ini sering digunakan oleh penuntut-penuntut universiti untuk merehatkan minda mereka. Berehat setelah penat bertungkus-lumus menuntut ilmu.

MELAKUKAN AKTIVITI BERMANFAAT

Tetapi, harus diingatkan. Allah telah berfirman dalam surah al-Asr, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali golongan-golongan yang beriman dan beramal soleh. Dan golongan-golongan yang berpesan kepada kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

Islam mengajar kita agar menjaga masa lapang yang kita ada sebaik mungkin. Bagaimanakah caranya? Beramal soleh dan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Contohnya, murajaah, ziarah sahabat-sahabat, dan menyertai program-program persatuan.

Kita beruntung kerana kita adalah antara mereka yang terpilih untuk menjejak kaki ke bumi Mesir. Bumi yang telah melahirkan ramai ulama tersohor di persada dunia. Mereka sering dijadikan sumber rujukan jika berlaku perbahasan yang berkaitan dengan ad-din. Antaranya ialah Fadhilat Sheikh Hisyam Kamil, Fadhilat Sheikh Dr Wahid Abdul Jawwad, dan Fadhilat Sheikh Dr Jamal Farouq Al Daqqaq.

Alangkah bertuahnya kita jika peluang keemasan ini kita ambil untuk mendalami ilmu agama daripada ulama-ulama tersebut. Usaha yang efektif demi menjadi seorang muslim yang lebih baik.

Di bumi al-Kinanah juga wujud pusat-pusat peranginan yang pelbagai dan menarik seperti Suq Hussein, Giza, Sungai Nil, dan Gunung Sinai. Selain memiliki daya tarikan tersendiri, tempat-tempat bersejarah ini juga banyak terkait dengan sirah nabi-nabi yang terdahulu.

Sambil makan angin di sana, amat berbaloi juga jika kita mempelajari kisah-kisah silam tersebut dan menjadikannya sebagai pengajaran bagi diri kita sebagai pedoman hidup.

ELAKKAN PEMBAZIRAN MASA

Namun, ada juga antara kita yang mengambil langkah mudah dengan mengurung diri di dalam rumah sahaja. Alasan untuk merehatkan badan dan malas untuk keluar sering dijadikan oleh mereka hujah untuk berbuat demikian.

Harus diketahui bahawa apa-apa yang dilakukan ini hanyalah turutan nafsu semata-mata dan membahayakan kesihatan kita.

Tambahan pula, amalan ini melambangkan seseorang itu bagaikan katak di bawah tempurung. Tidak cakna akan isu semasa sekeliling. Tidak kisah isu Mesir, tanah air, atau global. Kesannya membuatkan golongan ini tidak arif akan perkembangan dunia dan tertinggal jauh ke belakang berbanding orang lain. Bahkan masyarakat akan memandang rendah kepada kita. Keburukan inilah yang perlu kita bendung bersama-sama agar tidak berlaku dalam kalangan kita.

BERSYUKUR ATAS NIKMAT MASA LAPANG

Setiap insan mempunyai masa yang sama. 24 jam sehari. Masing-masing perlu menghadiri kelas di dewan kuliah. Masing-masing mempunyai komitmen. Masing-masing memiliki amanah yang tertentu. Tiada waktu untuk melepaskan lelah. Tiada waktu untuk berehat.

Justeru, cuti winter merupakan wasilah dan jalan bagi kita semua untuk menghilangkan tekanan. Namun, yang membezakan kita adalah sama ada kita membuatkan cuti tersebut bermanfaat atau memudaratkan diri sendiri. Semuanya bergantung atas kecekapan kita dalam mengurus masa.

Nabi Muhammad SAW juga berpesan kepada kita agar menjaga lima perkara sebelum datang lima perkara. Salah satu daripada pesanan Baginda SAW ialah menjaga waktu lapang sebelum menjadi sempit. Pesanan kepada umat Islam agar menjaga masa sebaik-mungkin.

Jika masa yang lapang itu diisi dengan perkara-perkara yang baik, maka banyak faedah akan kita peroleh sepanjang cuti tersebut. Sebaliknya, jika tidur dan berkurung di dalam bilik menjadi pengisi waktu kosong kita, maka waktu lapang tersebut akan berlalu begitu sahaja. Menjadi satu perkara sia-sia yang amat besar bagi diri kita. Nauzubillah.

(2 Januari 2017, 12.45 am)

MUHAMMAD HAFIZUL KHAIR B ABU HASSAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?