CINTA PADANG SAHARA

CINTA PADANG SAHARA

0

“Assalamualaikum, Hamizah. Sihat ke? Dah lama kita tak jumpa kan?”

Terpapar sebaris nama di kaca skrin telefon bimbitku. Salsabila Ariffin. Dia ialah seorang ‘senior’ yang sangat dikenali dengan sifat peramah dan merupakan pelajar cemerlang setiap tahun. Dia semakin dikenali ramai setelah berkahwin pada usia muda walaupun masih bergelar sebagai seorang pelajar perubatan di Mesir.

“Waalaikumussalam, Kak Sal. Alhamdulillah, saya sihat. Kak Sal apa khabar? Saya rindu sangat kat akak.”

Mesej whatsapp tadi dibalas dengan hati yang berbunga-bunga. Kak Sal sudah kuanggap seperti kakak kandungku sendiri. Kami bertambah rapat apabila dia menjadi mentor usrahku.

“Alhamdulillah, Kak Sal juga sihat.
Macam ni, sebenarnya akak nak tanya pendapat Hamizah sedikit. Macam mana kalau ada seorang pelajar lelaki di sini berhajat untuk berkenalan dengan lebih lanjut dengan Hamizah sekeluarga. Itupun sekiranya Hamizah sudi.”

Dapat aku rasakan degupan jantungku terhenti seketika. Manik-manik peluh mulai membasahi dahiku dalam keadaan cuaca yang tidak begitu panas. Aku teruskan membaca mesej tadi dengan penuh rasa ingin tahu. Perasaanku ketika itu seperti menunggu keputusan peperiksaan di tahun akhir.

“Akak terus terang sahaja ya. Hamizah sudah berpunya ke?
Kalau tiada aral melintang, mungkin akak boleh bantu ke peringkat seterusnya.”

Terkejut bukan kepalang dibuatnya apabila membaca satu per satu mesej daripada Kak Sal. Jawapan yang tidak mungkin akan dapat kuberi pada waktu yang sama.

“Masya-Allah kak. Hmm, nanti Hamizah respons semula ya. Hamizah perlukan masa untuk berfikir dulu.”

Balasku ringkas dek perasaan yang bercampur baur menguasai diri. Yang pastinya, perasaan terkejut dan tidak percaya paling dirasai ketika itu.

“Okay, maaf ya kalau soalan akak kurang sesuai. Tak ada masalah untuk respon pada waktu yang lain.” Mesejnya dihantar sekali lagi kepadaku.

Aku hanya membiarkan perbualan singkat itu terhenti buat seketika. Pad kekunci telefon bimbitku ditekan untuk menghubungi sahabatku supaya dapat menghilangkan perasaan terkesimaku ini. Namun, ternyata bukan ini jalan penyelesaiannya. Lalu, aku hanya memberi masa buat diriku untuk berfikir sejenak bagi menenangkan diri.

‘Adakah aku perlu memberitahu perkara ini kepada ibu dan bapaku? Ya, sudah semestinya. Mereka pasti dapat memberi penyelesaian kepada masalahku ini.’

Tanpa berlengah lagi, aku terus menghantar mesej kepada mereka sekiranya mereka berkelapangan sekarang untuk mendengar apa yang terbuku di hatiku ini. Urusanku menjadi mudah kerana mereka sememangnya sedang berehat ketika itu. Punat ‘video call’ terus ku tekan.

“Umi, abah, boleh ke Hamizah nak beritahu sesuatu ni?”

Aku menceritakan kepada mereka apa yang berlaku sebentar tadi. Mereka terus memandangku dengan pandangan seoah-olah memahami wajahku yang lain daripada kebiasaan. Setelah aku selesai meluahkan segala yang terbuku di hati, mereka saling berpandangan dan mendiamkan diri sejenak. Mungkin mereka sedang mencari kata-kata yang sesuai untuk diujarkan kepadaku. Akhirnya, mereka bertanyakan tentang latar belakang lelaki itu. Setelah meletakkan talian, aku memutuskan untuk terus mengajukan soalan tersebut kepada Kak Sal.

“Siapa lelaki yang bertanya dan macam mana keluarganya, Kak Sal?” Setiap baris ayat yang aku taip terasa berat, namun aku gagahkan jua kerana memikirkan kemahuan ibu dan bapaku untuk lebih mengenalinya.

Bermulalah sesi ‘taaruf’ antara aku dan si dia melalui seorang ‘senior’ yang sangat aku percayai kewibawaannya dalam soal ini. Setiap perbualan kami akan diberitahu kepada pihak keluarga. Rasa tenang hadir dalam diri apabila mendapat keredaan ibu bapa dalam membuat sesuatu tindakan. Dalam proses perkenalan ini juga, aku mencari jawapan untuk mendapatkan reda Allah dengan melaksanakan solat sunat istikharah kerana Dialah yang membolak-balikkan hati seorang manusia.
……………………………………………………………………………………………………………..

Adam Bin Kassim. Pelajar perubatan tahun 5. Rupanya, dialah orang yang dimaksudkan oleh Kak Sal tempoh hari. Seorang lelaki yang tidak aku kenali asal usulnya. Pelbagai persoalan bermain di minda. Aku masih tidak mampu untuk mempercayainya. Namun itu tidak membuat aku untuk terus menolaknya bulat-bulat. Bukan itu ajaran Islam dalam berhadapan dengan situasi sebegini. Menolak pinangan seseorang ada caranya dan perlulah dengan berhemah dan tidak sampai sehingga mengguriskan hati.

Aku bertambah terpaku kerana dia seorang lelaki yang disegani dan dihormati ramai di sini. Aku tidak pernah bekerja dalam persatuan dengannya semenjak aku menjejakkan kaki di ‘Ardul Kinanah’ ini sebagai seorang pelajar. Aku hanya pernah melihatnya ketika dia berucap di depan khalayak ramai melalui program-program yang dianjurkan di sini. Bagiku, banyak perkara yang perlu dilihat dan dipertimbangkan untuk memilih seorang suami.

Antara ciri-ciri seorang suami yang menjadi idaman seorang isteri daripada pembacaanku di blog Tanyalah Ustaz ialah:
1.Memiliki hati yang lemah lembut.
2.Menjaga rahsia rumah tangga.
3.Mentaati perintah Allah.
4.Memuliakan keluarga isteri.
5.Memiliki rasa cemburu (tidak dayus).
6.Memberi nasihat kepada isteri.
7.Mempunyai sifat penyabar dan penyantun.
8.Memiliki sifat pemaaf.

Aku berharap bakal suamiku ini mempunyai ciri-ciri lelaki yang mampu untuk membimbing bukan sahaja aku, bahkan zuriat kami kelak. Dia dipilih bukan sahaja atas pilihan keluargaku tetapi juga untuk mendidik zuriat yang akan memperjuangkan agama Allah.

Walaupun hanya setelah empat hari perkenalan, ibu bapaku membenarkan keluarga Adam untuk menghubungi mereka dan bertandang ke rumah untuk merisik walaupun aku masih di tahun 2. Alhamdulillah, jawapan daripada solat istikharah juga positif untuk aku meneruskan ke peringkat seterusnya. Kerunsingan yang berlaku sebelum ini hilang berganti dengan perasaan lega kerana urusan ini dipermudahkan tanpa sebarang tentangan. Bersambung…

ZHARIF HANNAN BT MOHD OTHMAN
TAHUN 3 PERUBATAN
PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?