Artikel: Kejayaan yang tertangguh.

Artikel: Kejayaan yang tertangguh.

0

‘Alhamdulillah! Perwira Dot Dot telah berjaya menyelamatkan kita semua. Terima kasih Perwira Dot Dot! Perwira Dot Dot terbaik!’

Begitulah laungan keramat yang meniti di bibir jutaan peminat Perwira Dot Dot. Mereka hanya melihat kejayaan wira mereka lantas menggunung pujiannya.

Namun mereka tidak menyedari bahawa di sebalik kekuatan dan kejayaan perwira kesayangan  mereka itu, terdapat seribu satu bahkan mungkin lebih kegagalan dan kepayahan yang pernah ditempuhi oleh Perwira Dot Dot. Setiap perit jerih yang dilalui oleh Perwira Dot Dot suatu ketika dahulu hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Kecewa. Putus asa. Lemah semangat. Semuanya diadun sebati dalam satu hati kurniaan Ilahi.

Tetapi bagaimana Perwira Dot Dot bisa bangkit daripada ‘zaman kegelapan’ lalu terus mengatur langkah menjadi perwira yang hebat dan disanjungi seperti sekarang?

……………………………………………..

‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’  (al-Baqarah: 216)

Dalam hidup ini, kita sering mentafsirkan apa yang kita fikirkan adalah yang terbaik untuk diri kita.

Kejayaan, kebahagiaan, kekayaan dan kesihatan adalah nikmat-nikmat  yang  seringkali ditafsirkan sebagai yang terbaik untuk kita. Realitinya, apa yang kita idamkan belum tentu yang terbaik untuk kita tanpa izin daripadaNya.

Mungkin dengan nikmat kejayaan, kita berubah menjadi seorang yang riak sehingga lupa untuk menghargai orang di sekeliling kita. Mungkin dengan nikmat kebahagiaan, kita boleh lupa untuk bersyukur dengan nikmatNya. Mungkin dengan nikmat kekayaan, kita akan lupa menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukan. Mungkin juga dengan nikmat kesihatan, kita bakal menikmatinya dengan cara yang salah dan tersimpang jauh daripada reda Ilahi.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui keadaan hati hamba-hambaNya. Malahan Dia Maha Mengetahui lebih daripada apa yang kita tahu mengenai diri kita sendiri.

Lain hati, lain pula cara memandunya.

Allah mengurniakan kejayaan kepada hambaNya dalam pelbagai bentuk, mengikut kondisi hambaNya. Ada yang dikurniakan kejayaan dengan melalui jalan yang berbunga beralaskan permaidani merah. Ada juga yang dikurniakan kejayaan dengan melalui jalan berliku permaidaninya pula berduri.

Namun, Allah Maha Adil. Dalam kesenangan, terdapat ujian dan dalam ujian, terdapat juga kesenangan.

Firman Allah,

‘Oleh itu, bahawa sesungguhnya setiap kesusahan disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya setiap kesusahan disertai kemudahan.’ (al-Inshirah : 5-6)

Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia apatah lagi untuk menzalimi hamba-hambaNya. Mustahil sama sekali. Sewaktu Allah menangguhkan kejayaan buat kita, sebenarnya Allah sedang membina kejayaan yang lebih kekal dalam diri kita sebagai hambaNya.

Berjaya dalam membina peribadi seorang hambaNya yang kuat berusaha, tidak mudah berputus asa, tinggi tawakal kepadaNya dalam setiap perkara  dan sifat-sifat mahmudah yang lain. Bukankah dengan terbinanya peribadi sebegini akan membantu kita untuk memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang  pada masa akan datang serta memperoleh kejayaan yang sebenar di akhirat kelak?

Allah jualah yang meletakkan kita di mana kita berada sekarang. Allah Maha Mengetahui  segala kemampuan dan kelebihan kita dalam mengharungi hidup sebagai seorang pelajar jurusan sains kesihatan, seterusnya pengamal sains kesihatan suatu hari nanti. InshaAllah! Allah tidak pernah tersilap atau tersalah merancang perjalanan hidup hambaNya. Kadangkala kerana kegopohan kita dalam mencapai kejayaan menyebabkan kita mudah berputus asa dan kecewa dengan diri sendiri. Ingatlah bahawa kita ini adalah antara hambaNya yang terpilih dalam memikul tanggungjawab ini!

Jika jatuh, sila bangkit dengan penuh bergaya dan terus melangkah mengejar cita-cita. Positifkan minda, teruskan usaha, tawakal dan doa.

Firman Allah,

‘Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.’  ( al-Baqarah: 186)

Programkan dalam minda kita sentiasa bahawa kita bukan gagal tetapi kita sedang menanti waktu yang terbaik untuk mengecapi manisnya sebuah kejayaan. Kejayaan kita sedang ditangguh! Sabar dan teruslah berusaha.

Allah Taala berfirman,

‘Aku menuruti persangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepadaKu.’ (HR Ahmad)

 

Hasil nukilan,
Abdullah,
Pelajar Tahun 1 Pergigian,
Universiti al- Azhar (2012/2013)

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?