SiM: PCA Sapu Bersih Pertandingan Khat

SiM: PCA Sapu Bersih Pertandingan Khat

KAHERAH, 21 November 2015 – Peserta-peserta daripada PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) telah berjaya menyapu bersih kesemua tempat dalam pertandingan khat yang diadakan pada 14 November lalu. Mohd Hanif bin Jemeli, Faris Muhsin bin Sohaimi dan Nik Muhamad Al-Amin bin Nik Azman masing-masing telah memperoleh juara, naib juara dan tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Kesemua mereka telah menghasilkan dua karya dengan meggunakan khat jenis Riq’ah untuk karya pertama serta khat jenis diwani jali dan thuluth untuk karya kedua.

Ketua juri pertandingan khat, saudara Muhammad Aimi Akmal bin Zaini memuji karya khat yang dihasilkan oleh para peserta yang disifatkannya kreatif, teliti dan bersih. Beliau juga berharap supaya lebih ramai lagi mahasiswa dan mahasiswi sains kesihatan menyertai bidang ini yang mana merupakan salah satu kesenian Islam yang dilihat kian pupus serta perlu diwarisi. “Kita juga sepatutnya tidak lupa akan asal usul kita melalui dunia adat istiadat orang melayu yang mewarisi tulisan jawi sejak zaman nenek moyang kita lagi,” katanya ketika dihubungi krew mediaPERUBATAN.

Menurut saudari Nur Aliah Fitrah binti Ismail selaku ahli PCA, beliau menyuarakan rasa bangganya atas kejayaan wakil-wakil dari PCA dalam mengungguli tempat teratas bagi pertandingan khat tersebut. “Walaupun PCA gagal mendominasi pertandingan-pertandingan lain yang telah dianjurkan, kemenangan mereka disifatkan sebagai bukti bahawa ramai ahli PCA sebenarnya berkebolehan dalam bidang kesenian islam,” komennya lagi. Beliau juga sentiasa optimis dan berpendapat bahawa PCA masih berpeluang untuk memenangi pertandingan-pertandingan lain yang mungkin bakal diadakan dalam (Scientissimo Month) SiM yang akan datang.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana dengan kurniaNya saya dapat memenangi pertandingan ini. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur dan guru khat saya, Ustaz Mubarak bin Easaam Makarim yang telah banyak mengajar saya,” ucap saudara Faris Muhsin. Dalam kesempatan itu juga, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran dan terima kasih kepada mereka yang telah banyak memberi sokongan serta mengundi poster hasil rekaannya yang bertajuk ‘How Prophet Drinks?’ (Bagaimana Rasulullah Minum?) yang telah mendapat undian tertinggi dalam pertandingan alam maya.

Disediakan oleh,
Fatimatul Zuhra binti Muhammad
Tahun 4 perubatan

1 KOMEN

Apa komen anda?