6 PERSEPSI VAKSIN YANG MEROSAKKAN MASYARAKAT

6 PERSEPSI VAKSIN YANG MEROSAKKAN MASYARAKAT

0

Selepas bertanya beberapa soalan vaksin kepada sebilangan responden yang bukan beraliran sains kesihatan di sini, hasilnya didapati bahawa masih ramai lagi yang masih belum faham mengenai vaksin ini sebenarnya walaupun isu ini telah meletup kecoh dibincangkan di media massa sekali pun.

Lantas dalam menerangkan konsep vaksin ini kepada masyarakat awam dalam gambaran yang paling mudah, suka saya memetik penerangan daripada Dr Aznil Hisham yang sangat mudah difahami oleh orang awam;

  • Vaksin itu ialah kuman yang telah dilemahkan. Namun kuman ini tidak berupaya memberi jangkitan kepada badan.
  • Apabila disuntik ke badan, badan kita akan alert. Siren alarm kecemasan akan dibunyikan. Red code Mitochondria (Pusat Dana Tenaga) juga akan menerima notifikasi pantas. Mereka akan membekukan segala cuti terhadap pekerja-pekerja mereka. Mereka perlu hasilkan tenaga (senjata) yang banyak dan segera.
  • Lapisan pertama sistem pertahanan badan seperti Neutrofil, Eosinofil, Basofil, Limfosit dan Monosit diarahkan terlebih dahulu pergi ke sempadan bagi mencegah serangan bertali arus daripada kuman (vaksin) sementara menunggu para komando seperti Opsonin, Lisin, Presipitin & Aglutinin bersiap siaga.
  • Para komando ini akan diberi taklimat oleh menteri pertahanan, pegawai-pegawai atasan dan pasukan risikan tentang jenis kuman yang menyerang dan senjata yang sesuai untuk menghapuskan mereka.
  • Setelah pelan terperinci dan strategi telah dirangka, mereka akan terus pergi segenap pintu masuk sempadan membantu askar-askar lapisan pertama. Respon ini sangat cepat. Kurang daripada 6 jam.
  • Apabila sudah sampai di sempadan, askar-askar prebet akan melaporkan keadaan situasi semasa kepada komando-komando terlibat. Mereka menyatakan bahawa musuh (kuman vaksin) yang ditangkap ialah pondan dan tidak mendatangkan bahaya kepada host. Kuman ini hanya tahu buat tarian gelek sahaja.
  • Namun, komando-komando ini tetap mengambil alih tugas askar prebet ini disebabkan ancaman yang telah wujud. Mereka berkawal di sempadan selama 24 jam. Mereka berfikir, jika kuman pondan pun boleh melepasi sempadan negara, apatah lagi kuman yang bukan pondan (real). – Host jadi immune.
  • Walaupun tiada ancaman daripada kuman pondan, namun masih terdapat pertempuran kecil kepada kuman-kuman kecil (chicken dose) yang tidak berbahaya. Akibatnya, host memperolehi sedikit reaksi (ruam merah).
  • Pusat Dana Tenaga (mitochondria) yang diarahkan bekerja 24 jam akan mengeluarkan haba. Ini yang menyebabkan host demam seketika.

……………….

Penerangan yang ringkas. Sangat mudah untuk difahami. Namun, walaupun penerangan-penerangan mudah sebegini telah disampaikan sekali pun, akan tetapi masih timbul juga suara-suara sumbang yang akan cuba untuk menimbulkan keraguan-keraguan tidak berasas dalam kalangan masyarakat awam terhadap vaksin.

  • “Anak saya 4 orang tidak ambil vaksin. Boleh saja hidup normal sihat sejahtera.”

Sebenarnya anak puan dapat hidup sihat sejahtera bukan disebabkan oleh tidak mengambil vaksin, tetapi dapat hidup sihat kerana dilindungi oleh imunisasi kelompok orang ramai di sekeliling yang mengambil vaksin. Nasib baik namanya. Bernasib baik disebabkan terlindung dengan pertahanan yang diwujudkan oleh orang sekeliling secara tidak langsung.

Dalam nama lainnya dipanggil sebagai herd immunity. Satu sistem perlindungan yang wujud dalam sesuatu komuniti masyarakat apabila majoriti individu dalam komuniti berkenaan mendapat imunisasi menentang virus hasil daripada vaksin yang diambil. Lantas kesan daripada itu menyebabkan golongan minoriti yang tidak mengambil vaksin dalam komuniti tersebut turut  mendapat perlindungan secara tidak sengaja disebabkan oleh imuniti (sistem pertahanan) orang lain, bukan imuniti diri sendiri.

Anak puan inilah salah satu daripada mereka yang bernasib baik itu sebenarnya. Namun, golongan minoriti seperti ini tidak akan bernasib baik selamanya. Hal ini kerana jika golongan tidak bervaksin seperti ini diletakkan dalam komuniti yang kebetulan berimunisasi rendah, maka hidupnya akan terdedah kepada risiko maut yang sangat berbahaya sebenarnya.

  • “Vaksin ini sebenarnya salah satu daripada agenda Yahudi untuk merosakkan umat Islam! Jangan tertipu!!”

Sebenarnya Kementerian Kesihatan Israel sendiri sedang bergelut dengan krisis anti-vaksin yang sedang melanda negara mereka sekarang ini. Menurut satu laporan berita yang dikeluarkan oleh akhbar Haaretz, akhbar Israel bertarikh 18 Julai 2013 menyatakan bahawa bilangan ibu bapa yang menolak untuk mengambil vaksin di Israel telah semakin meningkat. Jumlah mereka yang dilaporkan enggan mengambil vaksin untuk anak mereka itu telah menghampiri 20%.

Kesan daripada itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal-pengamal kesihatan di Israel dan menyebabkan Kementerian Kesihatan Israel terpaksa memerah sepenuh keringat untuk memastikan semua rakyat mereka mengambil vaksin yang sepatutnya.

Nah, mana mungkin vaksin ini dikatakan sebagai agenda Yahudi jika bangsa Yahudi sendiri bergelut dengan krisis anti-vaksin dalam negara mereka!

  • “Vaksin memberi kesan sampingan yang teruk kepada anak saya selepas beberapa hari dia mengambil vaksin! Vaksin patut diboikot!!”

Sebenarnya tidak semua orang yang mengambil vaksin akan mendapat kesan sampingan (Adverse Effect Following Immunization) sebegitu rupa, bahkan kes sebegini jarang berlaku dan hanya berlaku kepada beberapa kes-kes terpencil sahaja. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera.

Kesan mudarat ini juga jika hendak dibandingkan dengan kesan mudarat tidak mengambil vaksin adalah jauh lebih kecil. Ini kerana tindakan untuk memilih tidak mengambil vaksin akan menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko maut yang pernah terbukti berdasarkan laporan-laporan saintifik sebelum ini, manakala tindakan untuk memilih mengambil vaksin pula hanya terdedah kepada risiko menerima beberapa kesan sampingan seperti deman, masalah kulit dan sebagainya.

Sebab itu kaedah menyebutkan apabila berjumpa antara dua mudarat, maka pilihlah mudarat yang lebih kecil.

ارْتِكَابُ أَخَفِّ الضَّرَرَيْنِ

“Mengambil bahaya yang lebih ringan (antara dua bahaya).”

Dan vaksin juga berperanan sebagai langkah awal untuk mencegah sesuatu penyakit itu daripada berlaku dan melarat dengan lebih teruk lagi sebenarnya.

الوقاية خير من ألف علاج

“Mencegah itu lebih baik daripada seribu mengubati.”

Tambahan lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri telah mengeluarkan satu garis panduan khusus berkenaan kaedah pengurusan Adverse Effect Following Immunization (AEFI) ini bagi menyatakan keseriusan mereka untuk membantu masyarakat awam faham akan kepentingan pengambilan vaksin ini.

Panduan khusus bertajuk “Garis Panduan Farmakovigilans Keselamatan Vaksin di Malaysia” ini boleh didapati oleh kesemua masyarakat awam di Malaysia secara percuma hanya dengan memuaturun dokumen berkenaan secara percuma di internet.

download

  • “Vaksin bercampur dengan bahan yang diambil daripada khinzir! Vaksin mengandungi sumber bahan yang haram!!”

Sebenarnya kesemua vaksin di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun disemak dan dipastikan tidak mengandungi bahan haram. Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak dari tahun 1988 lagi telah mengeluarkan beberapa pandangan hukum yang berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam, antaranya Pandangan Islam Terhadap Imunisasi bagi Hepatitis B, Campak, Tibi, Batuk Kokol, dan sebagainya.

Kesemua pandangan hukum Islam ini boleh didapati secara percuma melalui bacaan atas talian di laman-laman web pihak berkenaan dan umat Islam seharusnya tidak perlu risau akan kandungan-kandungan vaksin ini kerana pihak KKM sememangnya telah melakukan kerjasama bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak sekian lama lagi.

  • “Tidak perlu ambil vaksin. Perubatan alternatif saja sudah cukup memadai.”

Jangan tertukar awlawiyat (keutamaan). Tiada masalah untuk mengambil perubatan alternatif. Cuma perlu diingati bahawa pengambilan perubatan alternatif itu hanyalah diambil sebagai rawatan sampingan sahaja, bukan rawatan utama sehingga mengenepikan rawatan konvensional yang sedia ada.

Perubatan alternatif yang diambil sepatutnya digunakan dengan tujuan untuk membantu meningkatkan keberkesanan perubatan konvensional sedia ada, bukan untuk menggantikan perubatan konvensional yang sememangnya telah dibuktikan dengan bermacam-macam bentuk kajian (evidence based medicine) yang telah dibuat sejak berpuluh-puluh tahun lagi.

Lebih-lebih lagi apabila belakangan ini wujud sebilangan golongan yang mendakwa bahawa orang ramai tidak perlu mengambil vaksin konvensional, cukup sekadar mengambil vaksin homeopati saja.

Kenyataan ini walaupun pada luarnya nampak seakan-akan indah ingin menawarkan bantuan kepada orang awam, namun ia sebenarnya merupakan satu pembohongan. Buktinya sudah ditegaskan sendiri oleh pihak Majlis Perubatan Homeopati Malaysia dalam satu Seminar Vaksinasi dan Imunisasi yang dijalankan di Putrajaya sebelum ini bahawa tidak wujud istilah vaksin homeopati dalam silibus ilmu perubatan homeopati mereka.

“Tidak ada dalam mana-mana sekolah pembelajaran kami wujudnya vaksin homeopati. Dan tidak ada mana-mana bukti yang dikaitkan dengan Perubatan homeopati mewujudkan vaksin homeopati secara pengamalan. Malah pengasas homeopati Samuel Hahnemann juga menyokong pemberian vaksin yang diasaskan oleh Edward Jenner.”

-Haji Zainol Azmi, Presiden Majlis Perubatan Homeopati Malaysia-

  • “Orang yang mengambil vaksin akan berpotensi besar untuk menghidap Autisme!”

Kontroversi menuduh vaksin menyebabkan Autisme ini sebenarnya ditimbulkan oleh seorang pengkaji bernama Andrew Wakefield (1998) dalam kebanyakan artikel yang ditulis beliau. Namun berbagai-bagai kajian telah dibuat selepas itu, antaranya kajian yang dijalankan oleh Fombonne dan Chakrabarti (2001), Miller (2003), De Stefano (2007), Mrozek-Budzyn, Kiełtyka dan Majewska (2010), dan pelbagai kajian saintifik lain yang daripada kesemua kajian tersebut mendapati bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan vaksin sebagai faktor utama kepada Autisme.

 

KESIMPULAN

Semoga dengan penerangan ringkas ini dapat memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat di Malaysia demi menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang sihat sejahtera baik sihat dari tubuh badan mahupun sihat akal fikiran tanpa persepsi-persepsi tidak berasas yang merosakkan.

 PENULIS:

Amirul Azmeer bin Asmadi

Kuliah Perubatan tahun 4

Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir

RUJUKAN:

  1. Autism and measles-mumps-rubella vaccination: controversy laid to rest?: http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11700148
  2. No evidence for a new variant of measles-mumps-rubella-induced autism. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11581466
  3. Measles-mumps-rubella vaccine and the development of autism. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12913832
  4. Lack of association between measles-mumps-rubella vaccination and autism in children: a case-control study. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19952979
  5. Vaksin untuk bayi anda- Mitos VS Realiti, Dr Suhazeli Abdullah.
  6. Scam Kesihatan Siri 10: Pembohongan Vaksin Homeopati Sebagai Alternatif Vaksin Konvensional:
    http://drafiqrahim.com/scam-kesihatan-siri-10-pembohongan-vaksin-homeopati-sebagai-alternatif-vaksin-konvensional/
  7. Garis panduan Farmakovigilans keselamatan vaksin di Malaysia: http://www.moh.gov.my/images/gallery/Garispanduan/Garispanduan_Farmakovigilans.pdf
  8. Soalan lazim mengenai vaksin dan imunisasi: file:///C:/Users/Amirul/Downloads/Soalan_lazim_berkaitan_Vaksin_Imunisasi_02072015.pdf

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?