Garnet Juara Dua Acara

[FIFA’16] Garnet Juara Dua Acara

0

imageHayyu Sadis, 12 Disember 2016 – Garnet muncul juara dalam dua daripada tiga acara yang dipertandingkan dalam aktiviti luar siswi sebagai acara pembukaan Fiesta of Azharian Family 2016 (FIFA ’16) pada tahun ini. Dalam ketiga-tiga perlawanan yang berlangsung di Nadi Syabab itu, Garnet berjaya menjadi juara dalam acara bola keranjang dan badminton beregu meskipun tewas dalam perlawanan bola jaring menentang Amber. Saudari Nurul Asyikin binti Harun, pemain bola jaring pasukan Amber memberi komen bahawa perlawanan bola jaring pada mulanya sengit, akan tetapi semakin mudah bagi mereka apabila Garnet dilihat semakin kurang bertenaga.

Perlawanan badminton beregu telah menyaksikan gandingan saudari Ainnur Maisarah binti Abdul Karim dan saudari Nor Azlina binti Abdul Aziz, masing-masing merupakan mahasiswi tahun satu dan tahun dua kuliah perubatan, telah berjaya ke pusingan akhir menentang Sapphire. Mereka meluahkan rasa teruja kerana mampu mengungguli pertandingan walaupun waktu latihan bersama hanya dua jam ditambah dengan waktu perkenalan mereka yang singkat. Kedua-duanya turut bersetuju bahawa perlawanan badminton secara beregu memerlukan kepercayaan antara satu sama lain. “Paling penting percaya pada rakan dan percaya pada raket. Sokongan padu daripada team Garnet membantu menaikkan semangat kami. Thanks a lot to Garnet,” komen saudari Ainnur Maisarah. Saudari Nor Azlina pula meluahkan rasa gembira kerana diberi peluang menyertai pertandingan badminton untuk FIFA kali ini. “Memang saya tertunggu-tunggu untuk join FIFA kali ini kerana saya dah lama sangat tidak bermain badminton.”

Bagi permainan bola keranjang pula, walaupun cuaca semakin terik, semangat setiap pasukan tetap utuh. “Pihak lawan bagi permainan yang bagus buat kami. Good job semuanya!” ujar saudari Siti Aisyah binti Abdul Rahman, pelajar tahun enam perubatan. Beliau turut menyatakan ramai daripada kalangan junior yang mempunyai bakat yang boleh digilap serta semangat kesukanan yang tinggi.

“Tahniah kepada semua atlet Garnet dan penyokong yang turut memainkan peranan penting. Semoga semangat Garnet clan kekal berkobar hingga ke hari kemuncak nanti,” respon saudari Fairuz Afifah binti Mohd Din selaku ketua pasukan Garnet. Beliau juga menyifatkan Garnet berjaya memberi satu permulaan yang baik.

Disediakan oleh,
Noor Alia Humaira binti Noor Azmy
Tahun 5 Perubatan

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?