Sebagai seorang Muslim, tentunya kita sepakat untuk menyatakan bahawa Islam ialah agama yang syamil dan kamil. Syamil bermaksud menyeluruh dan kamil membawa maksud sempurna. Ini menunjukkan bahawa Islam ialah agama yang memimpin seluruh aspek kehidupan manusia, bermula daripada perkara duniawi hingga ke persiapan kita menghadapi hal ukhrawi.

Dalam kehidupan di dunia ini, seluruh umat Islam dipundakkan dengan amanah sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi; yang mana hal ini bertujuan supaya kita menjaga kelestarian agar roda kehidupan di muka bumi ini dapat berjalan dengan baik dan seimbang selaras dengan syariat Allah SWT.

Antara sifat umat Islam yang perlu ada sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini, boleh saya gariskan kepada empat sifat asasi iaitu jujur (siddiq), dipercayai (amanah), menyampaikan (tabligh) dan cerdas (fathonah). Sifat-sifat ini juga adalah sifat yang wajib ada pada seluruh Nabi dan Rasul utusan Allah SWT. Apa yang boleh saya simpulkan dengan pemahaman semasa adalah empat sifat ini merupakan nilai-nilai profesional.

Dalam Islam memang tiada disebut tentang profesional memandangkan ia merupakan perkataan baru yang wujud pada zaman moden ini. Tetapi penerapan nilai profesional telah lama wujud dalam dunia Islam semenjak penubuhan Negara Islam pertama Madinah hinggalah sekarang.

Kamus Dewan edisi keempat memberi penakrifan profesional sebagai orang yang melakukan sesuatu profesion dengan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran. Dalam dunia kerjaya, orang yang bekerja pada profesion tertentu disebut profesional. Oleh kerana itu seorang profesional menunjukkan pengetahuan, keterampilan dan kesungguhan berbanding pekerja lain. Kemahiran ialah aspek penting dalam menerapkan nilai profesionalisme. Bahkan dalam Islam, sangatlah dituntut untuk memilih orang yang mahir dalam sesuatu bidang.

Ciri-ciri Muslim Profesional.

Telah saya sebutkan di atas mengenai 4 sifat asas dalam membentuk Muslim profesional.

Pertama adalah kejujuran. Tanpa kejujuran tiada makna segala perilaku kita sebagai seorang Muslim bahkan jujur ialah fitrah semula jadi bagi setiap manusia. Kejujuran ialah modal yang sangat berharga bagi setiap manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Atas sebab itu Islam sangat menekankan sifat kejujuran dalam setiap individu Muslim. Allah SWT berfirman di dalam Surah az-Zumar ayat 33 yang bermaksud:

“Dan orang yang membawa kebenaran (Nabi Muhammad SAW) dan membenarkannya, maka mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”

Kisah berkenaan sifat kejujuran Imam Abu Hanifah telah masyhur diceritakan. Imam Abu Hanifah merupakan seorang peniaga kain sutera. Beliau membeli dan menjual kain sutera daripada pelanggannya. Suatu hari, datang seorang wanita untuk menjual kain sutera miliknya. Abu Hanifah bertanya : “Berapa harga yang engkau inginkan? Wanita itu menjawab 100 dirham.”

Abu Hanifah berkata: “Harga kain ini lebih mahal daripada itu. Berapa harga yang engkau inginkan?” Lantas perempuan tersebut menaikkan harga kepada 200 dirham. Akan tetapi Abu Hanifah tetap berkata kain tersebut lebih mahal daripada itu.

Akhirnya kain sutera tersebut dijual kepada Imam Abu Hanifah pada harga 500 dirham. Jauh mahalnya daripada harga asal yang diletakkan oleh wanita tersebut pada asalnya.

Nah, lihat saja kejujuran Imam Abu Hanifah untuk tidak mengambil peluang dan kesempatan terhadap kejahilan orang lain.

Hukama’ ada menukilkan, “Perbuatan taat boleh dilakukan semua orang. Namun meninggalkan maksiat, hanya orang-orang yang siddiq sahaja dapat melakukannya.”

Seterusnya sifat amanah iaitu dapat dipercayai. Salah satu komitmen penting yang perlu dipandang serius oleh setiap Muslim iaitu membina kepercayaan orang sekeliling terhadap diri kita. Baginda SAW berjaya dalam misi dakwah dan dalam apa-apa jua urusan dengan masyarakat, setelah Baginda SAW membina persepsi dan kepercayaan kaum Quraisy Makkah terhadap Baginda SAW sehinggalah Baginda  SAW digelar sebagai al-Amin. Selain komitmen yang jitu, sifat amanah mampu melahirkan seorang Muslim yang produktif dan terlindung daripada sifat tamak dan individualisitik.

Suatu hari, Saidina Umar al-Khattab R.A memanggil hambanya lalu beliau menyerahkan 400 dirham dan berkata, “Berikan wang ini kepada Abu Ubaidah. Selepas itu tunggulah sekejap dan perhatikan apa yang dia lakukan dengan duit ini.”

Lalu hamba tersebut pergi ke rumah Abu Ubaidah R.A lalu menyerahkan duit itu kepadanya. Abu Ubaidah R.A berkata, “Moga Allah SWT mencurahkan rahmat-Nya kepada Umar.”

Sahabat Nabi SAW ini lantas memanggil hamba perempuannya lalu berkata,”Berikan 7 dirham kepada si fulan, 5 dirham kepada si fulan…”

Tidak selang beberapa lama, wang pemberian Umar R.A habis diagih-diagihkan. Selepas itu hamba Saidina Umar R.A pulang kepada tuannya. Setibanya di rumah, dia melihat Saidina Umar R.A telah menyiapkan sejumlah wang dengan nilai yang sama untuk diberikan kepada Muaz bin Jabal R.A.

Perbuatan yang sama terjadi dengan Muaz bin Jabal R.A apabila beliau mengagihkan semua duit pemberian Umar R.A.

Beginilah sifat amanah para sahabat yang keluar dari kilang didikan Nabi SAW.

Sifat yang ketiga adalah tabligh yang secara harfiahnya bermaksud menyampaikan. Tetapi saya membawa sisi pandang yang lain yang membawa maksud tabligh ini kepada transparensi ataupun keterbukaan. Tidak dapat disangkal seorang individu Muslim perlu bersifat terbuka dalam menyampaikan dakwah, memberi idea, menegur dan ditegur. Sikap ini mampu menjauhkan seseorang daripada sifat dendam kerana ia memandang kepada natijah yang ingin disampaikan. Saidina Abu Bakar R.A kerap kali menerima pendapat sahabat lain, terutamanya Saidina Umar al-Khattab R.A dalam mencatur perjalanan daulah Islam ketika itu walaupun beliau sebagai khalifah mempunyai hujah dan pandangan yang tersendiri.

Tetapi perlu diberi perhatian bahawa sikap keterbukaan ini mempunyai batasannya. Terbuka tidak bermaksud seseorang mepunyai autoriti untuk mempersoalkan ketetapan syariat yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Suatu fenomena yang sangat tidak sihat berlaku dalam masyarakat kita pada hari ni, apabila nilai keterbukaan disalah guna oleh beberapa individu dan NGO dalam mempersoalkan relevansi syariat Allah SWT.

Selain itu, sifat yang keempat adalah cerdas ataupun bijaksana. Dalam bahasa Arab dipanggil dengan fathonah. Tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan dunia pada hari ini yang lebih mementingkan aspek formality dan morality, kecerdasan ataupun intelektual dijadikan parameter untuk mengukur kemampuan seseorang. Fathonah bukan hanya bermaksud cerdas bahkan seseorang yang mempunyai visi yang jauh, inovatif, serta berdaya saing tinggi. Visi yang jauh sering kali diulang dalam al-Quran apabila Allah SWT kerap kali menyuruh kepada setiap hamba untuk melihat hasil yang akan dituai di akhirat kelak, bukan hanya di dunia sahaja.

Imam Abu Yusuf menceritakan pengalaman beliau dengan gurunya iaitu Imam Abu Hanifah. Abu Yusuf berkata,”Ayahku wafat pada umurku masih kecil, lalu ibuku membawaku kepada seorang penjahit untuk belajar ilmu menjahit.”

“Setiap kali aku pergi ke kedai penjahit itu, aku melalui majlis Abu Hanifah. Aku duduk di majlis itu untuk mendengar pengajaran beliau. Apabila ibuku terlihat aku disitu, lalu ibuku segera datang dan menarik tanganku. Beliau mengeluarkanku daripada majlis itu lalu membawaku ke kedai jahit.

“Suatu hari, aku memutuskan untuk meninggalkan kursus menjahitku. Aku ingin hadir di majlis Abu Hanifah sepenuh masa. Tidak lama kemudian, ibuku mendatangi Abu Hanifah sambil marah-marah.”

Ibuku berkata kepada beliau,”Budak ini anak yatim. Kami tidak memiliki apa-apa selain hasil pekerjaanku memintal benang. Oleh itu, aku ingin dia belajar menjahit agar boleh membiayai hidupnya. Namun sekarang, engkau telah merosakkan anakku!“.

Abu Hanifah berkata, ”Tenanglah, puan. Dia sekarang sedang belajar ilmu agama. Suatu hari nanti, dia akan menyantap faluzaj bercampur minyak gajus”. Makanan yang disebut oleh Imam Abu Hanifah itu adalah sejenis kek mewah yang hanya dimakan oleh golongan bangsawan.

Namun ibu ini semakin marah: ”Engkau orang tua yang sudah nyanyuk!”

Belasan tahun sesudah itu, Imam Abu Yusuf menjawat jawatan sebagai Qodhi al-Qudhah (hakim agung) dan berpeluang memakan faluzaj bercampur minyak gajus bersama Khalifah Harun al-Rasyid.

Khalifah Harun al-Rasyid berkata, ”Sesungguhnya ilmu dapat memberi manfaat dan mengangkat darjat seseorang manusia di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati Abu Hanifah, beliau mampu melihat dengan mata akalnya apa yang tak terlihat melalui mata kepalanya.”

Muslim Yang Sebenar.

Muslim yang sebenar bersikap sepertimana sikap yang telah ditunjukkan oleh para anbiya’ dan generasi sahabat Nabi SAW. Islam akan kembali kuat apabila kita mengubah sikap, pemikiran dan cara pandang kita terhadap sesuatu perkara dan memastikan ianya selari dengan syariat Allah SWT. Lihatlah pada umat Islam yang terdahulu, bacalah kisah mereka, kutip semangat dan adab mereka agar kita mampu mengembalikan Islam pada tempatnya.

Muhammad Nabil Irfan bin Mohd Ali

Ketua Biro Pembangunan Insan

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2016/2017.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?