Kesatuan Dan Profesionalisme: Pentingkah?

Kesatuan Dan Profesionalisme: Pentingkah?

0

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ الْوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

“Perumpamaan kaum Muslimin dalam saling mengasihi, saling menyayangi, dan saling menolong di antara mereka seperti perumpamaan satu tubuh. Tatkala salah satu anggota tubuh merasakan sakit, maka anggota tubuh yang lainnya juga akan merasakan sakit dengan demam dan tidak bisa tidur.”

Maka di sini kita dapati, bahawa umat Islam itu sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Jika ada umat Islam yang menghadapi kesusahan, maka yang lain turut terasa kesusahannya. Begitu juga apabila sebahagiannya mendapat kesenangan, maka yang lain turut menerima tempias kesenangan tersebut.

Kesatuan sesama umat Islam ini sangat penting kerana tanpa kesatuan, maka umat Islam akan bertindak tanpa satu arah atau matlamat yang pasti. Masing-masing akan membawa diri tanpa menghiraukan yang lain. Sikap keakuan pasti muncul lantas menjarakkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku kerana umat Islam itu sepatutnya mencontohi teladan para sahabat terdahulu yang sentiasa bersama dan berpegang teguh dengan kesatuan. Para sahabat Baginda SAW dahulu sanggup mengutamakan sahabatnya yang lain berbanding dirinya kerana mengamalkan konsep ‘ithar’ iaitu melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Hasilnya, kesatuan dapat diwujudkan dan sama-sama berperanan sebagai satu dan bukannya berpecah-belah.

Sabda Baginda SAW:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak (sempurna) iman seseorang itu sehinggalah ia mencintai (kebaikan) untuk saudaranya dengan apa yang dia cintai pada dirinya.”

Jika kita aplikasikan melalui medium komuniti PERUBATAN Cawangan al-Azhar, maka kita akan dapati bahawa konsep kesatuan dan tolong-menolong menjadi faktor utama ke arah menguatkan hubungan dalam mengeratkan ukhuwah sesama ahli. Bagaimana mungkin sesuatu komuniti itu mampu kekal lama jika tiada konsep kesatuan dalam menggerakkan perjalanan dengan baik?

Setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang pelbagai. Ada yang berkemampuan untuk memimpin, ada yang berkebolehan dalam sukan, ada yang cerdik pandai, ada yang berkemahiran membaiki dan menyelenggara, ada juga yang pandai berkata-kata memberi ucapan atau pidato, ada yang pandai membuat poster, grafik dan bermacam-macam lagi. Justeru, jika semuanya dimanfaatkan dengan baik, maka mereka dapat berperanan mengikut bidang serta minat masing-masing dan bersatu menggerakkan komuniti tanpa sebarang masalah berlaku.

Jika kita rujuk Surah al-Asr (ayat 1-3), Allah SWT berfirman:

“Demi masa. Sesungguhnya semua manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, dan mengerjakan amal soleh, dan saling menasihati dengan kebenaran serta saling menasihati dengan kesabaran”

Ayat al-Quran sendiri menggunakan istilah saling menasihati. Ini menunjukkan bahawa ianya tidak berlaku pada satu pihak sahaja kerana saling menasihati tidak akan terjadi pada satu orang saja, akan tetapi terjadi pada suatu kelompok antara satu dengan yang lain, sama-sama saling mengingatkan dan menasihati. Lantaran itu, semua berperanan sebagai satu dan bukannya menyibukkan diri dengan kerja masing-masing.

Selain itu, bagi mewujudkan kesatuan dalam komuniti maka tidak dapat juga kita lupakan tentang profesionalisme dalam pekerjaan.

Sabda Baginda SAW:

“Sesungguhnya Allah mencintai jika seorang dari kalian bekerja, maka ia itqon (profesional) dalam pekerjaannya.”

Sudah tentu, sebagai seorang bakal pengamal perubatan, semestinya sikap ini perlu dididik dari awal supaya dapat diaplikasi dengan baik apabila berkerjaya kelak. Tambahan pula, kerjaya sebagai pengamal perubatan ini sebenarnya memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi memandangkan masyarakat sangat menyanjung tinggi serta meletakkan sepenuh kepercayaan mereka kepada golongan ini.

Bagaimana membentuk profesionalisme dalam diri?

Tentulah setiap pelajar perlu memiliki ilmu pengetahuan yang cukup sebelum benar-benar melayakkan dirinya menjadi tumpuan dalam masyarakat. Terutamanya di sini ialah sebagai seorang pelajar sains kesihatan sama ada perubatan, pergigian mahupun farmasi, semuanya memerlukan kepada ilmu yang mantap serta pengalaman yang pelbagai untuk berkhidmat dengan sebaiknya dalam konteks masyarakat Malaysia khususnya. Bagaimana mungkin orang yang tidak berilmu mampu menganugerahkan sesuatu untuk manusia yang lain?

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (Surah al-Isra ayat 36)

Ayat berikut menerangkan bahawa betapa pentingnya melakukan sesuatu profesion atau tugas itu berdasarkan ilmu kerana semuanya akan disoal serta dipertanggungjawab di hari kemudian. Jika dari sekarang kita tidak mampu membentuk sikap profesional dalam diri, bagaimana mungkin masyarakat dapat menyerahkan kepercayaan mereka kepada kita kelak? Apa yang lebih penting, bagaimana kita dapat berkhidmat untuk masyarakat dengan sebaik mungkin serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam salah laku sebagai profesional sains kesihatan.

Banyak cara sebenarnya untuk meningkatkan profesionalisme dari zaman universiti. Antaranya menghadirkan diri ke kuliah setiap hari tanpa ponteng atau alasan yang tidak munasabah, mengamalkan disiplin dalam belajar, bergiat dengan kelas tutorial dengan mengajar kawan-kawan, menceburkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan misalnya program sosial bersama masyarakat kampung, belajar berpakaian kemas dan etika-etika sosial, tidak menyendiri sebaliknya bergaul bersama serta banyak lagi. Hal inilah yang mengajar kita cara bertindak dengan sebaik mungkin dan penuh berdisiplin.

Akhir kalam, semoga penulisan ini dapat memberi manfaat dan sedikit pencerahan untuk semua pembaca. Isu yang dibawa mengenai kesatuan dan semangat profesionalisme bukanlah suatu perkara yang perlu dipandang remeh sebaliknya semua perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjayakannya.

Jazakallahu khairan jazaak.

Muhammad Nabil bin Azhar
Ketua Biro Perumahan
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2016/2017

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?