Garnet Warisi Takhta Fire Nation

[FIFA ’16] Garnet Warisi Takhta Fire Nation

1

image

Hayyu ‘Asyir, 24 Disember 2016 – Setelah diumumkan sebagai johan bagi sembilan pertandingan, naib johan bagi 16 pertandingan dan tempat ketiga bagi 13 pertandingan, Garnet akhirnya dinobat sebagai juara keseluruhan Fiesta of Azharian Family 2016 (FIFA ’16) anjuran PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) sesi 2016/2017. Keputusan tersebut telah diumumkan oleh saudara Sufi Aiman bin Abdul Hamid selaku pengarah FIFA ’16 dalam majlis penutup yang berlangsung di Dewan American Future High School semalam.

Saudara Muhammad Amin bin Zahari selaku ketua pasukan Garnet meluahkan rasa terharu dan gembira kerana dapat meneruskan legasi merah Fire Nation. “Sebaik sahaja mendengar Garnet diumumkan sebagai juara keseluruhan, satu perasaan baru hadir, iaitu bangga dengan ahli-ahli Garnet yang kuat menyokong. Terima kasih juga kepada pihak akhawat Garnet yang banyak menyumbang kepada kemenangan ini,” tuturnya lagi.

Ketika ditanya tentang strategi yang telah diamalkan oleh pasukan tersebut, saudara Amin malah menafikan sebarang strategi khusus yang digunakan. “Mungkin keikhlasan dalam berukhuwah yang menjadi kunci kemenangan kami pada kali ini,” ujar beliau. Hal ini turut diakui oleh Timbalan Pengarah FIFA ’16, saudari Aisyah Humairah binti Yaacob. Beliau berkata bahawa sokongan moral daripada sahabat-sahabat sepasukan ketika pertandingan berlangsung sebenarnya tanpa sedar dapat mempengaruhi semangat para pemain. “Semangat inilah yang saya dapat lihat dalam pasukan Garnet ketika perlawanan ‘outdoor’ dan dalam pasukan Amber sewaktu acara sukaneka tempoh hari,” tambahnya.

“Walaupun berada di tempat ketiga, tetapi saya sudah cukup berpuas hati. Daripada FIFA ’16 ini sendiri, saya belajar menyalurkan semangat kesukanan yang tinggi ke jalan yang betul. Sama ada kalah atau menang, itu adat pertandingan,” tutur saudari Nur’ Ain Syahirra binti Anuar, wakil pasukan Onyx daripada kuliah pra-pergigian. Menurutnya, kemenangan Garnet sebagai juara keseluruhan telah dapat dijangkakan sejak dari awal lagi. Beliau berpendapat bahawa Garnet mempunyai kelebihan yang besar dari segi ahli-ahli mereka sendiri. “Semangat kerjasama yang tinggi dan jumlah tenaga yang disumbangkan jelas menampakkan Garnet boleh muncul sebagai satu ‘clan’ yang hebat. Tahniah Garnet!” ujarnya mengakhiri wawancara.

Program yang berakhir pada jam 10.30 malam semalam telah menyaksikan Garnet sebagai juara dengan markah sebanyak 678, Sapphire selaku naib juara dengan 636 markah, Onyx di tempat ketiga dengan 618 markah dan Amber di tempat keempat dengan jumlah markah sebanyak 515.

Disediakan oleh,
Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri
Tahun 5 perubatan

1 KOMEN

Apa komen anda?