Ada Apa Dengan Usrah?

Ada Apa Dengan Usrah?

0

Usrah bukanlah suatu yang asing sesuai dengan perubahan zaman yang semakin memerlukan sebuah diskusi ilmiah lebih-lebih lagi permasalahan yang berlegar mengenai agama Islam itu sendiri. Namun, apakah usrah ini sebenarnya? Perkataan usrah berasal daripada kalimah arab yang bermaksud keluarga. Menurut Kamus Dewan, keluarga bermaksud saudara mara, kaum kerabat dan sanak saudara. Manakala dari segi istilah pula, usrah bermaksud sebuah kumpulan individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam yang berusaha dan tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan perintah Allah SWT bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat kedua yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu menolong pada melakukan dosa.“

Seperti yang kita tahu, usrah merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW yang sangat digalakkan dalam menyampaikan dakwah Islamiyah. Pengamalan usrah ini telah pun bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi ketika Rasulullah SAW menyampaikan dakwahnya di rumah Arqam bin Abi Arqam. Rasulullah SAW telah memulakan dakwahnya secara rahsia kepada kaum kerabat dan sahabat yang terdekat. Justeru, ini membuktikan Rasulullah SAW sangat menekankan kepentingan pembinaan manusia dalam sesebuah kelompok kecil terlebih dahulu.

Selain itu, usrah juga dapat mendidik hati ahli untuk menjadi manusia yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Usrah bukan sahaja tempat membincangkan hal-hal berkaitan dunia, bahkan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT secara keseluruhan jika kita bersungguh-sungguh untuk menghayati sunnah Nabi SAW ini. Hal ini kerana, kita akan membincangkan pelbagai bidang ilmu agama dalam usrah sekaligus akan membuahkan rasa taat kepada Allah SWT. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 132 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya supaya kamu diberi rahmat.”

Taat kepada Allah SWT menjadi asas yang sangat penting kepada seorang hamba supaya rahmat Allah SWT sentiasa dilimpahkan kepada kita.

Di samping itu, usrah juga dapat mengikat hati-hati antara ahli usrah. Melalui rukun usrah tafahum yang bermaksud saling memahami antara satu sama lain, akan menambahkan kemesraan dan semangat ukhuwah antara ahli yang terlibat. Hal ini kerana tafahum dibina dengan mewujudkan rasa mahabbah (kecintaan), mawaddah (kasih sayang) dan ulfah (keakraban). Ketiga-tiga unsur ini akan mengeratkan ukhuwah atas dasar aqidah yang sama walaupun hakikatnya daripada latar belakang yang berbeza. Justeru, jelaslah bahawa usrah juga merupakan salah satu cara untuk kita mendapat naungan di akhirat kelak. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW tentang 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat, salah satunya ialah:
“Dua lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya.“ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhir sekali, usrah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan peribadi Muslim yang sejati melalui penekanan terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai sistem yang syumul dalam kehidupan seseorang manusia. Hasilnya, usrah akan menjadi medium yang paling berkesan untuk meningkatkan ilmu, iman dan amal kepada ahli usrah yang terlibat.

Tuntasnya, kesan usrah kepada ahli hanya akan dapat dirasai oleh individu atau kelompok yang bersungguh-sungguh beramal dengan sunnah Rasululullah SAW ini. Usrah merupakan antara medium untuk kita memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apabila kita berada dalam satu kelompok yang ramai, kita akan menjadi lebih kuat. Ingat! Serigala hanya akan memakan kambing yang terpisah daripada kumpulannya. Marilah berazam untuk sentiasa mengikuti sunnah Baginda SAW agar kita akan beroleh cinta Allah SWT dan Rasul-Nya.

ALIA BT MOHD ASHARI
TAHUN 4 PERUBATAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?