Tebing Itu Namanya Nil

Tebing Itu Namanya Nil

0

 

“Kalau sudah namanya keputusan, mengapa harus dibolak-balikkan. Kematangan itu tidak dicipta dalam masa sehari tetapi memakan masa bertahun-tahun lamanya. Europe is not build in one day!

Ketegasan itu terpercik meski mulus dua ulas bibir itu tegar mempamerkan senyuman. Mandala batuan penuh debu dan sampah masih setia memekikkan hon kereta dan kesesakan jalan raya meskipun sang suria sudah keletihan menebarkan terik cahayanya. Ufuk timur bagai tidak sabar menyelimuti bintang terbesar sistem suria itu lantas membiarkan selimut malam menggelapkan salah satu negara di benua afrika itu.

“Aku mungkin tidak mampu menggugah kata putus peribadimu. Namun tidakkah kau mampu menilai sendiri kesulitan yang berselirat di depan matamu ini sekarang.” Fais tetap ingin menyuntik jarum-jarum goyah. Barangkali, anyaman keputusan itu mampu dilonggarkan.

“Maksudmu pergolakan politik, perhimpunan demonstran di sana sini, penggunaan pelbagai jenis senjata dan bahan api sehingga angka kematian mencecah ribuan.Itu ?” Anak matanya menikam terus ke kornea Fais sehingga dirasakan retinanya terus diganggu paralisis. Dia langsung mengalihkan pandangan menjamah mandala sesak tersebut. Anginnya bersemilir dingin kian dalam menerjah kalbu. Tidak pasti rencam itu berona kedamaian atau berbaur ketidakselesaan.

“Atau maksudmu debu-debu pasir yang sudah lama mendiami bumi Nil ini serta sampah sarap yang sudah lama bertakung di setiap inci negeri. Atau mungkin kesesakan trafik yang enteng sekali marak tatkala dicucuh dengan amarah tidak bertempat masyarakat setempat.Itukah definisi kesulitan yang bermain dibenakmu?” Kata-kata itu terpacul memancung bicaranya yang baru hendak berbuah. Lidahnya kembali menjadi kelu.Emosi lelaki itu semakin meruncing. Tidak akan berhasil jika api ditentang api.

“Lupakah kau bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sendiri menggalakkan pelajar-pelajarnya untuk memilih menyambung baki pengajian di Malaysia. Meskipun kapasiti kekosongan di IPTA tempatan boleh dipertikaikan namun pasti kita berhasil mengusahakan sesuatu. Pak Usu yang kebetulan menjadi dekan di sebuah universiti tempatan sudah berjanji untuk menghulurkan bantuan. Apa lagi yang menghalang langkahmu ?”Fais makin terdesak.Dia lantas mengangguk.

” Ada, orang seperti kau !” Terus bicara itu membakar segala-galanya.

……………………………………………..

Hatinya jadi terhiris. Lelaki di depannya membuang pandangan kosong ke tengah bandaraya. Barangkali sudah bosan dengan gasakan melampau olehnya.

Sebetulnya dia sudah diingatkan untuk tidak memanjangkan perkara ini. Ini keputusannya. Keputusan untuk tinggal dan meneruskan perjuangan di bumi Mesir di saat hampir semua mahasiswa seangkatannya berlumba-lumba mendapatkan tempat dalam negara. Mindanya ruwet memikirkan asbab musabab. Namun kotak hati rafiknya itu terlalu rapat terkunci. Aksaranya menjadi khazanah rahsia yang terlalu peribadi. Hinggakan langkahnya merentas benua dan membelah awan daripada pojok universiti terkemuka Malaysia membawa undangan istimewa buatnya tidak sedikitpun mampu mengikis rantai-rantai besi yang melingkari peti perasaannya. Namun begitu dia tetap istimewa.

“Fais, kenapa sebenarnya kau ke sini? Tidakkah kau berasa membazir menghabiskan wang saku biasiswa yang dikurniakan kerajaan, mampir ke bumi yang kau label sebagai kaya dengan kesulitan lebih-lebih lagi das-das tembakan meletus-letus di sana -sini semata-mata untuk mengkhabarkan kepadaku bahawa aku berhak mendapat peluang untuk belajar di kolej yang lebih baik, lengkap serba-serbi, canggih segala peralatan serta pengalaman pensyarahnya dikutip dari seantero buana. Kau sendiri tahu bahawa tawaran itu sudah lama aku ketepikan.Yang ada dalam benakku adalah tahun klinikalku sudah bermula.Aku tidak boleh bercanda gurau lagi kali ini.”

Fais membasahkan tekaknya dengan tegukan liur yang semakin merengsakan perasaan. Sukar sekali melurutkan kemahuan lelaki istimewa di depannya itu.

“Kau makan hati, permintaanmu untuk meneruskan pengajian di universiti tempatan empat tahun lalu di saat keputusan SPM diumumkan tidak terkabul lantas kau bawa jiwa yang lara ke sini. Mungkin di daerah yang serba-serbi mundur ini dukamu terubat tapi …”

Tangannya pantas terangkat tanda membangkang.”Daerah ini mungkin mundur teknologi, namun kemunduran itulah yang membina kematangan diriku ini. Kau jangan lupa. Usah kau label bumi ini dengan istilah itu.” Dia kekagetan di samping mencerna bait-bait bicara itu.

Benar, lelaki itu betul-betul berubah semenjak mendiami kotaraya itu. 

‘Kaherah, mungkin kerasmu telah memejalkan lelaki ini.’

……………………………………………..

Dia tidak mampu melupakan episod itu. Di kala mana teman-teman lain bergembira dengan kemasukan ke segenap universiti ditambah lagi dengan bekalan biasiswa yang begitu lumayan, dirinya yang turut merangkul deretan A gagal mendapat tempat di mana-mana. Hinggakan rayuan pun tidak mampu ditembusi. Dinding itu terlalu utuh untuk dirobohkan lantas memenjarakan keinginannya untuk mekar bergelar pengamal perubatan ke perdu jiwanya yang tidak bertangkai. Lantas, dengan sedikit wang yang diusahakan keluarga, dia menyahut panggilan agensi yang menawarkan pengajian yang sudah lama diidam-idamkan. Harganya adalah dia perlu berlayar jauh bagi mencapai aspirasinya. Kejayaan yang dicari tidak berdiam di sini.Perlu digali di benua yang beribu-ribu kilometer jaraknya.

“Mungkin dulu orang memandang rendah padamu. Title ‘budak agen’ yang kau bawa dengan muka tebalmu dahulu sedikit sebanyak mencalari perasaanmu. Tapi itu dulu, di saat semua ahli keluarga dan ribuan pelajar tajaan lain mengomongkan bahawa budak agen adalah ‘second rates’ yang tidak layak berada di lapangan yang sama. Itu dulu. Sekarang kau buktikan. Kau buktikan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi seseorang. Anugerah pelajar terbaik yang acap tahun kau sandang sepatutnya menjanjikan pulangan yang lebih menguntungkan padamu.” Dia sekali lagi cuba merembeskan rasional biar tempias itu mampu melembutkan kalbunya.

“Habis kau mahu aku jilat kembali sinis sindiran yang aku terima dulu. Kata-kata bahawa ‘buat apa pergi jauh-jauh kalau di tempat sendiri pun tiada yang menerima’. Sudahlah terlalu lama aku tebalkan muka ditujah-tujah kata-kata orang yang acap kali melunturkan semangat aku. Sekarang, aku sudah berjaya buktikan bahawa aku bukan sembarangan, kau mahu aku mengaku kalah pula. Kembali ke perlembahan yang pernah membuangku dahulu. Begitu?” Dia langsung mengetap bibir. Barangkali luka lama masih berparut dan darah itu mengalir kembali.

‘Maafkan aku jika itu yang berlaku di dalam kantung sanubarimu’. Deru bunyi arus sungai menggeletak seketika di pendengaran.

……………………………………………..

Pramusaji menghampiri. Lelaki bersama perut buncit itu membawa sekali lagi dua potong kebab dan burger yang dipesan. Seekor ayam bakar yang dijamah sejam yang lalu mungkin sudah lama dilumatkan oleh asid hidroklorik serta pelbagai jenis hormon. Kini, pusat lapar kembali aktif langsung menuntut undangan hidangan yang baharu. Langit lazuardi menatari permaidani langit namun azan maghrib masih belum berkumandang. Hiruk-pikuk kota itu tetap menggema namun perhatiannya tetap terpaku pada lelaki di hadapannya. Tangan lelaki itu terus mencapai kebab yang dipesan langsung disuakan ke mulut.

“Kau bayangkan bukan aku disini. Barangkali yang duduk menikmati aroma petang di kotamu ini adalah seorang pelajar baru yang turut bertanyakan soalan yang sama. Bagaimana bentuk jawapanmu kelak?” Fais cuba bermain kata. Dia terlalu istimewa untuk dipersiakan.

“Aku tahu taktikmu.Secara peribadi jawapan-jawapan cliche bahawa bumi ini bumi tarbiyah. Bumi ini bumi perjuangan antara rasul Musa dan taghut Firaun yang harus dijadikan contoh. Itu dan ini yang sudah terlalu muak pada pendengaranku meskipun aku tidak pernah nafikan sejarah dan natijah yang tersingkap pada lipatan tersebut.” Dia memasang jeda yang agak lama lantas melancarkan proses deglutisi dengan tegukan air mineral. Fais setia memacak bendera penantian. Jawapan lelaki itu harus diteliti agar hujahnya mampu mematahkan panji-panji kedegilannya.

“Lalu ?” jawapan itu belum terbit. Kerutan mula melingkari kening dan dahinya sedang lelaki itu terus tersenyum.

“Kerana aku masih belum puas berada di sini. Aku masih terlalu cinta untuk meninggalkan bumi tandus ini kerana kekeringannya telah menyuburkan tunas-tunas kedewasaan dalam diriku.”

Fais bungkam. Tidak disangka-sangka istilah itu yang membentengi jarak antara mereka. Cinta akan ilmu sudah sebati dengan jiwa lelaki itu. Sedari awal perkenalannya dengan pelajar berkaca mata itu, dia selalu tewas dalam perdebatan ilmiah. Lelaki itu bisa sahaja meranapkan harapannya untuk mengheretnya kembali ke pangkuan tanahair dengan pangkahan hujah namun sudah pasti akal sedarnya masih mengekang nawaitu itu kerana dia adalah Fais. Kini cinta itu bukan sahaja terjarah pada buku dan akademik malah melebar sehingga kepada kecintaannya pada ilmu agama. Dalam diam dia menyimpan kekaguman namun lelaki itu harus dibawa pulang!

“Fais, kau pasti sudah maklum bahawa aku tidak pernah ambil pusing tentang urusan pemindahan kredit ke universiti tempatan. Aku sendiri tidak pernah layari laman web kementerian pengajian tinggi semata-mata untuk menghadami proses yang berbelit-belit itu. Cukup sekadar khabar bahawa pintu toleransi itu terbuka luas untuk sesiapa sahaja mencapainya singgah di telingaku. Bahkan sekarang dengan konsep minus one sudah pasti semua orang tergoda untuk menyahut seruan ini.Aku secara peribadi tidak pernah menghalang sesiapa untuk meraih peluang itu.

Tetapi orang itu bukan aku. Daripada aku menyempitkan ruang fikirku dengan pilihan universiti yang berjela-jela itu lebih baik aku intimi wadah-wadah pengajian yang saban saat cuba melepasi daripada lekat dalam ingatan. Penyakit lupa itukan tidak pernah lepas daripada menjangkiti hati orang-orang yang berpengetahuan. Aku sendiri belum mahir dalam bahasa arab serta hafazan quranku yang masih belum lengkap. Kau mahu aku kembali dalam keadaan aku belum mampu berdiri atas tapak kaki sendiri ?” Pertanyaan itu memerangkap Fais. Sukarnya berdebat dengan lelaki itu.

“Kau fikir di watan kita sifar kelas mengaji dan kosong ceramah agama?”Dia ketawa tiba-tiba. Lelucon entah dari mana wujudnya itu seyogia tidak muncul di situ. “Kau fikir lidah melayu serupa dengan ulah bangsa arab? Evaluasinya jauh sekali.Mungkin maksudnya seiring dan sejalan.

“Namun hati-hati manusia lebih mudah tersentuh dengan kalam-kalam tuhan dan bahasa al-Quran.” Senada jawapan itu berirama.

“Lantas kau boleh melihat langit cerah di sebalik awan yang kelabu yang sudah lama meneduhi bumi ini. Dengan segala keburukan yang ada, kau fikir kau masih mampu bertahan?”Fais terus menghunjamkan panah-panah hujah agar lelaki itu sedar kerisauan yang bergayut di hujung ayatnya.

“Kau fikir aku masih budak kecil yang perlu dipimpin tangannya ke sana dan sini. Kau fikir dengan kata-katamu itu bumi ini akan terus membusuk dan memburuk dan kau fikir dengan segala eceranmu yang negatif itu mampu mempositifkan keadaan. Tidak! Sama sekali tidak Fais.Kesetiaanku masih terpacak di sini. Jika segala hamburanmu yang berbaur cacian sebentar tadi benar-benar lahir dari lubuk hatimu, maka kau tidak layak menyentuh tanah yang dipijak para anbiya’ ini. Hati Mesir juga boleh terhiris dan terluka.”

Fais terus terpana. Langsung kalimat-kalimat istighfar meniti di bibirnya.Dia melangkaui sempadan itu lalu menidakkan rahmat Allah yang melata di muka bumi.”Aku minta maaf jika bicaraku keterlaluan.Aku cuma bimbang akan keselamatanmu sahaja di rantau orang ini.”

Jika perpisahan empat tahun lalu termeterai atas kerelaan bersama janji untuk kembali ke tanah kelahiran bersama segulung ijazah dan kejayaan yang gemilang, namun kali ini dia tidak tega untuk membiarkan perpisahan merangkul pergi lelaki ini dalam kancah kebobrokan negara Mesir itu. Biarlah usia pengajiannya disambung di Malaysia.

“Kau lupa ya Fais pada janji tuhan yang bergema dalam surah al-Baqarah di mana Dia telah berfirman:

‘Masuklah kamu ke dalam Mesir, sesungguhnya kamu akan perolehi apa yang kamu hajatkan’.”

Ayat suci itu sekali lagi membuatnya terpana. Apakah magis yang telah menjadikan lelaki itu ajaib?

“Fais, every cloud has its silver lining. Aku ke sini bukan sahaja kerana mengusung duka yang diperam oleh ketidakpuasan hati pada sistem pendidikan negara. Bukan juga semata-mata untuk membuktikan bahawa ‘budak agen’ sepertiku yang dicampak ke sana-sini tiada yang mahu mengutipnya juga mampu menempa kejayaan. Apatah lagi mahu meraih kebanggaan dan kecintaan manusia yang bersifat fana dan sementara itu.

Aku ke sini kerana aku ingin mencari tuhanku yang mungkin selama ini ada tetapi kabur dan samar. Aku ingin ilmu yang kutagih ini diraih bersama keberkatan dan jiddiyah agar noktah bidayahku sehinggalah ke titik akhir berada di atas landasan fi sabilillah. Itu sahaja. Jika matlamat kita kerana Allah, kita tidak akan gentar untuk memperjuangkan apa yang kita yakini bahkan sehingga ke gerbang ajal sekalipun. Itulah keyakinanku!”

Lelaki itu seperti melemparkan falsafah hidup yang dikarang bersama kefahaman islam yang jelas. Hingga kini, langkahnya tidak pernah culas. Sekali-sekala sahaja, kebimbangannya yang membuatkan keteguhan itu menjadi goyang. Masakan tidak, berita yang terpampang di media menunjukkan korban kematian di sana sini sudah pasti mendebarkan hati. Ditambah pula berita-berita yang dicanang bahawa graduan fakulti perubatan yang lahir dari timur tengah kekurangan skil-skil klinikal. Jika itu realitinya, sudah pasti pekerjaannya akan menjadi gontai.

Namun kini dia sedar, hanya jauhari yang mengenal manikam. Dia tidak mampu untuk mentafsir situasi sebenar di negara itu jika sekadar mengintai dari kaca televisyen dan internet.

Pramusaji mampir kembali mengambil beberapa not kertas berwarna hijau muda itu. Dia cekatan menggegau dompet tanda berbasa-basa meski dia langsung menegah. Tetamu itu perlu dimuliakan. Itulah lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya sewaktu kecelakaan jalanraya beberapa tahun lalu. Melihat sahaja fisiologi respirasinya terencat dia langsung mengaplikasi CPR dan hayatnya terus dipanjangkan dengan izin Tuhan .Atas budi yang digalas, keakraban semakin mendekatkan mereka sementelah lelaki itu mirip arwah adik lelakinya yang terkorban dalam kemalangan itu.

“Tapi …” Wahai lidah, mengapa kau tetap berdegil mengucap kalimah itu.

Dia langsung pandang.”Fais, kau lihat di situ. Tebing itu namanya Nil dan ia akan terus teguh mengalirkan air sungai yang menyuburkan mandala ini. Meski sungai ini pernah kering dalam lipatan sejarah namun cukup sahaja membasahkan hatiku dengan makrifat ketuhanan dan cinta pada pengetahuan. Aku akan terus teguh berada di medan perjuangan ini sebagaimana teguhnya tebing itu dan segala kemusykilanmu itu akan kupadamkan dengan usaha yang tidak akan kuabaikan.” Dia seperti membuat janji antara mereka langsung menggamit tatkala azan maghrib mula dilaungkan.

Sewaktu meninggalkan restoran berbentuk kapal yang tertulis Nile City itu, dia terus memandang lelaki itu sambil tersenyum.

‘Tuhan meski aku gagal membawanya pulang, setidak-tidaknya aku bisa menemuiMU kembali ke pangkuan’.

 

Hasil nukilan,
Saeed Zubeir bin Zahari,
Pelajar Tahun 5 Perubatan,
Universiti al-Azhar 2013/2014

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?