Artikel: Syeikh Ahmad Yassin Dalam Kenangan

Artikel: Syeikh Ahmad Yassin Dalam Kenangan

0

Jika kita ditanya apakah yang berlaku pada 22 Mac, hanya gelengan kepala yang menjawab malah mengembalikan persoalan kepada yang bertanya, apa yang berlaku pada 22 Mac.

 

22 Mac 2004, saat inilah seorang tokoh pejuang Palestin pulang menyahut seruan Ilahi iaitu Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin yang merupakan pemimpin spiritual gerakan HAMAS (Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah) yang bermaksud “Gerakan Pembebasan Islam” (The Islamic Resistance Movement in Palestine). Beliau yang hanya duduk di atas kerusi roda dek lanjutnya usia hanya mampu mengerakkan kepala. Namun wajahnya seolah-olah memercik ketenangan yang luar biasa walau hanya ditatap lewat fotografi.

 

Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi (1947-17 April 2004) yang gugur sebulan setelah kematian beliau menegaskan bahawa Syeikh Ahmed Yasin telah memimpin rakyat Palestin agar tidak menyerah pasrah, melintang arah dan berputus asa menentang penjajahan Israel. Perjuangannya dibeli oleh Allah Taala dengan harga yang sangat mahal lantas insan yang mengalami penyakit lumpuh itu menjadi perhatian dan ancaman terbesar rejim Israel sehingga pesawat Apache dikirimkan untuk menghancurlebur jasadnya.

 

Berlatarbelakang pendidikan tanpa pengiktirafan dan ijazah, Syeikh Ahmed Yassin dihantar pulang ke Palestin ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams, Kaherah rentetan penglibatannya di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan sewaktu rejim Hosni Mubarak berkuasa di Mesir.

 

Di Palestin, beliau berperanan dalam sektor tarbiyah malah turut aktif dalam medan dakwah fardhiyyah dengan bertugas sebagai guru bahasa Arab dan khatib di sekitar masjid-masjid di Gaza. Populariti beliau terus melonjak terutamanya ketika beliau menyampaikan khutbah selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

 

Berdasarkan terjemahan, berikut adalah petikan-petikan ucapan beliau yang mengugah perasaan masyarakat Arab Palestin dan umat Islam umumnya;

 

“Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah lumpuh. Aku bukan pemidato yang lantang, yang mampu menggegarkan di seluruh pelusuk tempat dengan suaraku yang perlahan ini. Aku tidak mampu untuk ke mana-mana memenuhi hajatku kecuali jika mereka (pembantu) menggerakkan kerusi rodaku.”

 

“Aku hanyalah seorang tua yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan fizikal.”

 

“Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke atasku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai Arab, kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian telah mati binasa…”

 

Penubuhannya berbeza dengan PLO (Palestine Liberation Organization) atau Munazzamat at-Tahrir al-Filastiniyyah yang sering bersikap jinak dengan kuasa autonomi yang ditawarkan oleh Israel walaupun idea penubuhan PLO itu diawali oleh peranan efektif Mufti Palestin, Al Hajj Amin Husaini (1897-1974) yang menyatukan bangsa Arab menentang rejim Israel. Perjuangan PLO kemudiannya diteruskan oleh proksi “kebangsaan” Arab FATAH (Harakat al-Tahrir al-Watani al-Filistini) – Palestinian National Liberation Movement. Sekarang, perjuangan mereka hanya mahu membebaskan sebahagian kecil bumi Palestin dan lebih berideologikan nasionalis.

 

Sheikh Ahmed Yassin bersama rakan-rakannya bangkit memikul tanggungjawab secara terancang dan sistematik bermula dari kerukunan masjid terus bercambah ke beberapa institusi penting masyarakat. Perjuangan beliau di dalam HAMAS dianggap sebuah organisasi yang meneruskan karismatik perjuangan Syeikh Izzuddin Al Qassam, seorang tokoh Arab yang menentang Inggeris di medan jihad Palestin pada tahun 1935.

 

Pada tahun 1989 ratusan anggota pergerakan HAMAS telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi yang telah dilancarkan sayap kanan gerakan tersebut, Kataib Al Qassam (Al Qassam Bridge) membunuh komando-komando Israel. Syeikh Ahmed Yassin turut dipenjarakan di sel rejim Israel hingga menyebabkan beliau mengalami lumpuh seluruh tubuh dan hilang penglihatan pada mata kanan dan kekaburan di mata kiri. Beliau turut menghidapi jangkitan paru-paru akibat tekanan dan deraan yang berterusan. Peristiwa tragis tersebut telah membuka mata sejumlah besar masyarakat Palestin di dalam dan luar negara untuk bangkit menuntut pembebasan beliau.

 

Keengganan rejim Israel untuk memenuhi desakan rakyat Palestin pada ketika itu, menyebabkan Kataib al-Qassam menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan namun tidak berjaya. Pada tahun 1997, rejim Zionis bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan, demi untuk mendapatkan kembali dua orang anggota perisikan rejim Zionis (MOSSAD) yang berjaya diberkas oleh kerajaan Jordan ketika mereka gagal dalam percubaan membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mesha’al di Amman, Jordan.

 

Pembebasan itu telah mencetuskan gelombang kedua Intifadah pada September 2000, lanjutan daripada Intifadah pertama pada Disember 1987 dan memberi kesan kepada Israel yang akhirnya merangka pelbagai usaha untuk mengekang kemaraan rakyat Palestin, sehingga syahidnya Sheikh Ahmad Yassin yang menjadi mangsa salah satu daripada tiga bedilan peluru berpandu helicopter Apache  ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid sejurus menunaikan solat subuh berjamaah, termasuklah dua orang pembantu yang menolak kerusi rodanya.

 

Syahidlah seorang lelaki tua berkerusi roda bernama Syeikh Ahmed Yassin, yang pergi meninggalkan kita dengan seribu satu khazanah.

 

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” (Al-Baqarah:154)

 

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman, jiwa dan harta mereka dengan syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, ada yang membunuh dan terbunuh. Inilah janji yang benar yang ditetapkan dalam Taurat, Injil, dan al Quran. Siapa lagi yang lebih menyempurnakan janji selain daripada Allah. Oleh itu, bergembiralah dengan jual-beli kamu. Dan itulah kemenangan yang besar.” (Taubah:111)

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?