Shoot The Breeze, Write The Future

Shoot The Breeze, Write The Future

0

Hayyu Sabi, 21 Mac – Satu slot motivasi (Shoot The Breeze: Trust Me, I am a doctor.) yang julung-julung kali dianjurkan oleh Biro Akademik (B-CAD) PERUBATAN Cawangan Al Azhar (PCA) telah diadakan pada 18 Mac yang lalu bertempat di Markas PERUBATAN Hayyu Sabi’. Program yang menampilkan seorang doktor pakar dalam bidang Otorhinolaryngology (ORL) yang berasal dari Melaka, Dr Fadzilah binti Ismail telah dimulakan pada jam 7:18 malam dan dibanjiri oleh seluruh mahasiswa sains kesihatan Universiti Al Azhar.

 

Motivasi tersebut mensasarkan penambahan informasi serta pengalaman dan pendedahan kepada mahasiswa terhadap dunia sebenar di alam pekerjaan terutamanya buat pelajar- pelajar klinikal bagi mendapatkan kefahaman tentang kehidupan yang akan dijalani usai menamatkan pengajian. Sikap proaktif ditonjolkan mahasiswa yang hadir dengan melontar pelbagai soalan kepada penceramah dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

 

Beliau memukaddimah program tersebut dengan memberi penekanan mengenai aspek niat. Beliau berpesan supaya para pelajar bertekad menamatkan pembelajaran dalam tempoh yang ditetapkan. Malah beliau menambah bahawa belajar itu hingga ke akhir zaman. “ALLAH s.w.t sudah menunjukkan bahawa ini jalan kamu. Maka kamu perlu belajar,” Beliau kemudian beralih kepada penceritaan mengenai profesion seorang pengamal perubatan. Bermula daripada penerangan tentang tanggungjawab seorang pegawai perubatan, gaji dan emolumen, proses dan tatacara lantikan sehinggalah kepada pencerahan tentang sarjana perubatan dan sub kepakaran.

 

Beliau juga menyentuh mengenai isu disiplin diri serta aplikasi pemakaian yang baik sebagai seorang pelajar Perubatan. Malah beliau menyarankan agar semua pelajar tidak hanya bertanya kepada para doktor sahaja bahkan memperluas sumber bacaan dan rujukan. Majlis berakhir dengan pancaran kata-kata hikmah pada skrin layar yang berbunyi ‘Bersabar dan sentiasa berhubung dengan ALLAH ketika menghadapi ujian hidup itu adalah lebih baik daripada hanyut dalam kesenangan.’

 

Salah seorang daripada peserta yang hadir, Siti Nabila binti Hasan, menganjurkan supaya program seperti itu diadakan lagi di masa hadapan. Selain itu, Ain Munirah binti Jamaludin, selaku Timbalan Unit Intelektual dan Profesional juga menyimpulkan bahawa objektif program “Shoot the breeze: Trust me, I am a doctor” ini tercapai dengan kehadiran yang memuaskan. Sedikit penilaian dan penambah baikan mungkin boleh dilakukan oleh semua pihak berkaitan dengan kehadiran awal pada permulaan majlis.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?